Thursday, January 17, 2013

Mahu kaut untung, pelajar dipaksa beli buku mahal di sekolah


(Oleh Aisha Geoffrey)
PETALING JAYA 15 Jan: Beberapa wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak berpuas hati dengan arahan pihak sekolah yang mewajibkan pembelian buku tulis bersaiz A4 di sekolah, jauh lebih mahal berbanding kedai biasa.
Perkara itu diadu ramai ibu bapa kepada Pengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri.
Menurut aduan yang diterima, kata Yahya, mereka dipaksa membeli empat set buku tulis yang berbeza daripada buku tulis biasa, berharga RM2.40 setiap satu menerusi kedai koperasi sekolah.

“Buku tersebut dibekalkan oleh Edaran Pro Dinasti yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM).
“Penjualannya mendapat keizinan daripada semua Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM),” jelas Yahya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Menurut Yahya, penjualan buku tersebut melibatkan semua sekolah menengah di seluruh negara dan sebahagian sekolah rendah.
“Mengikut anggaran, setiap tahun bilangan pelajar sekolah menengah lebih 2.3 juta. Bermakna anggaran jualan yang akan diterima berjumlah RM19,200,000, iaitu anggaran dua juta pelajar x RM9.60 (4 buku x RM2.40),” jelas Yahya menyatakan tindakan itu semata-mata bagi mengaut keuntungan kepada kroni.
Katanya, KPM, JPN dan MPSM patut menjadi badan yang membolehkan bekalan buku serta alat tulis di koperasi sekolah dijual dengan harga lebih murah.
“Kalau di kedai biasa, buku saiz tersebut boleh dibeli dengan harga RM1.70 sehingga RM1.80. Tapi di koperasi sekolah sampai RM2.40 hingga RM2.50,” katanya.
Beliau juga mendapat aduan PIBG dan ibu bapa berhubung pembelian buku lembaran kerja atau buku latihan.

“Ada ibu bapa menyatakan cikgu langsung tidak gunakan buku yang dibeli. Kalau ada pun hanya dua hingga tiga muka surat sahaja. Tidak cukupkah dengan hanya gunakan buku teks? Apakah buku teks yang dibekalkan KPM tak cukup baik?” soalnya.
Ibu bapa juga mengadu isu harga makanan dan minuman serta kualiti di kantin sekolah yang menurutnya sering menjadi pertikaian.
“Sebagai contoh, beberapa kantin sekolah menjual seketul nugget dengan harga 50 sen sedangkan di pasar malam boleh diperolehi empat atau tiga ketul dengan RM1.00. Begitu juga harga segelas air dijual RM1.00,” kata Yahya.
Beliau menyeru semua badan yang terlibat dengan institusi sekolah mengambil langkah terbaik bagi menangani isu-isu tersebut.
“Isu ini mungkin kecil bagi sesetengah pihak, tapi semua orang merasai bebanan itu. Apa lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah mempunyai ramai anak yang bersekolah,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43217

No comments: