KUALA LUMPUR 9 Jan: Hari ini, genap setahun Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibebas dari tuduhan fitnah jahat yang dimainkan pemimpin dan media Umno sejak 14 tahun lalu.
Tanggal 9 Januari 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Zabidin Mohd Diah memutuskan Anwar bebas dari tuduhan Fitnah II yang mengaitkan beliau dengan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Keputusan itu disambut gembira kira-kira 10,000 peserta Himpunan 901 yang membanjiri perkarangan mahkamah seawal jam 5 pagi.
“Kini sudah setahun keputusan mahkamah yang wajar dan adil membebaskan Anwar dari fitnah jahat selama 14 tahun.
“Ia didalangi pemimpin tertinggi Umno,” kata Naib Presiden KEADILAN, N Surendran ketika dihubungi.
Bagaimanapun, menurut Surendran, hasil sokongan dan kepercayaan padu rakyat, Anwar berjaya menempuhi ujian tersebut.
“Walau berkali-kali pemimpin Umno menayangkan pelbagai fitnah terhadap Anwar, rakyat tetap percaya pada kebenaran dan menolak politik kotor,” tambahnya.
Fitnah terhadap Anwar bermula sejak 1998, yang turut dijadikan alasan untuk memecat beliau dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Pemecatan tersebut menambah kesedaran serta minat rakyat terhadap politik tanah air, demi mempertahan pemimpin yang menentang korupsi dan kronisme Perdana Menteri ketika itu.
Buktinya, pada 20 September 1998, hampir 100,000 rakyat yang tidak percaya dengan fitnah serta konspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad membanjiri Masjid Negara dan Dataran Merdeka.
Dari situlah tercetusnya era reformasi.
Akibat ketakutan melihat kebangkitan rakyat, Anwar ditangkap dan diheret ke penjara selama enam tahun.
Beliau dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 kerana pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti kukuh terhadap tuduhan fitnah yang sememangnya sengaja dicipta untuk memburukkan imej Anwar.
Tidak puas dengan itu, Umno sekali lagi membuat rancangan jahat pada Julai 2008 dengan cubaan mengheret Anwar ke penjara melalui kes Fitnah II.
Bagaimanapun, kes tersebut semakin menguatkan sokongan rakyat terhadap Anwar apabila memenangi Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 dengan menewaskan calon Barisan Nasional, Arif Shah Omar Shah. Hasilnya beliau diangkat menjadi Ketua Pembangkang.
Akhirnya, semua fitnah ciptaan Umno benar-benar menemui jalan buntu apabila Anwar sekali lagi bebas dari tuduhan Fitnah II pada tarikh bersejarah, 9 Januari.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=42684
No comments:
Post a Comment