Friday, January 18, 2013

Azmin jangka Parlimen bubar hujung Februari


PETALING JAYA 17 Jan: Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali menjangkakan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan selepas perayaan Chap Goh Meh, hujung Februari ini.
“Saya jangkakan DUN dan Parlimen akan dibubarkan sebaik sahaja selesainya perayaan Chap Goh Meh pada 24 Februari akan datang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan mengenai rundingan kerusi DUN dan Parlimen di Sabah melibatkan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Kata Azmin, pendirian SAPP untuk bertanding 40 kawasan DUN di Sabah tidak munasabah kerana perlu mempertimbang peranan Pakatan Rakyat dan ‘sahabat baru’ iaitu Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Pakatan Perubahan Sabah (PPS).
“Di Sabah ada 60 DUN. Kalau 40 sudah diwakili SAPP, di mana peranan KEADILAN, DAP dan PAS ? Sekarang kita ada ‘sahabat baru’ iaitu APS dan PPS,” katanya.
“Saya sendiri terlibat dengan beberapa perbincangan bersama Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.
“(Namun) SAPP harus lebih munasabah dalam permintaan kerusi untuk kita boleh meneruskan perbincangan. Ia harus dimuktamadkan segera,” kata Azmin.
“Kita ambil sikap terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak yang bersedia untuk mewujudkan muafakat untuk berhadapan BN di Sabah khususnya,” tambah Ahli Parlimen Gombak itu.
Parlimen Malaysia automatik akan bubar apabila tempoh mandat kerajaan semasa berakhir pada 28 April tahun ini.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43397

No comments: