Friday, April 10, 2009
Yang Tersirat Di Sebalik Barisan Kabinet Baru Najib
Kata Muhyidin: "Hehehehe...tak lama lagi tempat kau aku pulak yang duduk!"
Jawab Najib: "Jangan ingat kau lama dalam kabinet..aku bom nanti!".
oleh Ibrahim Yusof
Rakyat yang menyokong BN mahupun yang tidak menyokong BN tertunggu-tunggu apakah yang diwar-warkan sebagai 'kejutan' sebaik pengumuman barisan kabinet baru. Setelah diumumkan mereka dapati 'indah khabar dari rupa'.
Ada dikalangan teman-teman dan sebahagiannya dari Umno menelefon saya bertanyakan pandangan saya tentang barisan 'kabinet baru' lalu saya jawab-"BIASA" (tidak nampak sesuatu yang baru). Tidak ada kegemparan. Tidak ada perubahan. Maknanyaianya hanya percaturan lama yang digunapakai sejak zaman Mahathir. Misalnya soal kuota.
Dato' Seri Najib masih lagi belum terjaga dari mimpi. Lebih teruk lagi barisan kabinetnya tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman BN. Inilah akibatnya apabila seorang PM tidak mempunyai wawasan dan visinya sendiri. Inilah natijahnya apabila seorang PM dinasihati oleh Mahathir. Patennya tetap paten lama. Yang dikatakan baru sebenarnya terkebelakang 30 tahun bahkan mungkin 50 tahun. Apa yang dilakukan oleh PM terdahulu-itulah yang ditiru oleh PM Najib.
Cuma dalam mukadimahnya sebelum mengumumkan calon-calon kabinetnya, beliau mengumumkan sistem "report card". Ini bukan perkara baru. Dulu zaman Pak Lah pun ada sistem ini. Dasar ini seolah-olah menunjukkan beliau 'hilang kepercayaan' kepada kewibawaan barisan kabinetnya sedari awal lagi. Rakyat di bawah memerhati ketidakyakinan ini dengan penuh sinis.
Seorang kawan bertanya kepada saya bukan sahaja tidak yakin bahkan mempertikai beberapa jawatan. Antaranya kata sahabat saya itu-mengapa Hishamudin diletak di dalam Kementerian Dalam Negeri? Rakan saya itu bangsa asing-dia kata: "Hishamuddin main keris lo!". Jadi, belum pun barisan kabinet ini bekerja orang telah mentelaah apakah yang bakal dilakukan. Imej yang diketengahkan Najib bahawa kerajaannya adalah 'flexsible' hanyalah memberi gambaran-"berilah kerjasama, kalau tidak...."
Di Negeri Sembilan pula, rakan-rakan terpinga-pinga mengapa Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda tidak terpilih dalam barisan kabinet sedangkan lawannya-Mukhriz terpilih! Rakan-rakan Khairy yang menjadi orang kuatnya semasa kempen dulu terkulat-kulat halkum-sebab, sudah tentu mereka tidak akan merasa habuan lantaran bos mereka tiada apa-apa jawatan!
Di kedai-kedai kopi, maka jagoan-jagoan Melayu pun berkumpul. Kata mereka bagaimana Umno nak perjuangkan nasib Melayu kalau politik naungan, PUAK dan KRONI masih diamalkan. Naik seorang pemimpin-cantas puak yang satu lagi. Kuota ekonomi Melayu yang dulu dah naik, tiba-tiba turun sebab orang-orang ini dah tak kaya (walaupun tidak miskin). Mereka kata, patutlah orang Cina dan India marah bila sebut pasal ekonomi Melayu.
Dalam ramai-ramai tu ada puak kontraktor Melayu. Dia kata kalau Hishamuddin pegang Kementerian Dalam Negeri habislah kontrak-kontrak di KEHDN tu disapunya. Dulu dalam Kementerian Pendidikan pun begitu, katanya.
Rata-rata yang bercakap tentang barisan baru ini mempersoalkan kemampuan untuk merubah Malaysia. Kesanggupan untuk mengubah nasib rakyat terutama mereka yang dihimpit oleh kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi. Persoalannya mampukah barisan kabinet baru ini memberi sentuhan untuk mengubah pengurusan kehidupan rakyat kepada yang lebih baik, lebih cemerlang atau lebih gemilang. Mampukah barisan ini memahami kehendak rakyat terbanyak yang menuntut perubahan yang mendaulatkan suara rakyat.
Ada yang berpendapat sekiranya barisan kabinet ini sepertimana zaman Mahathir dan Paklah-apa juga peruntukan atau dasar yang diperkenalkan akan menguntungkan oportunis-oportunis yang mengelilingi menteri-menteri ini. Rakyat yang di bawah hanya melihat bagaimana kekayaan negara diagihkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu sedangkan di bawah ini para petani masih ternanti-nanti bantuan yang dijanjikan. Para buruh mengimpikan murahnya harga barang. Para pekerja menunggu kenaikan gaji pekerja dan imbuhan. Para kontraktor yang beribu-ribu jumlahnya itu menadah kot-kot kontrak berjaya diraih. Tetapi, nampaknya kabinet baru ini 'pi mai-pi mai tang tu' jugak.
Rakyat sbenarnya memerlukan menteri yang menjadi pemikir, pemimpin dan pencetus kepada segala bentuk kebejatan ekonomi, sosial, budaya dan agama serta politik.
Rakyat tahu bahawa kabinet baru ini hanya usaha untuk mempertahankan PM Najib. Demi kesinambungan kuasa ini maka lahirlah barisan kabinet yang memusat kuasa kepada PM. Dengan itu tidak hairanlah jika barisan kabinet itu "Best Among The Worst"._IY
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment