oleh Ibrahim Yusof.
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan pada 27 April lalu timbul satu soalan provokasi daripada wakil Lui kepada Ketua Pembangkang dari DAP. Soalan yang bertanyakan pendirian DAP tentang konsep Negara Islam.
YB Loke dalam penjelasannya memberitahu dewan bahawa pendirian DAP Pusat telah dijelaskan kepada PAS bahawa DAP tidak bersetuju dengan konsep istilah Negara Islam memandangkan Malaysia yang bermasyarakat majmuk. Namun, DAP bersepakat dalam hal-hal Islam yang lain seperti memerangi rasuah, memerangi salah laku dalam mengurus rakyat, membela rakyat yang teraniaya dan lain-lain nilai murni yang menjadi teras perjuangan Pakatan Rakyat.
Yang menarik untuk dipaparkan kali ini ialah betapa seorang yang mengaku seorang Malaysia dan beragama Islam bertanyakan kepada seorang yang bukan beragama Islam yang berniat prejudis terhadap agamanya sendiri!!!
Hujah ini diketengahkan, pertama kerana Umno sendiri menentang konsep Negara Islam yang diumumkan oleh PAS. Kalau Umno sendiri tidak mendokong konsep tersebut, maka sudah jelas soalan yang dikemukakan oleh YB dari Lui adalah soalan provokasi yang bertujuan mengelirukan rakyat khususnya orang-orang Melayu yang beragama Islam.
Sebenarnya soalan ini bukan soalan main-main dan lebih berbahaya lagi jika soalan ini menyentuh akidah dan keimanan orang-orang Islam. Sebagai orang Islam, setiap kita adalah khalifah Allah yang dipertanggungjawabkan untuk memakmurkan bumi ini. Sebarang perlakuan dan tingkah kita haruslah menjurus kepada matlamat tersebut. Akhirnya yang kita harapkan ialah “redha Allah” semata-mata. Sekiranya berlaku sebaliknya, kitalah yang bertanggungjawab mengundang petaka Allah.
Walaupun masyarakat moden hari ini memahami istilah ‘politik’ sebagai salah satu istilah pegangan masyarakat dalam system yang kita namakan demokrasi. Politik demokrasi mengizinkan perbezaan pendapat dan menggariskan pola-pola fahaman politik seperti kapitalisme, liberalisme, sosialisme, komunisme dan lainnya, namun Islam tidak pula terpinggir dalam kesemua system tersebut. Sesuai dengan sifatnya sebagai Addin-Islam relevan dalam setiap keadaan serta penyelesai kepada segala macam permasalahan.
Justeru itulah dalam titah ucapan Duli Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sewaktu perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri, baginda menitahkan supaya perbezaan pendapat tidak harus merosakkan rakyat dan negeri. Perbezaan pendapat harus kea rah membina kemantapan bangsa dan meningkatkan ketamadunan negeri.
Islam sangat mementingkan penglihatan ‘mata hati’ atau Qalbu. Oleh itu, kita harus melihat penerimaan DAP dalam soal-soal besar yang disepakati dalam Pakatan sebagai ‘nilai Islam’ yang sangat ‘prioritas’ sifatnya dalam bahagian besar konsep Negara Islam. Soal-soal kebobrokan pemimpin, rasuah, pecah amanah, bermewah-mewah, menipu rakyat, tidak bertanggungjawab, meremeh dan memperlekehkan rakyat, mengadu domba, menyeleweng, berfoya-foya dan amalan-amalan negative lain adalah bukan sifat-sifat Negara Islam dan telahpun diterima DAP serta orang-orang bukan Islam.
Pendekatan PAS dan pemimpin-pemimpin Islam PKR terhadap orang-orang bukan Islam adalah tuntutan yang besar nilai dakwahnya. Ini sesuai dengan perintah Rasullah SAW bahawa; ‘orang-orang Islam itu adalah saudara seagama kamu dan orang-orang bukan Islam itu adalah saudara kamu sesame manusia’. Jadi hubungan sesame manusia adalah nilai penting dalam agama yang menjadikan Islam itu lebih agung dan lebih mulia.
Malangnya sebelum ini, Umno lah yang telah menakut-nakutkan orang Islam terhadap agama suci itu. Umno dan pemimpin seperti YB dari Lui inilah yang menyebabkan orang-orang bukan Islam berprasangka terhadap Islam. Umno lah yang telah memproklamirkan bahawa Islam itu kejam, ketinggalan zaman dan tidak relevan dengan modenisasi serta dunia masakini. Tetapi kebenaran tetap berpaksi kepada hak. Justeru itu dalam beberapa pilihanraya sama ada pilihanraya umum atau pilihanraya kecil orang-orang bukan Melayu semakin memahami Islam dan bersama-sama berjuang dengan penganut-penganutnya yang beriman. Sokongan demi sokongan tetap diberikan kepada Pakatan Rakyat. Polimik mengenai Hudud dan Qisas telah mereka fahami walaupun sedikit demi sedikit. Hanya orang-orang Umno seperti YB Lui masih ‘terhijab mata hati’.
Wahai rakyat Negeri Sembilan khususnya umat Melayu, janganlah kita terpedaya dengan taktik lama berpolitik gaya zaman Mahathir. Politik adu domba, sentimen perkauman dan sentimen keagamaan. Stail politik ini sudah ketinggalan zaman. Rakyat sudah pandai serta bijak menilai yang mana kaca dan yang mana permata.
Jauh dalam sudut kata hati, rakyat mahukan pemimpin yang bersih-jauh dari jenayah dan mungkarat. Mereka dahagakan pimpinan yang berprinsip dan beretika. Sudah barang tentu prinsip dan etika itu datang dari iman dan jiwa yang kudus. Iman dan jiwa yang kudus bukan boleh dipropagandakan. Lebih malang lagi jika ia diperkudakan oleh iblis laknatullah. Awasilah tingkah kita supaya kita tidak tergolong dalam kumpulan yang menjadi sekutu iblis.
Mungkin kita tidak menyedari bahawa selama ini tindak tanduk kita sebenarnya sedikit pun tidak menyumbang kepada mendaulatkan agama Allah. Mungkin selama ini kita tidak menginsafi tingkah dan kerenah kita tidak mengundang redha Allah. Cukuplah selama ini kita tidak membimbing keluarga, rakan tetangga dan diri kita kea rah jalan yang diredhai Allah.
Janganlah sampai kita menjadi penyumbang supaya orang lain membenci agama Allah. Berpolitik dan menjaga kepentingan diri hanya alat menuju jalan yang baqa. Jangan sampai kekhilafan dan kedaifan kita menjadikan orang lain tersesat dan tersasar dari jalan Allah.
Tanya nafsu, nafsu akan berkata: “aku adalah aku”.
Tanya akal, akal akan berkata: “Allah adalah tuhan ku”.
Tanya roh, roh akan berkata: “Allah adalah tuhan ku”. _IY
No comments:
Post a Comment