Tuesday, April 21, 2009
KEDUDUKAN FAIRUS DAN PILIHANRAYA KECIL PENANTI
Bekas TKM 1 Pulau Pinang, Muhammad Fairus Khairuddin dengan rasminya telah melepaskan kerusinya sebagai ADUN Penanti. Keputusan ini dibuat olehnya sendiri.
Beliau membuat keputusan ini pada awal pagi 16hb April berikutan perbincangannya dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat(KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu selepas tamat mesyuarat Biro Politik sebelum tengah malam 15hb April.
Speaker DUN Pulau Pinang telahpun menyerahkan surat Fairus kepada pihak SPR. Kami berharap SPR akan bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan tidak terpengaruh oleh sikap sesetengah pihak berkuasa yang seolah-olah cuba hendak mengelak pilihanraya kecil dari diadakan.
Umno berhak untuk tidak meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil Penanti yang sepatutnya diadakan tidak lama lagi. Mungkin Perdana Menteri dan Umno bimbang kalah dan lebih bimbang lagi jikalau kalah dengan perbezaan undi lebih besar. Kami mengalu-alukan sekiranya Umno memutuskan tidak akan bertanding.
Pucuk pimpinannya boleh memberikan sebarang alasan yang disukainya untuk tidak menyertai pilihanraya kecil ini. Tetapi, kenapa soal pembaziran baru sekarang ditimbulkan, pada hal kerajaan Umno-Bn tidak habis-habis membazirkan wang rakyat? Mengapa soal main politik ditimbulkan sekarang pada hal pemimpin-pemimpin Umno-Bn tidak sudah-sudah bermain politik melalui media yang mereka kuasai?
Akhir sekali, bagi pihak KEADILAN saya meminta YAB Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya tidak melanjutkan lagi perbincangan melalui media tentang kes Fairus ini. Ia hanya menguntugkan pihak lawan PAKATAN. Hari ini Anwar dan Lim telah sempat berbual dan saya percaya semua kekeliruan telah mereka selesaikan.
Marilah semua parti, pemimpin dan ahli dalam PAKATAN bersatu untuk memastikan kemenangan besar dalam pilihanraya kecil Penanti jika diadakan.(tamat)
Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden
Parti Keadilan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment