oleh Ibrahim Yusof
Klasiknya pilihanraya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang ialah tema kempen BN iaitu ‘Mohon Restu Rakyat’. Mungkin ramai yang tidak sedar apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ramai yang terkhilaf dan mungkin tidak peduli langsung. Tetapi yang jauhari yang mengenal ma’nikam tentu tercuit di benaknya – mengapa BN memilih tema ini untuk berkempen kali ini.
Senario pilihanraya sebelum apa yang diistilahkan oleh banyak pihak sebagai ‘tsunami politik’ pada tahun 2008 memang telah membuka mata BN. Selama ini mereka mendabik dada, ‘bersultan di mata, beraja di hati’. Calon-calon mereka yang bertanding sebelum ini ‘letak bajupun boleh menang’. Tidak kira siapa dan apa latar belakangnya. Yang pekung penuh di badan. Yang sopak seluruh anggota. Yang barah bernanah. Yang namanya busuk dan haprak. Yang tanpa segan silu mempamirkan segala kemewahan peribadi kepada pengundi-pengundi semasa turun berkempen – semuanya tidak menjadi masalah. Bertandinglah di atas tiket BN, pasti akan menang. Slogannya ketika itu ‘Undilah Barisan Nasional’.
Kalau ditinjau dari sudut bahasa, slogan bertujuan mempengaruhi orang ramai. Sama ada slogan itu ‘mengarah’, ‘merayu’, ‘meminta’ atau lainnya bergantung kepada kajian yang dibuat keatas ‘character’ (sifat) iklan tersebut ditujukan. Yang ‘pelik bin ajaibnya’ selama ini BN menggunakan ‘elemen paksaan/ugutan’ di dalam slogan-slogan pilihanrayanya dengan ‘Undilah BN’ tetapi kali ini satu hal yang aneh ialah ‘Mohon Restu Rakyat’.
Ada dua kemungkinan di sini, pertama adakah selama ini BN memaksa/mengugut rakyat mengundi kerana rakyat tiada pilihan lain sebelum era wujudnya Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat. Maka dengan itu BN seolah-olah memberitahu rakyat inilah satu-satunya parti yang mesti dipilih oleh rakyat.
Kedua, adakah selama ini BN melaksanakan pilihanraya hanya untuk ‘menghalalkan demokrasi’ yang menjadi tonggak perlembagaan negara sedangkan hakikat demokrasi sebenarnya tidak wujud. Maka rakyat tidak diberi pilihan kecuali ‘Undilah BN’.
Justeru itu, setelah wujudnya kesedaran rakyat dan lahirnya Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat maka kedudukan BN sekonyong-konyong tergugat. Rakyat tiba-tiba menjadi pintar. Rakyat semakin tajam matahati, sensitif kepada persekitaran dan perkembangan politik semasa. Dalam diam tidak diam rakyat menuntut bermacam-macam perubahan. Rakyat tidak segan-segan menolak politikus yang bercendawan, berpekung, berbarah dan mengidap bermacam-macam penyakit.
Sesungguhnya BN telah sedar bahawa rakyat telah muak dan mual dengan retorik politik yang menjadikan rakyat titian ahli-ahli politik menyeberang ke gunung kemewahan peribadi, memperlakukan rakyat sebagai jambatan ke arah cita-cita pemimpin memperkaya diri sendiri, keluarga dan kroni, merompak hak rakyat dengan menyelinap atas kuasa politik. Akhirnya rakyat sedar pemimpin-pemimpin BN menari dan bersuka ria di atas kesengsaraan rakyat.
Rakyat bawahan berhempas pulas mengerah keringat pagi dan petang kekadang hingga ke malam untuk mencari sesuap nasi. Sementara pemimpin BN dan kroni bermewah-mewah menghabiskan wang yang seolah-olah tidak terhabis-habis. Rakyat bawahan melihat bagaimana pemimpin-pemimpin BN menaburkan wang setiap kali berlaku pemilihan parti kerana daripada jawatan parti yang mereka kuasai, mereka akan dapat peluang menjadi menteri, timbalan menteri, wakil rakyat atau wakil kepada menteri-menteri. Justeru itu, mereka akan menang atas slogan ‘Undilah BN’. Rakyat tiada pilihan. Hanya satu, hanya itu yang dapat menjamin kehidupan rakyat kononnya.
Tetapi selepas lahirnya slogan ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ sekonyong-konyong BN tergugat. Lima negeri tumbang, di negeri-negeri lain keadaan tidak menjaminkan. Tiba-tiba parlimen bergegar. Wakil-wakil rakyat BN tidak boleh lagi ‘bersultan di mata, beraja di hati’. Rakyat telah sedar bahawa ‘sembah derhaka’ pun halal diucapkan kalau ‘berani kerana benar, takut kerana salah’. Rakyat tahu pemimpin macam mana yang hendak dipilih kerana ‘benih yang baik campak ke laut menjadi pulau’, pemimpin yang baik dipenjara menjadi mulia, difitnah tetap terbongkar kebenaran, diinjak-injak menjadi perkasa.
Maka setelah dikumpul segala pengkaji sosial dan penganalisa politik serta bijak pandai pembelit diungkapkanlah ‘Mohon Restu Rakyat’ sebab selama ini rakyat tidak pernah merestui mereka. Rakyat tidak diberi pilihan. Rakyat diugut, ditipu dan diakal-akalkan.
Namun, rakyat tidak selamanya sedangkal akal mereka. Rakyat telah celik politik. Rakyat telah ‘terang lagi bersuluh’. Oleh itu, restu rakyat tidak lagi mereka perolehi. Rakyat terus menolak dan menentang. Jadi cukuplah pemimpin BN – bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan sehelai daun.
HIDUP RAKYAT......
No comments:
Post a Comment