ALLAHHU AKBAR..
Bersempena dengan Eidhul Adha yang disambut pada 10 Zulhijjah ini, Parlimen Telok Kemang tidak ketinggalan dalam menganjurkan Ibadah Qurban. Program tahun ini akan diadakan di Kg. Bukit Pelandok (DUN Chuah), Kg. Telok/Pasir Panjang (DUN Linggi) & Tmn. Politeknik (DUN Bagan Pinang) pada Hari Raya Qurban yang ke 2. Setakat ini sebanyak 3 ekor lembu disumbangkan untuk dikorbankan dan dagingnya akan diagih-agihkan kepada asnaf di kawasan berhampiran.
Eidhul Adha atau Hari Raya Korban tersirat falsafah dan pengajaran bahawa Ibadah Qurban dan pengorbanan sangat mulia dan penting dalam kehidupan umat Islam. Pengajaran dan falsafah dari peristiwa Ibrahim A.S dan Ismail A.S menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT lebih daripada yang lain walaupun membabitkan ianya persoalan nyawa dan kasih sayang seorang ayah dan anak. Terdapat banyak hikmah dan pengajaran di sebalik ibadah korban, antaranya melatih diri sanggup berkorban pada perkara yang berkaitan kebaikan serta kebajikan.
Melaluinya ia akan membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri seseorang manusia serta sebagai tanda kesyukuran atas nikmat Allah SWT yang dikurniakan samada kita sedari mahupun tidak.
Namun dalam takrifan yang lebih luas, Ibadah Qurban tidak semestinya dengan menyembelih haiwan semata-mata, tetapi juga bermaksud berkorban masa, tenaga dan harta benda bagi membantu golongan rakyat marhaen yang memerlukan pembelaan serta kesediaan kita untuk berjuang dalam menegakkan keadilan, menentang rasuah dan penyelewengan pemerintah atas niat kita semata-mata kerana Allah SWT.
Sesungguhnya pengertian dan falsafah ibadah korban yang lebih luas seharusnya kita fahami dan hayati. Natijah dari Eidhul Adha adalah kebahagiaan dan kejayaan perlu kepada pengorbanan.
Pengorbanan pula sangat berkait rapat dan perlu kepada ketabahan, kesabaran, dan diikuti dengan Tawakal. Inilah intipati falsafah Hari Raya Korban yang seharusnya kita manfaatkan.
Salam dari:
DATO’ KAMARUL BAHARIN BIN ABBAS
Ahli Parlimen Telok Kemang
10 Muharram 1430 Hijrah
No comments:
Post a Comment