Agak pelik apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hassan membuat kenyataan media membidas Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana suka mengkritik pimpinan utama BN. Jarang sekali MB Negeri Sembilan ini mengeluarkan kenyataan menghentam pembangkang.
Namun AMK Negeri Sembilan tidak bersetuju dengan kenyataan MB Negeri Sembilan itu. Persoalannya, apakah kenyataan Dato’ Seri Mohamad Hassan tersebut sebagai suatu usaha ‘murni’ beliau untuk menjaga dan melindungi kedudukan politiknya yang dikira ‘terancam’ sejak Pilihanraya Kecil Bagan Pinang lalu? Kemenangan Tan Sri Isa Samad pada pilihanraya kecil tersebut dikatakan telah kembali mengoncang kedudukan politik beliau di Negeri Sembilan. Sudah kedengaran desus-desus kedudukan MB negeri ini akan bertukar!?
Kenyataan Mohamad Hassan itu telah cuba mengalih perhatian rakyat terhadap ‘kegoncangan’ politik Umno-BN Negeri Sembilan. Ia seolah-olah kepimpinan beliau tidak diganggu gugat dan stabil. Dalam tempoh beliau menjawat jawatan Menteri Besar, tidak banyak kepesatan ekonomi yang berlaku dalam negeri ini. Rakyat Negeri Sembilan juga tidak lupa apabila ramai pelabur-pelabur asing tidak lagi meneruskan pelaburan dalam negeri sehingga banyak kilang di kawasan perindustrian Senawang dan Nilai ditutup. Hasilnya ramai rakyat dalam negeri ini diberhentikan kerja atau kehilangan pekerjaan.
Walaupun terdapat perubahan landskap khusus di sekitar Seremban (wujudnya lingkaran lebuhraya Seremban) tetapi rakyat masih tidak mendapat manfaat ekonomi yang pesat. Kedudukan Negeri Sembilan yang berhampiran dengan KLIA dan Lembah Kelang sepatutnya mewujudkan kerancakan ekonomi tetapi negeri ini tidak mengalami krancakan dan kepesatan tersebut. Malah negeri Melaka dilihat lebih maju terkedepan dari Negeri Sembilan dengan keyakinan pelabur-pelabur melibatkan pelaburan mereka di situ. Ini yang harus ditangani oleh MB Negeri Sembilan dan perlu membuktikan 52 tahun BN memerintah Negeri Sembilan sepatutnya negeri ini telah maju ekonominya dan bukan sekadar berpuashati dengan tahap sedia ada. Buktinya ramai rakyat negeri ini bekerja di sekitar Lembah Kelang walaupun menetap di Seremban kerana tidak ada kerancakan ekonomi yang menyakinkan.
Peranan Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen sebagai Ketua Pembangkang bukan sekadar mengkritik dan menghentam pimpinan kerajaan BN membuta tuli. Kepentingan ‘check & balance’ sebagai memastikan kelancaran dasar-dasar ekonomi dijalankan dengan baik dan cekap oleh kerajaan memerintah. Segala ketirisan, ketidakseimbangan dan kelemahan perlaksanaan dasar-dasar perlu dipantau,ditegur dan diperbaiki. Maka, inilah peranan pembangkang khususnya Ketua pembangkang mengetengahkan kepada pemerintah dan ketahui umum.
Pihak Pakatan Rakyat Negeri Sembilan melalui ADUN-ADUN PR juga berkeupayaan membantu, menyampaikan idea-idea memulihkan ekonomi negeri ini dan sedia membantu kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat. Idealisma mewujudkan kecekapan pemerintahan dan kemakmuran rakyat tanpa mengira fahaman politik adalah tujuan penting yang ingin disampaikan kepada pemerintah negeri. Jika ini dianggap suatu bentuk permainan politik oleh kerajaan negeri khususnya Mohamad Hassan, keupayaan menjana ekonomi Negeri Sembilan tidak akan berganjak ke arah yang lebih cekap dan produktif.
Rebin Birham.
Ketua AMK Negeri Sembilan
No comments:
Post a Comment