Nazri Abdullah
REMBAU, 16 Nov: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Hj Mohamad Hj Hassan dituntut memberi penjelasan berhubung isu 'Penyeludupan' RM10 juta yang didakwa telah dikirim ke luar negara.
Tuntutan dibuat Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin melalui satu surat terbuka kepada Mohamad Hassan.
Dalam surat bertarikh hari ini, Badrul yang juga Ketua PKR Rembau membawa maklumat Bank Negara Malaysia (BNM) mendapat bukti menunjukkan Mohamad Hassan, melalui Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd (salah satu lesen perniagaan pengurupan wang yang didakwa dibatalkan) telah mengirim sejumlah wang yang bernilai RM10 juta ke London pada tahun 2008.
Menurutnya kegiatan itu juga telah melanggar Akta Pengurupan Wang 1998 iaitu Seksyen 30(1)(b), "… perbuatan yang melibatkan, yang berkaitan dengan, atau sebagai persediaan bagi, pengiriman atau pemindahan dana ke luar Malaysia…" dan; Seksyen 35(b), "memberikan apa-apa maklumat yang palsu dalam sesuatu butir material bagi mana-mana Akta ini".
Berikutan maklumat tersebut, beliau juga memohon dua persoalan berikut yang dianggap besar perlu dijawab.
"Adakah benar YAB Datuk Seri Utama terlibat dalam transaksi seperti maklumat yang diperolehi ? Dan kenapa ia melanggar undang – undang ?
"Bolehkah YAB Datuk Seri Utama secara telus menerangkan dari mana datangnya dana sebanyak RM10 juta dan apakah tujuan transaksi tersebut?" soalnya.
Beliau turut menyeru kepada Gabenor BNM, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz agar menyiasat segera terhadap Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd serta mengumumkan siapa penerima dan pengirim yang berkaitan serta tujuan transaksi yang dijalankan.
"Saya telah hilang kepercayaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) namun kesempatan ini saya mencabar SPRM (jika ia bukan perkakas regim penguasa) menyiasat segera secara terbuka terhadap punca-punca dana sebanyak RM 10 juta yang dikirim oleh Mohd Hassan dan penerima transaksi yang ditujukan," katanya lagi.
Baliau juga memberitahu satu laporan rasmi juga akan dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Kormesial PDRM berkenaan perkara tersebut.
Turut dimuatkan dalam surat tersebut, kes-kes pengiriman wang secara haram pada tahun 2008 dan 2009 dan tindakan yang pernah dikenakan terhadap sebuah syarikat pengurup wang pada tahun 2006..
"Pada tahun 2009, telah berlaku 92 kes yang melanggar seksyen 30 dalam Akta tersebut. Perkembangan ini (pada tahun 2008, 12 kes telah meningkatkan kepada 92 kes pada tahun 2009) adalah satu fenomena yang membimbangkan.
"Ini menunjukkan bahawa pengiriman wang secara haram makin tidak terkawal.
"Manakala maklumat yang ada mendedahkan bahwa BNM mengenakan tindakan terhadap hanya satu pengirim dana yang melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998.
"Pengurupan wang ini telah dikompaun sebanyak RM50,000.00 pada tahun 2006, " katanya.
No comments:
Post a Comment