Wednesday, June 17, 2009

Umno yang menjahanamkan tanah Melayu!!!


dipetik daripada Chegubard.blogspot.com

Seramai 47 pemilik tanah adat yang terbabit dengan pembinaan landasan kereta api berkembar menyatakan pendirian tidak akan berpindah sekiranya tuntutan mereka mendapat ganti rugi setimpal serta tanah gantian, tidak dipenuhi.

Kesemua mereka membabitkan tiga kampung di sini sepakat supaya kerajaan mengambil kira tuntutan mereka terlebih dahulu sebelum pengambilan tanah itu boleh dilakukan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Tiga kampung terbabit , Kampung Chembong Halt, Waris Tebat dan dan Chuai Hilir, di sini.

Mereka menuntut nilai ganti rugi haruslah setimpal dengan harga semasa tanah dan rumah ataupun setidak-tidaknya memindahkan mereka ke satu kawasan tanah yang lebih baik sebagai perpindahan baru.

Wakil penduduk, Che Tak Amat berkata, pendirian yang diambil adalah untuk menuntut hak mereka sebagai tuan tanah yang selama ini merasakan diri diperkotak-katikkan pihak tertentu.

Menurutnya, nilai ganti rugi yang akan dibayar ternyata tidak setimpal sehingga menyebabkan mereka tidak berpuas hati dan menganggap pihak terbabit mempergunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan.

“Nilai yang ditafsirkan terlalu rendah berbanding nilai pihak swasta yang dilantik. Kami penduduk kampung tidak akan berganjak sekiranya ganti rugi yang dibayar ini tidak setimpal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa pertemuan dengan penduduk kampung Waris Tebat, di sini semalam.

Pada pertemuan itu, lebih 12 wakil penduduk kampung hadir bersama Ketua Keadilan Bahagian Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Menurut Che Tak, sekiranya mereka menerima tawaran yang diberikan pihak KTMB itu, ia bukan saja merupakan kerugian besar buat pemilik tanah terbabit, tetapi mereka mungkin menghadapi masalah untuk membeli tanah atau rumah lain kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

“Seandainya penduduk bersetuju dengan ganti rugi yang mereka mahu berikan itu, ia sememangnya tidak mencukupi untuk mereka membeli tanah dan membina rumah kembali memandangkan harga yang diberikan terlalu rendah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bantahan penduduk itu bukan bererti mereka mahu menolak pembangunan, tetapi mereka juga perlu memikirkan diri mereka sendiri supaya pembangunan itu nanti tidak menindas serta mengetepikan hak mereka.

Sementara itu, beliau berkata, status pengambilan tanah itu juga menjadi tanda tanya berikutan belum ada sebarang notis perpindahan dan pembayaran yang bakal mereka terima.

“Apa yang saya harapkan pihak kerajaan campur tangan dengan memberikan kerjasama dan bantuan kepada penduduk dalam menuntut keadilan agar kami tidak teraniaya,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana nasib mereka itu didakwa tidak mendapat perhatian pemimpin setempat menyebabkan mereka berasa seolah-olah dianiaya.

Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, pihaknya akan membantu penduduk di situ menuntut hak mereka menerusi memorandum akan dihantar ke Parlimen dan Istana menggesa kerajaan mengambil tindakan menyelesaikan masalah pemilik tanah itu segera.

No comments: