Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sekali lagi menentang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno yang diilhamkan oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Menteri besar Kelantan itu menyifatkan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno sebagai "mengarut".
"Kita sudah buat keputusan menyokong Pakatan Rakyat dalam muktamar PAS yang lalu. Kalau nak berunding dengan Umno, tak usah.
"Kerajaan perpaduan ni tak usahlah, mengarut," katanya ketika berucap dalam program ceramah perdana bersempena muktamar PAS di Stadium Malawati di Shah Alam malam tadi.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan seorang wakil Hamas, Palestin turut berucap di program yang dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang.
Abdul Hadi semasa ucapan dasarnya menyentuh mengenai kesediaan berdialog dengan Umno dan menegaskan keperluan kerajaan perpaduan walaupun agenda itu dibantah dan tidak diterima oleh banyak kalangan dalam PAS.
Nik Aziz berkata, individu dan kerajaan lain tidak kenal Umno sama seperti kerajaan Kelantan.
"(Bagi) otak Umno, di Perak, kerajaan Pakatan Rakyat yang menang dia ambil menjadi kerajaan dia.
"(Jadi) kita perlu matikan Umno habis-habisan," katanya lagi.
Telur-telur penjajah
Umno adalah telur-telur yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris, tambah Nik Aziz.
Beliau juga mendakwa ada menteri persekutuan yang mengarahkan kakitangan kementeriannya di Kelantan supaya tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.
"Inilah (slogan) satu Malaysia kerajaan (Datuk Seri Najib Razak) sekarang ini," katanya.
Nik Aziz juga berkata, perwakilan muktamar PAS tidak bercakap mengenai ucapan dasar presiden tetapi bercakap perkara lain.
Katanya, beliau sempat mendengar dua atau tiga perwakilan yang membahaskan ucapan dasar presiden semalam.
"Ini restoran, kalau kita masuk restoran kita minta makanan, kita minta minuman.
"Tetapi kita minta minyak silinder, kita hendak betulkan tayar motokar. Ini pelik," katanya.
"Orang ketawakan kita apabila kita bercakap benda lain di dalam muktamar (PAS)."
No comments:
Post a Comment