Tuesday, June 16, 2009

KERAJAAN PERPADUAN YANG DIINGINKAN


Sekonyong-konyong rakyat Malaysia dinanyikan pula dengan konsep baru politik negara yang kononnya bernama ‘Kerajaan Perpaduan’.

Tatkala berlangsungnya muktamar PAS media milik pusaka BN menyebarluaskan konsep ini untuk mendapatkan ‘political mileage’ daripada rakyat. Almaklumlah sekarang ini UMNO/BN tidak mempunyai isu politik untuk menarik perhatian rakyat . Maka setelah dikumpulkan segera ahli nujum negar, isu ini difikirkan amat sesuai digunakan sebagai ‘political solution’ mungkin untuk ditayangkan kepada rakyat yang UMNO di bawah kepimpinan Najib bersedia berbuat apa sahaja untuk membela orang Melayu. Dalam masa yang sama mereka dapat menyalakan ‘api petrol’ di antara parti-parti gabungan Pakatan Rakyat!.

Maka dengan itu, media pusaka milik BN pun memetiklah ulasan-ulasan pemimpin-pemimpin UMNO termasuk PM Najib, TPM Muhyidin dan sekonyong-konyong menjadi cukup prihatin dengan PAS sehingga muktamar PAS mendapat liputan yang agak istimewa kali ini.

Di kalangan rakyat memang ramai yang terkeliru dan tertanya-tanya apakah plot drama politik ini cerita benar atau rekaan semata-mata dan tidak kena-mengena sama ada dengan yang hidup atau yang mati.

Di kalangan pemerhati politik pula meneka-neka apakah ‘political solution’ ini akan memihak kepada UMNO BN atau meranapkan gelombang kebangkitan rakyat dalam Pakatan Rakyat. Atau apakah ‘game’ ini akan berakhir dengan UMNO ‘terperangkap’ sekali lagi dalam kemelut politik sepertimana yang mereka alami dalam dilemma politik di Perak?
Sedangkan PKR melalui ketua umumnya DSAI telah menafikan isu ‘Kerajaan Perpaduan’ ini atas sifatnya sebagai moderator Pakatan Rakyat. Tuan Guru Nik Aziz begitu marah dengan ‘agenda UMNO’ ini katanya. Sementara Karpal Singh dan pemimpin DAP pula sekeras-kerasnya menentang. Tuan Guru Hadi Awang pula begitu ‘bergaya’ menguasai ‘game’ baru ini. Cuma kita lihat pemimpin-pemimpin UMNO begitu ‘berharap’ nampaknya dengan keyakinan yang terketar-ketar. Sementara MCA dan GERAKAN serta MIC mula curiga.

Apa pilihan UMNO sekarang? Kalau diumpamakan misal, andaikata ini terjadi UMNO akan ‘survive’ tetapi MCA, Gerakan dan MIC akan kehilangan pengaruhnya di kalangan pengikut Cina dan India. Sekiranya tidak terjadi bagai dikata orang Melayu akan berpaling daripada UMNO dan bertaut kepada PAS dan PKR! Jadi tolak campur darab tambah kali ini bukan congak politik bijak untuk UMNO.

Betapa tidaknya? Kerajaan perpaduan yang sebenarnya ialah kerajaan yang mengekalkan konsep perpaduan semua kaum di Malaysia. Negara kita yang tercinta ini terdiri daripada pelbagai kaum. Perpaduan yang hakiki dan paling ideal untuk rakyat Malaysia ialah perpaduan semua kaum. Hanya dengan perpaduan tulen semua kaum barulah Malaysia dapat memacu ekonominya ke arah yang lebih gemilang. Sebaliknya jika rakyat di negara ini dihimpit oleh kesusahan dan kesengsaraan hidup maka tidak akan wujud keharmonian. Yang akan lahir ialah jenayah dimana-mana, keluarga akan terbiar, pelajaran anak-anak terabai, perceraian berleluasa, penipuan menjadi amalan, rasuah akan lebih subur, penindasan sosial akan berakar umbi, kecurigaan budaya akan berkembang-biak kedurjanaan agama akan menjadi amalan dan bermacam-macam masalah sosial, budaya, ekonomi dan agama akan bercambah dan meningkat.

Perpaduan yang sebenarnya dalam konteks di Malaysia ialah perpaduan semua kaum. Kekayaan yang dimiliki oleh negara ini hendaklah diurus dengan baik dan dinikmati oleh semua kaum. Potensi sumber manusia di negara ini hendaklah dipertingkatkan seoptimum mungkin melakari pendidikan dan latihan yang bersesuaian supaya tenaga rakyat di negara ini dapat disalurkan kepada kemantapan pertumbuhan ekonomi negara. Elemen-elemen yang menyebabkan kerugian kepada negara harus dikawal. Buruk sangka sesama rakyat harus dihapuskan.

Dengan itu, barulah lahir ‘perpaduan sejati’. Perpaduan sejati ini adakah hak sebenar rakyat Malaysia. Konsep perpaduan berdasarkan satu-satu kaum sahaja adalah warisan peninggalan penjajah yang belum dapat dikikis di dalam pemikiran pemimpin-pemimpin UMNO. Yang akan subur jika konsep perpaduan satu kaum ini dilaksanakan ialah sikap angkuh dan sombong kaum itu sendiri. Sikap ‘ketuanan’ atau ‘bos’ ini nanti akan melahirkan ‘pekerja-pekerja’ atau ‘kuli-kuli’ yang suka mengipas dan membodek dan akhirnya bos itu sendiri yang ‘diakalkan’.

Islam mengajarkan kita mengutamakan akhlak di dalam hidup bermasyarakat. Mengutamakan jiran dan menganjurkan keamanan dan keselamatan. Oleh itu konsep perpaduan semua kaum adalah formula terbaik untuk membentuk negara yang gemilang.
Orang-orang Tiong Hua akan lebih selesa sekiranya birokrasi di dalam pentadbiran BN dapat dikurangkan untuk mereka lebih selesa berniaga atau ‘cari makan’. Mereka tidak akan terfikir atau berprasangka buruk terhadap orang Melayu. Sangkaan buruk perkauman ini telah tertanam sebelum penjajah dan selepas negara merdeka. Oleh itu, tidak hairan banyak kes-kes ekonomi dan soal keusahawanan bumiputera tidak terlerai sehingga sekarang walaupun dalam Dasar Ekonomi Baru usaha begitu giat dijalankan untuk memperkukuh ekonomi bumiputera. Tetapi hasilnya ternyata konsep DEB itu gagal melahirkan usahawan bumiputera yang berwibawa kerana tidak mendapat kerjasama daripada kaum yang menguasai sebahagian besar ekonomi negara iaitu kaum Cina. Konsep mesti melebarkan emosi kebencian kaum dengan menubuhkan kerajaan perpaduan UMNO-PAS yang berteraskan Melayu sahaja?

Sementara orang Melayu yang rata-rata beragama Islam pula mereka mengamalkan konsep ‘mencari rezeki’ bukan ‘cari makan’. Mencari rezeki adalah ikhtiar yang berlandaskan kepada ketentuan dan takdir Allah S.W.T selebihnya orang-orang Islam adalah khalifah di bumi Allah S.W.T yang mengabdikan diri untuk ‘memakmurkan’ bumi ini. Menyuburkan semangat perkauman sempit adalah bertentangan dengan konsep kekhalifahan itu sendiri.

Jika orang Melayu mahu menjadi pemimpin di bumi Malaysia ini, pimpinlah kaum-kaum lain dengan konsep keadilan yang dituntut oleh Islam. Perjuangkan perpaduan untuk semua dengan penuh tawadu’ dan mengikut syariat yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T

Orang Islam adalah benteng kaum lain di negara ini. Islam ada dalam kaum lain. Islam bukan milik orang Melayu sahaja. Keadilan ada dalam Islam dan perpaduan ada penyelesaiannya dalam Islam.

Oleh itu, konsep politik masa depan di Malaysia adalah acuan baru yang menolak secara total konsep politik warisan penjajah. UMNO, MIC dan MCA adalah peninggalan penjajah. Pada waktu itu ianya digunakan untuk menundukkan British mengawal dan mengurus kaum-kaum di Malaysia. Ianya sudah tidak bersesuaian lagi dengan masa depan politik di Malaysia.

Terimalah hakikat yang Malaysia kini berpenduduk berbilang kaum, agama dan budaya. Tidak ada tempat untuk politik perkauman bercambah dan berkembang-biak. Sekarang adalah masanya untuk melihat Malaysia sebagai model kesatuan bangsa dan negara yang kompleks di bawah satu bumbung. Naungan politik itu ialah politik baru ketuanan rakyat. Perpaduan yang hakiki ialah perpaduan semua bangsa dari Perlis ke Sarawak sepertimana konsep yang didukung oleh PKR!

No comments: