Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep ‘wasatiyah’ atau kesederhanaan yang dilaungkan kerajaan cuma slogan tanpa amalan.
Katanya, dalam usaha memupuk kesederhaan dalam kehidupan, kerajaan mesti menunjukkan teladan yang boleh diikuti oleh rakyat melalui dasar perbelanjaan dan pengurusan negara.
“Jika wasatiyyah menjadi luahan bibir semata-mata, tetapi ketirisan, penyelewengan, pemborosan,penyalahgunaan kuasa, pembohongan dan penganiayaan menjadi amalan, siapa sahaja mampu untuk menzahirkan perkataan wasatiyyah,
“Seringkali wasatiyyah atau kesederhanaan menjadi lafaz di bibir, tetapi tidak berjaya menjadi amalan untuk dipraktikkan dalam kehidupan, kata Anwar lagi dalam tazkirah Maghrib di Surau Taman Cermai, Sama Gagah, Permatang Pauh, semalam.
17 Januari genap dua tahun pelancaran Kursi Wasatiyah di Universiti Malaya (UM) serta Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012.
Penubuhan dua institusi itu kononnya bagi melahirkan lebih ramai sarjana dan cendekiawan yang menerajui semangat kesederhanaan dan keseimbangan seperti tokoh Islam terkemuka al-Imam Ibnul Qayyim
Namun, langkah itu tidak digambarkan melalui tindakan kerajaan seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara selama bertahun-tahun mengenai pemborosan dan ketirisan yang berjumlah puluhan bilion ringgit.
Menurut Ernst and Young, salah satu daripada empat firma audit terbesar di dunia, dalam kajian mereka ‘Asia-Pacific Fraud Survey Report Series’, mendapati Malaysia adalah antara negara paling korup di dunia.
Global Financial Index (GFI) mendedahkan, jumlah aliran wang haram dari negara ini mencecah USD54 bilion bagi 2011 dan jumlah terkumpul sebanyak RM370 bilion sepanjang tempoh 2002 hingga 2011.
Manakala menurut Index Persepsi Rasuah Dunia 2013 (World Corruption Index) Malaysia di tangga ke-53 daripada 177 negara berbanding Singapura pada tangga ke-5 dan Brunei pada tangga ke-38.
Justeru kata Anwar, slogan wasatiyah yang dilaungkan kerajaan dan pimpinan BN hanya mainan dibibir bagi mengaburi mata rakyat, langsung tanpa amalan sebenar.
“Sekiranya pemborosan dan rasuah berleluasa, ketirisan dan pembaziran menjadi amalan kerajaan, ia tidak membawa apa-apa perubahan untuk diteladani oleh rakyat khususnya golongan bawahan yang mengharapkan pembelaan dari mereka,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=58393
No comments:
Post a Comment