Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar ADUN DAP Selangor yang menurutnya bertindak gopoh dengan membangkitkan cadangan untuk meminda enakmen berhubung pengembangan agama ke atas orang bukan Islam di negeri itu.
Anwar dalam kenyataannya yang dipetik dalam laporan Sinar Harian menyebut, para ADUN berkenaan sepatutnya menggunakan saluran dalam kerajaan negeri dan juga melalui Pakatan Rakyat untuk membincangkan isu tersebut.
“Saya juga tidak setuju dengan usul yang dikemukakan ADUN DAP, sementara kita tidak setuju dengan tindakan gopoh, kita juga jangan beri pandangan gopoh.
“Jangan gopoh minta pindaan dan sebagaiunya kerana ada saluran, kita kena bincang, kerajaan negeri pula kerajaan Pakatan Rakyat,” katanya.
Pindaan yang dituntut oleh ADUN DAP tersebut merujuk kepada Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.
Antaranya, ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin yang mahu pindaan itu dibuat kerana mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor bertindak sewenang-wenang ke atas pejabat Bible Society Malaysia di Petaling Jaya, 2 Januari lalu dengan bidang kuasa undang-undang tersebut.
“Kami ingatkan JAIS bahawa enakmen itu hanya terpakai untuk mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam.
“Ia tidak boleh sama sekali diguna untuk halang sesiapa daripada amalkan agama dengan bahasa pilihan mereka,” katanya seperti dipetik dalam laporan lidah parti DAP, Roketkini pada keesokan harinya.
Beliau mengeluarkan kenyataan itu bersama ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.
ADUN berkenaan mempertikaikan peruntukan Sekyen 9 Enakmen tersebut yang menggariskan kesalahan sekiranya menggunakan 34 istilah Arab untuk menyampaikan kepercayaan dan konsep selain agama Islam.
Menurut peruntukan tersebut, ia menjadi kesalahan sekiranya dilakukan melalui kenyataan atau ucapan awam, ucapa dalam perjumlaan atau kepada individu, dan dalam kenyataan atau ucapan yang diketahui akan disiarkan.
Sebanyak 34 istilah tersebut antara lainnya termasuk ‘Allah’, ‘Hadith’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘InsyaAllah’.
Wakil rakyat berkenaan menyebut, peruntukan itu bertentangan dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(3) Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan setiap warga hak untuk menganut, mengamalkan dan menguruskan agamanya sendiri.
“Enakmen itu perlu selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan ‘undang-undang negeri dan Wilayah Persekutuan boleh mengawal penyebaran agama lain kepada umat Islam’, tetapi tidak boleh mengawal hak orang bukan Islam amalkan agama mengikut cara mereka,” kenyataan itu dipetik.
Operasi JAIS itu turut melibatkan rampasan ke atas 321 naskhah Bible versi bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment