Saya tidak katakan saya tidak berminat untuk bertanding dalam pemilihan nanti.
PETALING JAYA: Akhir-akhir ini nama pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin dilihat lebih sinonim dengan NGO itu berbanding PKR sendiri.
Badrul yang lebih dikenali dengan nama CheguBard berkata ini kerana beliau selesa bergerak di bawah SAMM untuk merealisasikan impiannya mendekatkan anak muda dengan politik.
“Bagi saya, peranan saya dalam politik ialah untuk memberi kecelikan politik kepada kelompok muda.
“Saya selesa berbuat demikian melalui SAMM dan dalam parti pun saya lakukan perkara yang sama,” katanya apabila dihubungi FMT.
Beliau bagaimanapun tidak terus menutup pintu untuk bertanding dalam pemilihan PKR akan datang.
“Buat masa ini saya selesa dengan gerak kerja saya dalam parti dan SAMM sendiri.
“Saya tidak katakan saya tidak berminat untuk bertanding dalam pemilihan nanti, cuma macam saya katakan saya selesa dengan kerja sekarang,” katanya yang pernah bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dalam pemilihan lalu.
Sementara itu, mengulas mengenai isu ‘pertelingkahan’ Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tmbalan Presiden PKR Azmin Ali, CheguBard berkata ianya hanya akan menguntungkan rakyat Selangor.
“Tak ada masalah tegur-menegur dalam memperbaiki apa juga urusan pentadbiran kerajaan negeri. Saya rasa tiada masalah dan saya yakin di Selangor, dah sampai tahap politik matang.
“Mereka bukannya berebut tanah atau saham. Mereka bergaduh soal PKNS, soal pengurusan yang terbaik untuk negeri. Dari senyap-senyap di belakang, lebih baik mereka bergaduh terang-terang,” tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, mungkin perkara ini pelik di mata orang awam kerana jarang-jarang ia berlaku.
“Saya tak nampak parti itu berpecah kepada dua kem sebab PKR, sebagai parti yang matang, pertembungan idea tu perkara biasa.
“Saya percaya semua kakitangan kerajaan negeri akan terus berkhidmat dengan baik, cuma kegusaran orang ramai tentu wujud sebab jarang perkara ini berlaku,” tambahnya lagi.
No comments:
Post a Comment