Monday, February 1, 2010
SELAMAT MENYAMBUT HARI WILAYAH
Pada hari ini, seluruh Wilayah Persekutuan meraikan Ulang Tahunnya yang ke-36. Sempena sambutan Hari Wilayah ini, saya ingin menarik perhatian Kerajaan serta penduduk wilayah tentang beberapa isu besar yang melibatkan kepentingan dan kemaslahatan rakyat agar sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini dapat dimanfaati bersama.
Sebelum meraikan Hari Wilayah, marilah kita meraikan keberanian mahasiswa Universiti Malaya memperjuangkan sistem pilihan raya yang lebih telus dalam kampus baru-baru ini.
Sepertimana yang kita maklumi, rakyat Malaysia yang tinggal di luar kawasan WP berpeluang untuk mengundi wakil kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri. Ini tidak dinikmati oleh 1.5 juta rakyat di kawasan WP yang tidak berpeluang untuk menentukan kepimpinan mereka di peringkat wilayah. Ini juga bermakna RM 2.12 bilion wang peruntukan DBKL, tidak dipantau oleh mana-mana wakil rakyat di peringkat WP. Ini bercanggah dengan prinsip demokrasi yang menetapkan penyertaan rakyat sebagai tunggak kepada sebuah pentadbiran yang telus dan adil. Justeru, saya menyeru agar rakyat Wilayah Persekutuan diberikan ruang dan kuasa untuk menentukan dasar dan halatuju pemtadbiran WP melalui dialog dan rundingan awam yang melibatkan semua lapisan masyarakat.
Saya turut berasa kesal dengan penyelewengan kuasa dan penggunaan e-undi yang berlaku dalam pilihan raya kampus baru-baru ini. Saya menggesa pihak pentadbir universiti agar lebih menghormati hak mahasiswa untuk berpolitik melalui wadah demokratik di kampus dengan bebas dan saksama.
Baru-baru ini, penahanan 9 mahasiswa Universiti di kawasan Jalan Raja Laut, Wilayah Persekutuan kerana berhimpun dan berarak secara aman amatlah dikesali. Sebagai generasi pelapis kepimpinan negara, saya yakin dan percaya bahawa mahasiswa kampus harus diberikan peluang dan ruang untuk menyuburkan demokrasi dan hak asasi di kampus ke arah Malaysia yang lebih bebas dan harmoni.
Dengan itu, sekali lagi saya ingin mengucapkan Salam Hari Wilayah dan Salam Demokrasi!
NURUL IZZAH ANWAR
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment