Saturday, February 20, 2010

Projek Terbengkalai di Selangor dipulihkan!




Dalila Shamimi

Masyarakat di Flat Sri Sentosa, Taman Saujana Puchong mengalu-alukan tindakan Kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat menyelesaikan kemelut yang melanda pembeli unit -unit terbengkalai warisan kerajaan Umno-BN.

Tindakan itu juga dilihat sebagai usaha murni bagi membantu rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Mereka melihat langkah kerajaan Selangor itu mengurangkan risiko bahaya berikutan pembinaan terbengkalai di bangunan C dan D pangsapuri itu, menjadi sarang penagih dadah dan lokasi kegiatan tidak bermoral.

“Alhamdulillah, sejak kerajaan Selangor ambil alih ini, ia berjalan lancar. Sebelum ini , tidak tahu apa masalahnya. Mungkin pemaju tidak ada duit...bankrap. Tak tahulah,” kata Hasmisah Harun, penduduk pangsapuri Sri Sentosa.

"Saya berterima kasih kepada kerajaan ngeri kerana membuat balik pembinaan yang sekian lama terbengkalai, bukan sahaja disini....Mana-mana projek terbengkalai dilaksanakan sepenuhnya,” kata penduduk pangsapuri sama, Rosdi Ramin.

Esok, bertempat di Taman Ukay Bistari Hulu Kelang, Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan kunci kepada 300 pembeli unit-unit rumah disiapkan di Ukay Bistari dan Saujana Puchong.

Langkah itu sebahagian daripada kejayaan kerajaan Selangor menyiapkan sepenuhnya lapan projek perumahan terbengkalai dalam tempoh enam bulan selepas mengenal pasti 141 projek perumahan terbengkalai sejurus mengambil alih kerajaan negeri.

Meliputi 50,000 unit rumah, kerajaan negeri memperuntuk sekurang-kurangnya RM5 bilion untuk memulihkan projek terbabit.

Seterusnya, sebanyak 42 projek yang terbengkalai sebelum ini diambil alih oleh pemaju baru untuk dibangunkan semula.

Sementara itu, kontraktor elektrik yang dilantik bagi menjalankan kerja-kerja penyambungan bekalan elektrik dalam projek itu mengesahkan sebahagian besar kerja-kerja itu sudah siap.

“Pada perbincangan mingguan, kita akan buat secepat mungkin. Ada baki kerja pengurusan untuk dapatkan kelulusan CF daripada pihak berkuasa tempatan dan pembaikan sahaja.

"Insya-Allah, kalau tak ada apa-apa masalah hujung tahun depan kemungkinan pembeli boleh menduduki rumah ini,” kata Shamsul Salim, seorang kontraktor elektrik Syarikat Mysaku Sdn Bhd.

Anwar juga dijangka mengadakan pertemuan bersama wakil pembeli melibatkan hampir 5,000 unit rumah terbengkalai seluruh Selangor.

Kerajaan negeri mensasarkan 20 peratus dari jumlah keseluruhan dapat dipulih dan diserahkan semula kepada pembeli sebelum tahun 2010 berakhir.

Aktiviti pemulihan ini dijangka menjana kesan gandaan terutamanya bagi merancakkan kembali sektor pembinaan, terutamanya di kalangan kontraktor kecil dan sederhana.

No comments: