Monday, August 10, 2009

Pilihanraya kecil Permatang Pasir bulan puasa


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos, awal Ramadhan, dan penamaan calon pula 17 Ogos.

Pengerusi SPR, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya memutuskan untuk mengadakan pilihanraya kecil itu dalam bulan puasa "ia merupakan masa yang palng sesuai sekali untuk menyelesaikan secepat yang boleh kerana umat sedang berpuasa".

"Waktu itu juga merupakan masa cuti sekolah," katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya pagi ini.

Pilihanraya kecil kelapan ini diadakan ekoran kematian ADUN tunggal di negeri tersebut, Datuk Hamdan Abdul Rahman pada 31 Julai lalu.

Permatang Pasir adalah satu daripada tiga kerusi negeri dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Kubu kuat PAS ini dipertahankan selama tiga penggal berturut-turut oleh allahyarham sejak pilihanraya umum 1999, sewaktu memuncak kemarahan orang ramai susulan insiden pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno.

Awak Ramadhan dijangka jatuhnya pada 21 Ogos.

Bercakap dalam sidang akhbar pagi ini, Pengerusi SPR Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan kerusi DUN Pematang Pasir kosong, berkuatakuasa 1 0gos lalu.

Berikutan itu, katanya, SPR melantik pegawai daerah Seberang Perai Tengah, Roslan Yahaya sebagai pegawai pengurus pilihanraya kecil tersebut.

Abdul Aziz berkata, senarai pemilih induk 2008 yang digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama 2009 yang telah dikemaskini sehingga 31 Julai 2009, akan digunakan dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir.

DUN ini mempunyai 20,290 pemimilih berdaftar yang terdiri daripada 20,289 pemilih biasa dan seorang pemilih pos.

Abdul Aziz berkata, SPR akan menggunakan Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan undi.

Terdapat lapan pusat mengundikan disediakan melibatkan 39 saluran. Daftar pemilih akan mula dijual pada 14 Ogos, tambahnya.

Menurut Abdul Aziz, keputusan dijangka dapat diumumkan pada jam 8 malam.

"Tepat 8 malam SPR akan umumkan keputusan walaupun calon yang menang tidak hadir.

"Apabila keputusan sudah muktamad ia boleh diumumkan. Kita tidak mahu lewat," katanya Abdul Aziz.
________________________________________________________________________

Salleh, Mat Sabu calon pilihan PAS

Jawatankuasa pusat PAS semalam membincangkan lima nama yang disenaraikan - termasuk Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man dan ahli jawatankuasa pusatnya Mohamad Sabu - untuk kerusi DUN Permatang Pasir.

Bagaimanapun jawatankuasa tersebut tidak memutuskan nama calon tersebut dan keputusan muktamad akan ditetapkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiga lagi nama yang turut dicadangkan: Timbalan Pesuruhjaya III PAS negeri Rosidi Hussain, Ketua Pemuda negeri Mohd Yusni Mohd Piah dan Shamsul Kamal Sahpie, iaitu pegawai peribadi penyandang kerusi tersebut, allahyarham Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman.

Bagaimanapun Salleh dan Mohamad, yang juga timbalan pesuruhjaya II PAS negeri, disebut-sebut sebagai "calon pilihan" PAS untuk pilihanraya kecil tersebut - yang kelapan sejak selepas pilihanraya umum Mac 2008.

Difahamkan parti itu akan mengumumkan calonnya "bila-bila masa", hanya menunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Suruhanjaya tadi mengumumkan 25 Ogos sebagai hari mengundi, dan 17 Ogos pula hari penamaan calon.

Pilihanraya ini diadakan susulan kematian Mohd Hamdan, ADUN tunggal PAS di negeri tersebut, pada 31 Julai lalu.

Permatang Pasir antara tiga kerusi negeri dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Kubu kuat PAS ini dipertahankan selama tiga penggal berturut-turut oleh allahyarham sejak pilihanraya umum 1999, sewaktu memuncak kemarahan orang ramai susulan insiden pemecatan Anwar daripada kerajaan dan Umno.

No comments: