Thursday, August 20, 2009

Pentas rakan kongsi Rohaizat bela diri

Azamin Amin
Thu | Aug 20, 09 | 4:09:07 am MYT

PERMATANG PASIR,20 OGOS:Selain nama Teoh,A.Kugan, Altantuya menjadi sebutan dalam beberapa siri ceramah yang semakin 'hangat' sejak semalam, nama Yusri Ishak - rakan kongsi Rohaizat Othman mula muncul sekaligus mahu diberi peluang tampil untuk menangkis tuduhan Umno yang memburukkan beliau.

Umno dilihat 'menyucikan' calonnya dan mengalih perhatian, dengan melibas dan menuduh Yusri angkara segalanya. Ini cuba dikuatkan lagi dengan kenyataan Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan yang membela Rohaizat sekaligus 'berlawan' hujah dengan Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berikutan keputusan badan itu memecatnya.

PAS tanpa membuang masa, melalui Bendaharinya Pusat Dr Hatta Ramli mengalu-alukan Yusri untuk menjelaskan kedudukan seterusnya membersihkan namanya yang telah dicalarkan oleh para pemimpin Umno muktakhir ini.

"Kita sediakan pentas untuk Yusri tampil sekarang, jika dia mendengar... dia jadi mangsa dan namanya diburukkan oleh Umno.

"Kita nak dengar apa yang telah dilakukan oleh calon ini.Ada salah-lakukah, pecah amanah wang klien kah....kita semua nak tahu,"katanya dihadapan lebih 200 hadirin, sambil disorak dan disokong.

Sebelum itu,kira-kira 20 minit di Markas Utama PAS Permatang Pasir, bersebelahan ceramah Dr Hatta, puluhan pengamal media dan beberapa anggota polis berpakaian preman berkumpul kerana menantikan kononnya satu sidang media tergempar akan dibuat oleh Yusri bersama pimpinan PAS.

Namun spekulasi yang tersebar luas, oleh pihak tidak bertanggungjawab dinafikan oleh pihak urusetia dan beberapa pimpinan PAS yang dihubungi, menjelaskan bahawa setiap sidang media rasmi hanya akan dibuat 11.00 pagi setiap hari di markas tersebut yang juga Pusat Khidmat DUN Permatang Pasir.

"Ini salah satu taktik nak burukkan nama PAS di hadapan media...bila rasa tertipu,mungkin tulis yang bukan-bukan atau tak nak lagi datang sidang media dah..."kata salah seorang petugas.

Menurut sumber, difahamkan isu salahlaku Rohaizat, akan didedahkan secara terperinci hari ini di Yayasan Salam, dekat sini.

Di sebalik itu,kemeriahan suasana kempen Pilihan Raya Kecil N11 sudah mula terasa, apabila menjelang malam,sudah ramai para peniaga mengambil bahagian- mencari rezeki dan orang ramai mula memenuhi kawasan pesekitaran untuk hadir ke ceramah-ceramah kelompok yang ada.

Ini termasuk ceramah Dato'Seri Anwar Ibrahim di pinggir pekan Permatang Pauh,di banjiri hampir 1,000 orang. Sungguhpun esok masih hari bekerja dan penularan wabak inluenza A H1N1 semakin meruncing di seluruh negara,ia tidak mematah semangat orang ramai hadir dan memastikan Umno untuk terus kalah 7-0.

Namun berlaianan senario di pondok-pondok serta bangsal-bangsa berlambang Umno yang masih kelihatan suram,tidak bermaya, dipenuhi meja dan kerusi tanpa sebarang aktiviti.

Dalam pada itu,calon PAS Ustaz Salleh Man yang ditemubual Harakahdaily,memberitahu walaupun kehidupan hariannya 'berubah sekelip mata' dan sedikit kepenatan melalui pelbagai aktiviti semenjak awal pagi,namun bersemangat apabila melihat sambutan orang ramai dan para petugas jentera PAS serta Pakatan Rakyat yang memberi sokongan terhadapnya.

"Pagi tadi sudah 6 aktiviti sampai petang.Malam ini ada 8 ceramah kelompok,namun alhamdulillah masih bersemangat,"katanya tersenyum tenang.

Sementara itu,Anwar dalam ucapannya menggesa rakyat khususnya pengundi menolak kezaliman Barisan Nasional (BN) terhadap rakyat yang tidak berdosa tanpa mengira kaum.

"Ini bukan masalah saya bela dan utamakan Cina dan India tetapi manusia yang dizalimi. Islam tidak pernah mengizinkan umatnya menzalimi manusia yang lain,"katanya turut merujuk kes Teoh Beng Hock dan A.Kugan.

Secara berseloroh, beliau juga menyeru agar para pengundi 'merayu' dan meminta kerajaan menyajikan pelbagai insentif,habuan,projek dan kemudahan sempena pilihan raya ini,demi kebaikan dan dapat dimanfaat bersama.

"Harap tuan-tuan sekalian,mintalah macam-macam projek pembangunan di sini sebab ramai menteri yang turun ni...betul mintalah untuk kemudahan kita....

"Tapi bila mengundi,fikirlah pakai otak..." katanya sambil disambut sorai hadirin yang tidak berganjak walaupun hujan mulai renyai kira-kira jam 11.00 malam.

Walaupun suasana aman dan tenteram,diikuti orang awam yang sentiasa tertib mendengar ceramah dan arahan-arahan petugas Unit Amal,namun ianya tidak terlepas dari pantauan puluhan anggota dan pegawai polis.

Selain itu tinjauan mendapati antara kelibat pemimpin PAS yang sudah mula 'berkampung' di Permatang Pasir ini ialah Naib Presiden PAS Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifli Ahmad,Ahli Parlimen Kuala Terengganu Abdul Wahid Endut dan Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad._

___________________________________________________________________

Bekas rakan kongsi Rohaizat dakwa Umno berbohong
Hazayani Zakaria
Thu | Aug 20, 09 | 11:49:31 am MYT

BUKIT MERTAJAM, 20 Ogos: Bekas rakan kongsi Rohaizat Ibrahim, calon BN Permatang Pasir, Yusri Ishak hari ini mempertahankan dirinya dan mendakwa tuduhan terhadap beliau oleh Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan adalah bohong.

Yusri yang mengadakan sidang media khasnya di Yayasan Aman hari ini berkata, dia tidak ada kaitan dengan kes pecah amanah itu sebagaimana yang didakwa Ahmad Maslan.

"Itu kenyataan bohong," kata Yusri. Sehubungan itu, beliau akan membuat laporan polis segera selepas berbincang dengan peguamnya.

Yusri keluar mempertahankan diri selepas Ahmad Maslan dan beberapa pemimpin Umno lagi dalam kenyataan mereka berkata, calon BN itu adalah mangsa salah laku rakan kongsinya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Rohaizat tidak terlibat dalam sebarang transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh rakan kongsinya bagi pihak Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad.

Ahmad mendakwa, Rohaizat menjadi mangsa keadaan setelah rakan kongsi beliau meninggalkan firma berkenaan di mana beliau terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan rakannya itu.

Beliau seterusnya mendakwa, sebagai menunaikan tanggungjawab syarikatnya, Rohaizat telah membayar balik wang koperasi tersebut.

Menurutnya, sikap bertanggungjawab Rohaizat itu menunjukkan beliau seorang pemimpin yang berkualiti dan tidak melarikan diri seperti rakannya itu dan boleh dianggap sebagai "wira".

Menurut Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan (gambar), ekoran keputusan Majlis Peguam memecatnya, Rohaizat telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi terhadap keputusan memecatnya itu.

Namun mahkamah telah mengekalkan keputusan Majlis Peguam itu.

Hari ini, rakan kongsi yang dimaksudkan itu keluar dalam sidang media dan menolak segala dakwan Maslan dan lain-lain pemimpin Umno itu.

"Saya memohon kepada PAS dan PKR agar memberikan pentas mereka kepada saya untuk mempertahankan diri," kata Yusri dalam sidang media hari ini.

CERITA YUSRI

Menurut Yusri, isu bermula apabila pada tahun 2002, Koperasi Pekebun Getah Pulau Pinang Berhad telah memohon pinjaman RM320,000 dari Jabatan Pembangunan Koperasi untuk tujuan pembelian sekeping tanah bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Koperasi kemudian meluluskan pinjaman itu dan memasukkan wang RM320,000 itu dalam akaun klien di pejabat guaman mereka, Saif Ariff and Rohaizat.

"Saya yang menyiapkan draf perjanjian ini," kata Yusri(gambar)

Namun koperasi mulanya hanya mengambil RM100,000 untuk tujuan perniagaan selebihnya dikekalkan dalam akaun itu kerana masalah traNsaksi dengan penjual tanah.

Seorang pelanggan kenalan Rohaizat kemudiannya meminta Rohaizat membantunya membiayai satu pembelian tanah bernilai RM130,000.

Rohaizat bersetuju dan memberikan pinjaman RM100,000 dengan menggunakan wang koperasi itu dengan syarat ia dibayar balik segera. Namun, kawannya gagal membayar balik wang itu.

Rohaizat bertindak mengambilalih tanah itu dan cuba dijual dengan cara dibuat pecahan lot. Namun, ia gagal dijual sepenuhnya.

Oleh kerana kegagalan mereka menjual semua tanah lot itu, menyebabkan firma mereka gagal membayar balik wang koperasi itu.

Sebahagian wang itu juga digunakan Rohaizat untuk membantu rakannya yang juga pemaju perumahan dan juga ahli politik dari Perak.

Wang itu juga digunakan untuk mengembangkan firma guaman mereka apabila sebuah pejabat dibuka di Ipoh.

Yusri bertanggungjawab menguruskan cawangan firma di Ipoh, sementara Rohaizat menumpu sepenuhnya di firma Butterworth.

Ekoran itu, Yusri tidak lagi memantau akaun-akaun klien di cawangan Butterworth sehinggalah dia meinggalkan firma pada November 2003. _

No comments: