Thursday, August 13, 2009

Pakatan teruskan projek Putera-AMCJA

Hishamuddin Rais
Ogos 6, 09
8:23pm


Sesebuah negara bangsa pada hakikatnya hanya wujud di dalam fikrah warganya. Ia hanya wujud di dalam imaginasi.

Negara dan bangsa wujud apabila ada imaginasi kolektif yang dikongsi bersama oleh para warganya.

Imaginasi kolektif ini juga wajib dibantu dengan cita-cita, mimpi dan harapan bersama. Tanpa perkongsian imaginasi, tanpa mimpi dan tanpa harapan bersama, tidak mungkin negara bangsa boleh wujud dengan kompak.

Di negara kita, pada hakikatnya masih belum wujud lagi satu negara bangsa yang boleh dipanggil "Bangsa Malaysia" - ini bermakna identiti negara bangsa kita belum menggenap dan membatu.

Kita boleh memahami kenapa perkara ini berlaku.

Pertama, Malaysia satu konsep yang baru. Ia wujud sebagai satu projek kolonial.

Kedua, selama 50 tahun lebih, upaya membina negara bangsa telah gagal. Kegagalan ini hasil daripada falsafah dan pandangan dunia parti politik yang memerintah.

Ketiga, patahnya pandangan dunia yang cuba melintasi konsep negara bangsa melalui takrifan agama dan kaum.

Sebagai sebuah projek kolonial – British memastikan kumpulan politik yang menggantikan kuasa mereka tidak akan melihat penjajah sebagai musuh.

Tidak dapat tidak, badan politik yang dipilih oleh British untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu adalah badan politik yang akan terus bersetia bawah payung British.

MCA, MIC dan United Malays National Organisation dipilih oleh British pada 1956 bukan kerana mereka mendapat sokongan menyeluruh atau organisasi mereka kuat tersusun.

Badan-badan politik ini diangkat, disokong dan didukung kerana kesetiaan mereka kepada kepentingan British.

Kumpulan yang memanggil diri mereka Perikatan menggunakan kaum sebagai asas gerakan dan sokongan mereka. Sekali imbas memang dilihat amatlah logik badan politik ini berpandukan kepentingan kaum masing-masing.

Logik ini bergerak untuk jangka masa pendek dalam usaha menyediakan ruang selamat ketika British berundur daripada diserang oleh rakyat yang menuntut kemerdekaan.

Untuk jangka panjang, kita sedang melihat dan merasa musibah garis politik yang silap. Garis politik yang berasaskan perkauman ini mula dimunculkan dan dipupuk oleh British pada 1946.

Garis politik inilah yang mencengkam kita hingga ke hari ini.

Harus disedari bahawa tiga badan politik ini bukan protagonis awal yang bangun menentang British dan menuntut kemerdekaan. Mereka ini - dalam istilah teater - hanyalah pelakon tambahan di permulaan perjuangan melawan British.

Kesatuan Melayu Muda, Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Parti Komunis Malaya, Angkatan Pemuda Insaf, Angkatan Wanita Sedar, Hizbul Muslimin antara protagonis awal.

Protagonis-protagonis ini mengambil dasar melawan British dan telah mengajukan garis politik yang progresif.

Pandangan dunia progresif kumpulan ini cuba memandu warga Tanah Melayu pada ketika itu untuk lari daripada asas kaum kepada asas kebangsaan.

Ia terbukti dengan draf Perlembagaan Rakyat PUTERA/AMCJA 1947 yang mentakrifkan sesiapa sahaja yang ingin bermastautin di Tanah Melayu pada ketika itu akan dipanggil "Melayu".

Projek politik ini cukup radikal. Ia bertujuan memastikan kelahiran satu negara bangsa - Tanah Melayu yang berbagai-bagai bangsa tetapi satu warga negara bangsa.

Projek ini telah digagalkan oleh British. Penjajah melihat projek me-Melayu-kan semua bangsa ini amat berbahaya dan bertentangan dengan kepentingan ekonomi kuasa imperial Anglo pada ketika itu.

Jika semua orang ditakrif sebagai Melayu, maka strategi "pecah dan perintah" akan kantoi.

Apa yang berlaku pada 8 Mac tahun lalu adalah tanda jelas bahawa warga negara kita ini mahu menghidupkan kembali semangat yang terangkum dalam projek Perlembagaan Rakyat 1947.

Selama lebih 50 tahun projek untuk mendirikan negara bangsa ini telah tergelincir daripada landasan politik.

Lima puluh tahun dalam sejarah tamadun manusia hanyalah sedetik. Dalam pembinaan negara bangsa, 50 tahun juga telalu singkat.

Tetapi dalam kehidupan seorang insan, 50 tahun mungkin lebih setengah hayatnya telah berlalu. Justeru kejayaan mengembalikan projek negara bangsa ini wajib dijaga, dikawal rapi agar ia tidak tergelincir sekali lagi.

Konsep yang diajukan oleh PUTERA/AMCJA dahulu, kalau diamati, nyata asasnya masih kukuh dan boleh diguna pakai walaupun Tanah Melayu telah menjadi Malaysia.

Kalau dahulu cadangannya untuk melahirkan Bangsa Melayu, hari ini kita berniat untuk melahirkan Bangsa Malaysia.

Jangan silap faham, Bangsa Melayu atau Bangsa Malaysia ini hanyalah imaginasi yang dibangunkan. Ia hanyalah konsep.

Negara bangsa ini juga konsep yang boleh dikonstruksi. Konsep ini wajib disepadukan dengan konsep Ketuanan Rakyat.

Ketuanan Rakyat serampang dua mata. Pertama, ia bertujuan membunuh konsep Ketuanan Melayu yang diuar-uarkan oleh United Malays National Organisation.

Kedua, Ketuanan Rakyat sebagai satu konstruksi sosial, imaginasi dalam usaha kita bersama untuk melahirkan Bangsa Malaysia.

Sayugia diingati – membina negara bangsa bukan tugasan yang mudah. Manusia bukan batu bata yang boleh disusun dengan senang.

Tetapi bukan mustahil jika pemimpin badan-badan politik dalam Pakatan Rakyat memiliki pandangan progresif berjangka panjang.

Kesilapan dan musibah durjana api perkauman yang kita hadapi selama 50 tahun ini wajib kita jadikan pedoman. Badan politik – malah badan atau kumpulan apa sahaja – yang berasaskan satu kaum telah dibuktikan sebagai jalan salah untuk melahirkan negara bangsa.

Malaysia sebagai negara majmuk – pelbagai suku bangsa, kaum, bahasa, agama – wajib menampilkan pemimpin politik dan pembuat pandangan yang memiliki pandangan dunia yang luas yang dapat melintasi batas-batas sempit.

Selama lebih 50 tahun lepas kita telah berada dalam kereta api yang gerabaknya bukan sahaja berkelas-kelas dan dipisah-pisah, malah landasannya pun salah. Menuju entah ke mana!

Sesudah 8 Mac, semua warga telah masuk kembali ke dalam gerabak kereta api Pakatan Rakyat. Sesiapa yang sedang berada di dalam gerabak kereta api ini tidak banyak memiliki pilihan melainkan belajar untuk kembali mengenali satu sama lain sekali lagi.

Kali ini kita tahu Pakatan Rakyat ini sedang bergerak untuk melahirkan projek negara bangsa yang telah disabotaj oleh British pada 1947.

Di luar landasan kereta api, pasti ada anjing yang akan terus menyalak tetapi kereta api ini akan terus meluncur mara.

No comments: