Thursday, April 25, 2013

Pengundi mahu Anwar jadi PM – UMCEDEL


KUALA LUMPUR 25 APRIL: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih popular dan diterima rakyat sebagai Perdana Menteri (PM) selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Demikian menurut kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) ke atas 1,407 responden dari kalangan pengundi pelbagai latar belakang.
20080310anwar_ibrahim
Menurut kajian tersebut, 49 peratus memilih Anwar sebagai PM berbanding Datuk Seri Najib Razak yang hanya mendapat 39 peratus, manakala 12 peratus lagi tidak pasti.

“Peningkatan populariti Anwar boleh dikatakan sebab pengaruh internet di kalangan anak muda.
“Seperti yang kita tahu, Pakatan Rakyat menggunakan sepenuhnya medium tersebut kerana tidak mendapat liputan yang baik dari media arus perdana,” kata Pengarah UMCEDEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.
“Jelajah Merdeka Rakyat dan kempen bergerak juga membantu peningkatan populariti Anwar,” katanya lagi.
Kajian itu dibuat bermula sejak hari pembubaran Parlimen 3 April 2013 sehingga 20 April lalu.
Selain itu, Anwar turut mengatasi Najib dari segi pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan Islam dengan mendapat 47 peratus berbanding Najib 38 peratus, selebihnya tidak pasti.
Kecenderungan kedua-dua pemimpin itu turut dinilai melalui kewibawaan mereka membuat keputusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.
Hasilnya, 40 peratus bersetuju Anwar lebih berwibawa berbanding Najib, yang haya memperoleh 35 peratus.
Turut disentuh, kajian mengenai perdebatan Anwar dan Najib yang menunjukkan 63 peratus menuntut debat tersebut dijalankan, dan hanya 10 peratus tidak mahu, manakala 19 peratus tidak pasti.

No comments: