Kumpulan jentera BN di Seremban yang membantah pemilihan Datuk Dr Yeow Chai Tiam Chai sebagai calon mereka dilihat mula beralah apabila bahan kempen pilihan raya parti itu mula dikesan di bandar tersebut sejak dua hari lalu.
Tinjauan Malaysiakini di bandar ini hanya mengesan bendera BN dinaikkan selepas kempen masuk hari ketiga, di kawasan strategik seperti jalan yang menghubungkan plaza tol Seremban ke pusat bandar tersebut.
Jentera berkenaan bagaimanapun perlu bekerja lebih keras untuk menyaingi DAP – yang banyak memenuhi sudut utama di bandar tersebut dengan kain rentang dan wajah pemimpin parti DAP.
Antara yang menjadi perhatian adalah kain rentang dengan wajah calon parlimen Rasah, Teo Kok Seong, penyandang kerusi Bukit Kepayang, Cha Kee Chin, dan calon parlimen Seremban, Anthony Loke.
Antara bahan kempen BN lain yang dikessan adalah beberapa papan iklan gergasi dengan wajah menteri besar sementara, Datuk Mohamad Hassan di samping wajah perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak.
Ironinya, kedua-dua kawasan parlimen Rasah dan Seremban yang menjadi tumpuan penduduk bandar di ibu negeri tersebut merupakan kubu kuat Pakatan Rakyat.
Lima daripada enam kawasan DUN dalam parlimen Seremban dikuasai Pakatan dan hanya DUN Lenggeng dikuasai BN dalam pilihan raya umum 2008.
Namun DUN Lenggeng juga bermasalah bagi BN ekoran tentangan dari kalangan pemimpin Umno tempatan yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon sehingga ada di kalangannya bertanding sebagai calon Bebas.
Empat daripada lima DUN di bawah parlimen Rasah juga dikuasai DAP. Satu lagi DUN, Labu, dimenangi BN dalam pilihan raya tersebut.
Jika jumlah kehadiran peserta ke ceramah menjadi ukuran, DAP nampaknya lebih ke hadapan.
Seramai kira-kira 10,000 orang hadir ke ceramah anjuran parti tersebut di depan pasar besar Seremban pada malam Isnin lalu.
Jumlah hadirin tersebut memenuhi memenuhi keseluruhan kawasan tapak ceramah sehingga ke kaki lima jalan dalam keadaan hujan renyai.
Loke yang merupakan pengerusi DAP negeri berkata, kehadiran berkenaan menggambarkan keyakinan bahawa Pakatan bukan sahaja mampu menguasai Seremban dan Rasah, malah turut mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan.
"Ia petanda perubahan yang akan berlaku di Negeri Sembilan. Malam ini malam bersejarah kerana dalam masa 20 ke 30 tahun ini, inilah kali pertama kita adakan ceramah raksasa di depan pasar besar Seremban,” katanya dalam ceramah tersebut.
Pakatan bagaimanapun tetap perlu berwaspada di dua kerusi majoriti Melayu – DUN Sikamat dan DUN Ampangan yang dimenangi PKR dengan majoriti tipis pada 2008.
Sikamat dimenangi Aminuddin Harun dengan majoriti hanya 499 undi dan Ampangan pula dimenangi Rashid Latiff dengan majoriti 165 undi.
Beberapa bilik gerakan PKR di Ampangan juga dilaporkan ditutup ekoran bantahan terhadap pencalonan pengerusi PKR negeri, Datuk Kamarul Baharin Abbas.
Penyandang kerusi Sikamat Aminuddin Harun kali ini perlu berdepan dengan calon muda dan jelita dari Puteri Umno, Wan Salwati Abdullah.
No comments:
Post a Comment