Friday, June 11, 2010

Bukan Islam Boleh Tanding Guna Lambang PAS-Presiden PAS

PENGKALAN CHEPA, 10 Jun - PAS membuka lembaran baru apabila mengizinkan mana-mana calon bukan Islam yang bertanding dalam sesuatu pilihan raya sama ada daripada Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat ataupun tidak, menggunakan logo PAS.


Perkara demikian ujarnya telah diputuskan Majlis Syura Ulama' PAS Pusat yang telah membincangkan perkara demikian sebelum ini.


"Alhamdulillah kita telah memutuskan bahawa calon bukan Islam yang bertanding bagi mewakili PAS akan dibenarkan mengguna logo parti kita (PAS)," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada sidang media seusai Ucapan Dasar Presiden PAS sempena Muktamar Tahunan parti itu kali ke-56 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa pagi tadi.


Ditanya mengenai kriteria yang melayakkan seseorang itu melaksanakan perkara tersebut, ahli parlimen Marang itu menjelaskan calon berkenaan hendaklah menepati syarat-syarat tertentu yang ditetapkan.


"Hendaklah menerima dasar PAS, mempunyai akhlak tinggi dan moral yang baik serta memberi kesetiaan kepada PAS," ujarnya.


Beliau tidak menolak sebarang kemungkinan jika diwujudkan prosedur berbentuk perjanjian termasuk baiah yang telah sedia diguna pakai sebagai mekanisme persefahaman tersebut.


"Perkara ini juga adalah suatu cara mengekang masalah lompat parti yang boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, namun Alhamdulillah dengan perlaksanaan beberapa kaedah sebelum ini berjaya mengelakkan masalah tersebut terjadi dalam parti ini," katanya lagi.


Ketika diminta mengulas mengenai penubuhan DHPP, Ustaz Hadi turut menepis dakwaan yang mendakwa ianya bertujuan untuk mencari penyokong bukan Islam sendiri serta menyaingi rakannya dalam Pakatan Rakyat, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.


"Isu berkenaan tidak berbangkit kerana ereka telah sedar dan faham mengenai konsep perjuangan Islam yang ditonjolkan dan penubuhan DHPP ini bukan bermakna kita hendak mencari penyokong sendiri apatah lagi menyaingi rakan-rakan kita khususnya, DAP," ujarnya lagi.


Jelasnya, penubuhan dewan itu masih di peringkat jawatankuasa penaja dan pihak DHPP akan membuat mesyuaratnya sendiri pada tahun hadapan.


"Mereka ini akan diberikan peranan seperti mana sayap-sayap lain dalam PAS," katanya lagi.


Dalam pada itu, Ustaz Hadi juga menjawab isu peranan yang dimainkan PAS dalam Pakatan Rakyat.


"Kita memimpin secara kolektif dan kita tidak gopoh untuk ke menuju ke hadapan di tempat masing-masing.


"Ini adalah kerana kita lebih mengutamakan persaudaraan semangat dan sesekali tidak akan gopoh dalam menonjolkan diri," ujarnya lagi.

No comments: