Friday, June 18, 2010

Bekas timbalan menteri mahu Felda disiasat



Pemimpin PKR Dr Tan Kee Kwong (gambar) yang juga timbalan menteri tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004 mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat dakwaan salahurus dalam Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).


Beliau yang hari ini menemani ahli parlimen Klang, Charles Santiago membuat laporan ke SPRM berhubung kemerosotan rizab tunai Felda yang menjunam daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada hanya RM1.35 bilion pada tahun lalu.


Dalam aduannya, Santiago meminta SPRM menyiasat penjelasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bahawa jumlah rizab tunai Felda susut sebanyak RM2.73 bilion dalam tempoh lima tahun.Ahmad dalam jawapannya di Dewan Rakyat pada 16 Jun berkata, walaupun jumlah rizab berkurangan, nilai aset yang dimiliki oleh Felda tetap meningkat.Ahmad juga berkata, rizab tunai tersebut digunakan untuk program kebajikan peserta rancangan dan juga untuk membina ibu pejabat Felda yang baru.


Sementara itu, Tan yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri di kementerian yang bertanggungjawab ke atas Felda berkata, bangunan baru berkenaan bertaraf "lima bintang" dan terletak bersebelahan Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura.Felda, katanya, telah membayar pendahuluan sebanyak RM230 juta kepada Naza TTDI, pemaju yang bertanggungjawab membina bangunan baru dengan kos RM662 juta.


Beliau juga mendedahkan bahawa wujudnya satu rancangan pada 2006 untuk menggantikan ibu pejabat Felda sedia ada di atas tapak yang sama di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.Rancangan itu akan hanya membabitkan kos pembinaan RM220 juta kerana tanah itu dimiliki Felda sendiri, kata Tan yang berkhidmat di kementerian tanah dan pembangunan koperasi sehingga tahun 2004.


"Perdana Menteri (pada ketika itu) Tun Abdullah Ahmad Badawi juga telah bersetuju untuk merasmikan majlis pecah tanah itu," katanya lagi.Beliau seterusnya mempertikaikan apa perlunya bangunan baru itu dibina dengan kos RM662 juta, sedangkan ia boleh dibina dengan satu pertiga daripada kos berkenaan.

No comments: