Tuesday, July 28, 2009

UNISEL: Pemuda Pakatan ulangi desakan ganti Rosmah


Pemuda Pakatan Rakyat Selangor mengulangi desakan kepada kerajaan negeri itu supaya menukar segera Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL), Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwanya tidak layak dan kompeten untuk menduduki kerusi berprestij itu.

Dalam satu kenyataan bersama, ia berkata ianya selaras dengan sokongan tidak berbelah bagi mahasiswa dan pensyarah UNISEL sendiri - dalam satu program yang dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim - yang mahukan Canselor UNISEL ditukar segera.

"Malahan kita yakin masyarakat di Selangor juga mahu kepada seorang Canselor UNISEL yang boleh mencerminkan prestij dan imej keilmuan dan taman budi sebuah gedung ilmu negara," kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya sudah menyedari dan bertindak proaktif untuk menukar Canselor UNISEL kepada individu yang lebih berkelayakan dan mempunyai nilai ilmu, akal budi dan akhlak murni yang tinggi.

"Ia adalah salah satu usaha progresif bagi mencerminkan gerak kerja bersungguh-sungguh kerajaan negeri memartabatkan insititusi pengajian tinggi ke peringkat global.

"Kita mahu UNISEL dipandang tinggi dan dihormati di peringkat antarabangsa sebagai sebuah gedung ilmu yang mampu mencapai standard universiti tersohor dan terbilang dunia.

Untuk jadi universiti terbaik

"Justeru, Pemuda Pakatan Rakyat mengulangi desakan agar pertukaran Canselor ini disegerakan kerana jelas penolakan mahasiswa dan pensyarah sendiri yang menyatakan pendirian ini secara terbuka. Kerajaan negeri perlu memilih individu yang paling sesuai dan terbaik untuk Canselor baru UNISEL akan datang," tambah kenyataan itu lagi.

Menurutnya, Pemuda Pakatan Rakyat yakin, apabila kerusi Canselor UNISEL disandang individu yang layak dan mempunyai ilmu dan akhlak yang tinggi, maka usaha ke arah meninggikan dan martabat kedudukan UNISEL akan semakin bersemarak.

"Pemuda Pakatan rakyat bertambah yakin UNISEL kelak akan menjadi salah satu universiti terbaik dunia yang pada kelasnya yang tersendiri.

"Justeru, kerajaan negeri hanya mempunyai satu sahaja pilihan iaitu meletakkan individu terbaik dan paling layak untuk kerusi Canselor UNISEL ini," tambahnya.

Kenyataan bersama itu ditandatangi oleh Ketua Pemuda Angkatan Muda PKR Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, Hasbullah Mohd Ridzwan (Pemuda PAS Selangor) dan Lau Weng San (DAPSY Selangor).

No comments: