Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan tindakan Setiausaha MCA Sungai Besar yang mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba mengelirukan masyarakat berkenaan pemberian wang sumbangan Skim Mesra Usia Emas.
Dakwaan itu dilaporkan dalam Guangming Daily, 3 Julai yang mendakwa Menteri Besar mengalihkan wang sumbangan Skim Mesra Usia Emas kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai penyelewegan kuasa.
Sehubungan itu, Tan Sri Khalid menegaskan dakwaan Setiausaha MCA itu memperlihatkan beliau tidak langsung menyemak fakta sebelum sebarang tuduhan dilakukan.
Katanya, ini kerana sesiapa yang lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1 februari 1974 dan sedang menetap di Selangor atau Kuala Lumpur adalah layak mendaftar sebagai ahli Skim Mesra Usia Emas.
Beliau berkata, syarat kelayakan lain yang membolehkan seseorang warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai ahli SMUE adalah lahir dan sedang menetap di Selangor atau bermastautin di Selangor sekurang-kurangnya 15 tahun.
Menurut beliau, skim tersebut merupakan skim khairat kematian bagi membantu keluarga warga emas yang layak dan berdaftar telah meninggal dunia maka adalah tidak wajar untuk memberi sumbangan RM1000 sebaik selepas tarikh pendaftaran sebagaimana yang dicadangkan oleh ahli MCA itu bagi tujuan pelancongan atau perbelanjaan.
Berhubung kes 1000 borang permohonan ditolak katanya pihak urusetia yang mengendalikan skim itu Rantaian Mesra sdn bhd mengesahkan tidak berlaku kes tersebut kerana urusetia tidak berhak menolak permohonan itu tetapi hanya memproses borang permohanan yang dihantar dari Pusat Khidmat Dun.
"Mereka yang layak akan didaftarkan terus dan borang yang tidak lengkap akan dikembalikan kepada Pusat Khidmat Dun untuk urusan mendapatkan dokumen lengkap," katanya.
Skim itu disasarkan kepada semua yang layak dan berdaftar tanpa mengira fahaman politik, kaum dan agama.
Justeru, kerajaan negeri berharap parti pembangkang mengetepikan perbezaan politik dan tidak melakukan tuduhan yang tidak berasas sebaliknya membantu menjayakan program itu demi kebaikan dan kebajikan seluruh rakyat Selangor.
No comments:
Post a Comment