Friday, July 31, 2009

SPR umum selewat-lewatnya 10 Ogos ini


Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir selewat-lewatnya 10 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kanan) berkata pilihanraya kecil itu akan diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, dan SPR masih menunggu surat makluman kekosongan kerusi DUN Permatang Pasir itu dari Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain.

"Kami jangka surat makluman itu akan diterima selewat-lewatnya Isnin ini dan selepas itu satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan soal tarikh hari penamaan dan pengundian bagi pilihanraya kecil DUN berkenaan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Hamdan, yang mewakili kawasan Permatang Pasir selama tiga penggal merupakan satu-satunya ADUN PAS di Pulau Pinang.

Beliau meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini kerana sakit jantung.

Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.

Sementara itu Abdul Halim ketika dihubungi berkata beliau masih menunggu sijil kematian Mohd Hamdan sebelum menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Permatang Pasir kepada SPR Pulau Pinang.

Beliau berkata Dewan Undangan Negeri akan bersidang selama dua hari mulai 10 Ogos ini dan Allahyarham sudah mengemukakan beberapa soalan bertulis untuk sesi kali ini.

No comments: