Monday, July 6, 2009

Penduduk kampung serah memo.


Pengerusi Jawatankuasa Bertidak "selamatkan tanah adat Rembau" menyerahkan memorandum kepada YB Dato' Kamarul Baharin Abbas ( Ahli parlimen Teluk Kemang ) sambil diperhatikan oleh Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin dan Setiusaha Majlis Pimpinan Negeri, Sabaruddin Mohd Yassin


Rembau – Babak isu tanah adat penduduk Kampung Waris Tebat, kampung Chuai Hilir dan Kampung Chembong Halt diteruskan apabila Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tanah Adat Rembau, Haji Chik Tak Dato' Ahmad menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan, YB Dato' Kamrul Bahrin Abbas.

Penyerahan memorandum itu adalah bersempena dengan Program “ Pimpinan Negeri turun ke Cabang Rembau” yang diadakan untuk mengenal pasti permasalahan pihak akar umbi di peringkat Cabang (Bahagian ). Majlis pertemuan dan perbincangan ini juga adalah dalam salah satu rangka strategi untuk menawan Negeri Sembilan pada PRU ke 13.

Ketika dihubungi, Haji Chik Tak menyatakan bahawa pihak Jawatankuasa sudah tidak ada pilihan lain selain memohon campurtangan dan bantuan daripada pihak Pakatan Rakyat (PR) dalam mengatasi kemelut ini.

“ Surat telah diserahkan dan pertemuan telah diadakan dengan ADUN ,ahli Parlimen serta kerajaan negeri. Maklumat juga telah diberikan kepada kepimpinan UMNO diperingkat Bahagian, namun apa yang dikesali adalah tiada sebarang reaksi yang diberikan. Majoriti penduduk di sini merupakan ahli UMNO namun kami seolah-olah di anak tirikan apabila alasan yang diberi adalah projek pembinaan landasan keretapi berkembar ini milik kerajaan persekutuan dan undang-undang membolehkan pengambil alihan paksa. Adakah kerajaan negeri ingin mengatakan undang-undang kerajaan pusat digunakan untuk menzalimi rakyat dan membunuh suasana harmoni beradat?” soal beliau.

Ketika menerima memorandum tersebut, YB Dato' Kamrul Baharin Abas yang juga merupakan Ahli Parlimen Teluk Kemang telah memberikan jaminan bahawa Parti Keadilan Rakyat da peringkat Cabang ( bahagian )Rembau dan Negeri Sembilan akan bersama-sama penduduk kampung terbabit untuk memperjuangkan hak mereka. “Pihak parti juga akan menyediakan khidmat nasihat menerusi saluran perundangan agar penduduk kampung dapat menuntut hak mereka. Kita tidak mengira apa jua parti yang mereka dokong namun kepentingan rakyat agar tidak dizalimi adalah menjadi keutamaan kepada kami” kata beliau sambil disambut dengan tepukan dan sorakan tetamu yang hadir.

________________________________________________________________________________

MANA JANJI UMNO UNTUK PERJUANGKAN HAK MELAYU?


Rembau – Setiausaha Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau, Norazizi A. Aziz (gambar) hari ini menyelar kenyataan Khairy Jamaludin agar tidak mempolitikkan isu pengambilan tanah adat di Rembau yang melibatkan pembinaan landasan keretapi berkembar.

“ Parti merupakan wadah perjuangan untuk kita berkhidmat dan berjasa kepada rakyat bukannya kita gunakan untuk menindas rakyat. UMNO merupakan parti yang memperjuangkan hak melayu dan hari ini tanah adat milik orang melayu Rembau bakal tergadai. Adakah beliau sekadar mahu berpeluk tubuh dan hanya melihat hak orang melayu ini dikorbankan dengan menyatakan agar perkara ini jangan dipolitikkan.”

“ Adalah amat memalukan apabila Khairy yang diangkat menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak mampu melakukan apa-apa untuk memperjuangkan hak orang melayu di tempat beliau sendiri dan beliaulah jaguh yang menyatakan bahawa hanya UMNO yang mampu membela nasib orang-orang melayu.”

“Jika beliau tidak mampu lakukan apa-apa, kita cabar beliau letakkan jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia serta diangkat kepimpinan lain yang lebih bertanggungjawab dan tidak rasuah kerana kata-kata beliau untuk membela nasib melayu tidak lebih daripada retorik semata-mata.”

Menurut Norazizi lagi sepatutnya Khairy perlu prihatin terhadap permasalahan dan bersama-sama penduduk kampung yang terbabit untuk menangani masalah yang mereka hadapi bukan sekadar bertemu mereka setelah pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan. Ini menunjukkan bahawa beliau yang mempolitikkan isu ini bukan pihak lain.

Ketika dihubungi, Norazizi juga menyatakan rasa kesal terhadap sikap ADUN Chembong yang tidak mahu bertemu dengan penduduk kampung yang terbabit dan hanya hadir bersama ahli parlimen Rembau setelah penduduk kampung memohon bantuan dan campurtangan daripada pihak Pakatan Rakyat.

“ Kita juga dapat maklumat bahawa ADUN ini memperlekeh dan mencabar pihak Pakatan Rakyat agar menangani masalah ini. Dan yang paling dikesali adalah tindakan beliau yang mempersoalkan pihak media yang memberi liputan terhadap isu ini. Beliau harus ingat akhbar adalah bebas untuk melaporkan apa sahaja berita tanpa berat sebelah. Tindakan beliau ini seolah-olah menafikan demokrasi dan kebebasan media. Pesan saya kepada beliau agar lebih fokus menjaga kawasan serta tidak menyalah gunakan kuasa yang ada. Manakala pihak Parti Keadilan Rakyat Cabang Rembau akan menggunakan semua saluran yang ada untuk mempertahankan hak rakyat tanpa mengira kaum.”

No comments: