Thursday, October 30, 2008

Sambutan Rumah Terbuka Keadilan Rembau di DUN Paroi meriah



SENAWANG – ( 25.10.2008 ) Kira-kira 40 orang anak-anak yatim daripada Pertubuhan Anak-anak Yatim & Miskin Negeri Sembilan ( PEYAKIN ) telah diraikan di majlis rumah terbuka Parti Keadilan Rakyat Bahagian Rembau yang diadakan di Restoran Sabar Menanti, Taman Widuri Indah, Senawang.
Majlis yang sepatutnya bermula pada jam 830 malam terpaksa diawalkan memandangkan kehadiran lebih 2000 orang seawal jam 730 malam.

Menurut Pengurus Restoran Sabar Menanti, S. Musliadi Sabtu, meraikan anak-anak yatim adalah tradisi yang telah dilakukan sejak 2 tahun lepas di restoran beliau. “ Tapi bagi saya, tahun ini lebih meriah dari tahun-tahun yang sudah kerana memandangkan pihak kami yang tak menang tangan untuk melayan pengunjung yang hadir, apatah lagi Keadilan Rembau telah sudi untuk sama-sama menyumbang dan meraikan anak-anak yatim sempena Aidilfitri pada tahun ini.”

Ketua Parti Keadilan Rakyat Bahagian Rembau, Sdr. Badrul Hisham Shaharin dalam ucapannya telah menegaskan bahawa walaupun kita bergembira di Hari Raya ini, namun kita tidak harus lupa pada mereka yang kurang bernasib baik. “ Memang Hari Raya disambut dengan kegembiraan untuk merayakan kemenangan setelah kita berjuang di bulan Ramadhan, namun Hari Raya juga bermaksud kita mengagih-agihkan nikmat yang kita peroleh untuk dinikmati sesama manusia.”

Kemeriahan sambutan rumah terbuka Keadilan Rembau itu juga turut diserikan dengan kehadiran anak-anak istimewa dari Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan, Taman Tuanku Jaafar.

Dalam majlis itu, Dato’ Kamarul Baharin Abas yang merupakan ahli Parlimen Teluk Kemang merangkap Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan secara peribadi telah sudi untuk menyampaikan cek bernilai RM 2000 kepada Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa.Beliau yang tidak dapat hadir ke majlis itu telah diwakili oleh Setiausaha Perhubungan Keadilan Negeri Sembilan. Selain itu, Ketua Keadilan Bahagian Rembau, Badrul Hisham Shaharin telah menyumbangkan RM 500 kepada Persatuan Anak-anak Yatim dan Miskin Negeri Sembilan (PEYAKIN)melalui tabung Jejak Fakir. Dalam majlis itu juga, Pengurus Restoran Sabar Menanti turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim serta anak-anak istimewa.

Rumah terbuka Parti Keadilan Rakyat Rembau itu juga turut dihadiri oleh pimpinan Pakatan Rakyat dari PAS, Pengerusi Ibunita, Absah Azizul Rahman dan Yang Dipertua PEYAKIN, Omar Abu Bakar.

No comments: