Tuesday, October 7, 2008

Kes Liwat: Mahkamah Sesyen KL tolak bantahan awal pihak pendakwa

dipetik dari HarakahDaily.Net

Irwan Muhammad Zain Tue Oct 07, 08 2:42:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Hrkh) - Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak bantahan awal pihak pendakwa dalam isu permohonan memindahkan kes liwat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi

Pihak Pendakwa mengemukakan bantahan awal bahawa Mahkamah Sesyen tidak mempunyai kuasa untuk mendengar bantahan awal pihak pembelaan dalam soal permohonan memindahkan kes berkenaan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun Hakim S. M. Komathy Suppiah berkata, Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sijil yang ditandatangani oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Hakim itu juga berkata bahawa beliau ada kuasa untuk mendengar bantahan awal dibangkitkan pihak pembela.

Kata beliau, Mahkamah Sesyen mempunyai budi bicara untuk memerintahkan pemindahan kes liwat tersebut ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Komathy membuat keputusan itu selepas pihak pembela membantah pemindahan itu dan mempersoalkan kesahihan sijil yang ditandatangani oleh Abdul Gani yang sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Pihak pendakwa berhujah bahawa Abdul Gani, selaku Peguam Negara, bertanggungjawab menandatangani sijil itu mengikut prosedur pentadbiran.

Prosiding kes liwat Anwar itu disambung pukul 2.30 petang ini. - mns_

No comments: