Thursday, November 28, 2013

Tolak usul intipan tunjuk kerajaan Najib lemah – Anwar

KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER: Pakatan Rakyat membantah penolakan kerajaan terhadap usul mengecam pengintipan Amerika Syarikat (AS), Australia dan Singapura ke atas Malaysia.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sikap kerajaan yang tidak habis-habis berlembut dalam isu tersebut menunjukkan kelemahan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anwar
“Kita tidak setuju dengan cara kerajaan yang terlalu lemah. Saya ulangi sifat kerajaan yang lembik menangani isu ini sepertimana saya nyatakan minggu lepas.

“Kita bantah isu yang serius menyentuh kepentingan negara, keselamatan negara dan maruah negara yang boleh ditolak sewenang-wenangnya,” kata Anwar kepadaKeadilan Daily.
Usul tergempar yang dibentangkan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin semalam ditolak Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan ia tidak perlu disegerakan untuk dibincangkan.
Usul itu yang dibentangkan menurut Peraturan Mesyuarat 18(1) bertujuan mengutuk tindakan ketiga-tiga negara tersebut yang didakwa bekerjasama sesama mereka untuk memintas maklumat radio, telekomunikasi dan internet negara bagi mengintip Kerajaan Malaysia dan pemimpin negara.
Shamsul ketika membacakan usul berkenaan berkata, akhbar Australia – Der Spiegel dan Sydney Morning Herald melaporkan, terdapat risikan ke atas Malaysia oleh Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia seperti didedahkan pemberi maklumat perisikan, Edward Snowden.
“Yang terkini, seperti dilaporkan media Belanda iaitu NRC Handelsblad, Singapura juga didedahkan sebagai turut membantu menyediakan akses komunikasi dan menjadi rakan utama dalam kumpulan perisikan ’5-Eves’ yang diketuai AS bagi tujuan merakam perbualan telefon dan memantau rangkaian komunikasi di Kuala Lumpur.
“Selanjutnya media Australia, Fairfax pula mendedahkan bahawa Singapura merupakan rakan kepada Agensi Perisikan Elektronik Australia iaitu “Defence Signals Directorate” untuk memintas kabel SEA-ME-WE 3 yang merupakan kabel telekomunikasi terpanjang di dunia dan diuruskan Singtel, syarikat telekomunikasi milik Kerajaan Singapura.
“Sementara kita memperakui hubungan diplomatik yang terjalin antara Malaysia dan AS, Australia serta Singapura di mana asas utama kepada perhubungan ini ialah kepercayaan sesama negara, akan tetapi aktiviti pengintipan dan risikan terhadap setiap pimpinan negara ini tentunya mencabuli negara Malaysia yang berdaulat dan merdeka,” kata Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN.
Tambahnya, Malaysia perlu mencontohi tindakan tegas pimpinan Brazil, Jerman dan Indonesia yang membantah pengintipan antaranya menuntut permohonan maaf serta memanggil pulang duta mereka di Australia.
“Kecaman keras daripada Dewan perlu bagi memberi tekanan kepada ketiga-tiga negara. Mesej jelas dan tegas perlu dizahirkan oleh rakyat Malaysia kepada mereka.
“Kegagalan pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri untuk mengeluarkan pendirian tegas akan menyebabkan tindakan biadap ini terus berlaku,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56818

No comments: