Tuesday, November 19, 2013

PKR tentang kerajaan perkenal had jangka hayat kereta

dipetik daripada FMT.com

Cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.
PETALING JAYA: PKR akan menentang habis-habisan sebarang usaha untuk memperkenalkan had jangka hayat kereta sebelum cukai eksais dihapuskan dan harga kereta nasional turun setanding dengan model yang sama di negara lain.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata demikian susulan daripada kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi bahawa kerajaan akan menimbangkan untuk melaksanakan had jangka hayat kenderaan berikutan saranan oleh Ketua Pengarah Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bahawa kereta berusia 12 tahun ke atas adalah tidak selamat.
Dalam siaran medianya, Rafizi mengatakan apa yang lebih membimbangkan adalah Abdul Aziz turut dilaporkan sebagai berkata keputusan menetapkan had jangka hayat kenderaan perlu dibuat segera demi keselamatan rakyat.
“Pelaksanaan had jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun akan memangsakan beratus ribu rakyat Malaysia. Kebanyakan pembeli kereta dari keluarga berpendapatan sederhana dan rendah membuat pinjaman selama sembilan tahun untuk melangsaikan hutang. Dengan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan ini, selepas tiga tahun keluarga-keluarga di Malaysia terpaksa membuat hutang baru untuk membeli kereta,” jelas beliau.
MP Pandan itu turut menyatakan bahawa cadangan menghadkan jangka hayat kenderaan kepada 12 tahun ini akan menindas keluarga-keluarga berpendapatan sederhana dan rendah serta menutup banyak perniagaan kereta terpakai.
“Keadaannya lebih parah bagi pembeli dari keluarga berpendapatan rendah. Kebanyakan mereka hanya mampu membeli kereta terpakai yang sudah pun berusia. Bagi mereka yang meminjam untuk membeli kereta-kereta ini, pelaksanaan had jangka hayat kenderaan bermakna kereta mereka dikira haram di sisi undang-undang dan tidak boleh digunakan sedangkan hutang masih belum dilangsaikan.
“Cadangan pelaksanaan had jangka hayat kenderaan adalah rentetan dari tindakan-tindakan yang menekan rakyat sejak Barisan Nasional (BN) menang dalam PRU13. Setelah memungkiri janji untuk menurunkan harga kereta, Barisan Nasional menaikkan pula harga minyak,” katanya lagi
Rafizi turut mengenalpasti struktur cukai dan pasaran domestik yang menyebabkan harga kereta melambung di Malaysia.
“Wujudnya cukai eksais yang melebihi 100% ke atas kereta-kereta yang digunakan oleh keluarga berpendapatan sederhana dan rendah menyebabkan harga kereta terlalu mahal dan menenggelamkan keluarga dengan hutang kereta yang terlalu tinggi.
“Cukai eksais yang terlalu tinggi ini juga memberi ruang kepada syarikat-syarikat pengeluar dan pengedar kereta untuk bersembunyi di sebalik struktur cukai ini untuk mengambil keuntungan yang lebih tinggi berbanding di negara-negara lain. Oleh kerana pelaksanaan cukai eksais dan pemberian rebat cukai eksais adalah tidak telus, maka struktur margin keuntungan di atas setiap kereta yang dibeli juga tidak telus,” tegasnya.
Oleh sebab itulah, katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menggariskan dasar-dasar automotif PKR telah menegaskan bahawa langkah pertama merombak struktur harga kereta yang mahal di Malaysia perlulah bermula dengan menghapuskan cukai eksais yang melampaui batas itu.
“Apabila cukai eksais sudah tiada, barulah rakyat tahu bahawa jika harga tetap kekal tinggi bila dibandingkan dengan model yang sama di negara-negara lain, perbezaan harga itu berpunca dari tindakan mengambil untung yang berlebihan oleh pengeluar dan pengedar kereta.
“Hanya dalam keadaan pasaran kereta seperti ini barulah wujud persaingan sihat di antara pengeluar dan pengedar kereta yang boleh menurunkan harga kereta supaya setanding dengan negara-negara lain bagi model yang sama,” katanya lagi.

No comments: