KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER: Bekas pemandu Zahida Mohamed Rafik, Noor Azman Azemi memfailkan saman fitnah terhadap pelakon itu berhubung tuduhan kononnya beliau melarikan RM200,000 wang Zahida yang disiarkan di akhbar.
Noor Azman, 38, memfailkan saman itu hari ini melalui Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur.
Dalam penyata tuntutan, Noor Azman mendakwa Zahida mengeluarkan kata-kata fitnah yang kemudian diterbitkan akhbar Harian Metro pada 3 Mac tahun lepas bertajuk ‘Zahida Rafik Terkedu.’
Pada 5 Mac tahun lepas, dakwa Noor Azman, Zahida sekali lagi mengeluarkan kenyataan palsu dan berniat jahat dengan membuat pengumuman kepada orang awam dan menawarkan ganjaran RM5,000 kepada sesiapa yang menjumpai Noor Azman atas alasan kononnya Noor Azman melarikan wang tunai miliknya.
Berikutan kenyataan fitnah itu, Noor Azman mendakwa gagal mendapat pekerjaan lain dan diburu pihak polis, hingga direman empat hari.
Sebelum ini, Noor Azman membuat laporan polis pada 13 Mac 2012 mengenai kenyataan palsu Zahida terhadap beliau.
Noor Azman dalam laporan itu menjelaskan, beliau diminta oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar, Datuk Shafie Apdal untuk berurusan secara rahsia di mana-mana hotel sekitar Kuala Lumpur setiap minggu dan menyerahkan wang tunai sejumlah antara RM100,000 hingga RM200,000 kemudiannya dimasukkan ke akaun Zahida.
Pada 29 Februari 2012, Azman mendedahkan beliau tidak diberi wang secara tunai dan tidak pernah diberi wang jumlah besar tanpa ditemani Zahida tetapi hanya dibayar RM25,693 untuk membayar dua kereta mewah dan sebuah banglo di Bukit Indah, Ampang milik Zahida.
Azman berkhidmat selama tiga tahun sejak 2009 dan meletakkan jawatan pada 29 Februari 2012 selepas menerima gaji terakhir secara tunai.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, kadar faedah dan injunksi untuk menghalang Zahida menyatakan kenyataan fitnah serta kos lain, namun tidak menyatakan jumlah tuntutan.
Azman yang diwakili peguam Latheefa Koya ditemani Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian KEADILAN, Dayangku Intan yang juga ibu saudaranya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=56838
No comments:
Post a Comment