Friday, July 5, 2013

Selangor tetap mahukan Shamsudin ketuai PAC

dipetik daripada FMT

Menurut Speaker, kedudukan Shamsudin dalam PAC amat penting kerana mampu berperanan sebagai 'check and balance' prestasi kerajaan negeri.
SHAH ALAM: Selangor tetap berkeras untuk meletakkan Ketua Pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Shamsudin Lias mengetuai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri.
Speaker Selangor Hannah Yeoh Tseow Suan berkata, kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak pernah meletakkan sebarang syarat kepada BN untuk menjawat jawatan tersebut.
“Saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat kepada beliau. Saya hanya kata saya harap perkara yang sama dapat dilakukan di Parlimen kerana kita melaksanakannya di Selangor.
“Ini bukanlah kali pertama jawatan Pengerusi PAC ditawarkan kepada wakil rakyat Barisan Nasional,”  katanya pada sidang media di Lobi DUN Selangor pada Khamis.
Shamsudin Isnin lalu menolak jawatan tersebut kerana mendakwa Pakatan Rakyat meletakkan syarat jawatan sama harus diberikan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat Parlimen.
Sekaligus menyifatkan lantikan jawatan itu bersifat politik, tambahan suara minoriti yang diwakili BN tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam sesuatu keputusan.
‘Check and balance’
Menurut Hannah, kedudukan Shamsudin dalam PAC amat penting kerana mampu berperanan sebagai ‘check and balance’ prestasi kerajaan negeri.
“Sebagai pengerusi PAC banyak peranan yang boleh dimainkan oleh beliau sebagai contoh menyemak projek-projek yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Katanya, tawaran jawatan Pengerusi PAC itu masih terbuka dan berharap Shamsudin dapat mempertimbangkannya semula.
“Tawaran kita masih terbuka, jawatan Pengerusi PAC akan tetap diberikan kepada BN tanpa apa-apa syarat yang ditetapkan,” katanya.
Adun Subang Jaya itu bagaimanapun berkata pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan Shamsudin untuk meletakkan wakil BN lebih ramai menganggotai PAC berdasarkan kuota ahli dewan Pakatan Rakyat.
“Kita kena faham Pakatan Rakyat mempunyai tiga perempat wakil di DUN Selangor, kita perlu berlaku adil,” katanya.
Manakala senarai anggota jawatankuasa PAC menurut beliau akan diumumkan minggu depan untuk mendapat kelulusan Dewan.

No comments: