Thursday, February 7, 2013

Zahid tolak kajian TI, bukti Kementah beli senjata secara rasuah – Rafizi


Ekoran tidak mempunyai jawatankuasa selia di peringkat Parlimen yang bertanggungjawab menyemak dan memastikan strategi pembelian persenjataan mengakibatkan rasuah pertahanan negara semakin meningkat, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Beliau berkata, tidak seperti negara lain, yang mengamalkan konsep telus berbanding Malaysia, menyebabkan pengaliran wang negara dan pertumbuhan ekonomi terbantut.
tentera
“Di negara-negara lain walaupun kontrak itu secara tender terbuka, dan ada perbincangan sulit berlaku, tetapi ada jawatankuasa. Kalau di Amerika Syarikat ada dua peringkat (jawatankuasa), di UK (United Kingdom) pun ada. Begitu juga di mana-mana negara ada satu jawatankuasa bebas selalunya daripada kalangan Ahli Parlimen bagi memastikan kontrak itu betul-betul telus dan bersesuaian dengan harga.

“Tanpa jawatankuasa ini, kedudukan negara kita jauh di bawah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.
Beliau merujuk kritikan Transperancy International (TI) berkenaan indeks rasuah pertahanan negara yang dinilainya ada kebenaran berikutan amalan negara menjadi penyumbang kepada berlakunya rasuah.
“Perkara ini ditimbulkan dalam TI. Mereka mengkritik pembelian senjata di Malaysia dibuat secara rahsia, dikawal dan ditentukan sekelompok kecil. Perkara ini memang banyak berlaku. Ekoran itu, kedudukan indeks anti rasuah pertahanan rendah,” jelas Rafizi.
“Kontrak pembelian kereta kebal, senjata, bukan ditentukan oleh jeneral (tentera). Kita tahu kerana jeneral bersama dengan kita. Setiap hari kita duduk berbincang dengan mereka tentang pembelian itu, tapi sebenarnya ia berlaku atas kehendak menteri,” kata Rafizi.
Ini berikutan pendedahan bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Lt Jen (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid berhubung amalan kepimpinan Kementerian Pertahanan (Mindef) membeli senjata melalui kaedah secara rundingan terus dan terdedah kepada rasuah, baru-baru ini.
“TI juga mengkritik akta-akta kerahsiaan di Malaysia seperti rahsia rasmi yang menyekat maklumat menyebabkan rakyat tidak boleh menilai,” sambungnya.
Beliau turut menempelak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi apabila menyalahkan kaedah penentuan Indeks Anti Rasuah Pertahanan yang diguna pakai TI kerana tidak mahu mengakui pentadbiran kerajaan berlandaskan rasuah.
“Ia melambangkan betapa kuatnya tentangan dari pimpinan tertinggi Umno BN terhadap apa-apa langkah untuk membanteras rasuah. Ini berpunca dari sindrom penafian mereka yang tidak mahu menerima hakikat pentadbiran mereka memang membudayakan rasuah,” katanya.
“Hanya di Malaysia kita mempunyai seorang menteri kanan yang memperlekehkan indeks rasuah yang diangkat oleh Perdana Menterinya sendiri sebagai kayu ukur utama kerajaannya,” sinis Rafizi kesal dengan amalan itu.
Hadir sama, Pengerusi Majlis Perundingan Keselamatan Tentera KEADILAN merangkap Penasihat Pertubuhan Prihatin Bekas Anggota Keselamatan Malaysia (Pahlawan), Brig Jen (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab dan Presiden Pahlawan, Asri Buang.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44479

No comments: