Tuesday, February 19, 2013

MB Selangor umum esok langkah lanjut ambilalih industri air


KUALA LUMPUR 19 FEB: Selangor akan umum langkah seterusnya yang akan diambil setelah tempoh tawaran 14 hari pengambilalihan industri air tamat semalam.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pengumuman tentang langkah-langkah tersebut akan dibuat selepas mesyuarat exco esok.
Grafik-Air-Selangor
“Kerajaan Negeri sudah buat tawaran mengenai perkara ini.

“Kelulusan akan dibuat dalam mesyuarat exco sebelum diumumkan kepada pihak awam,” katanya dipetikMediaSelangorku pada sidang media selepas majlis pecah tanah Kolam Tadahan Banjir di Taman Sentosa, di Klang.
Dua minggu lepas, kerajaan negeri menghantar surat tawaran harga untuk mengambilalih empat syarikat konsensi yang mengurus perkhidmatan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di bawah sesuatu perjanjian pada 2004, perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya diswastakan dan diuruskan oleh Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abass).
Ketiga-tiga syarikat di atas mengurus loji rawatan air manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dipertanggungjawabkan untuk mengurus pengedaran air terawat.
Bagaimanapun, penerimaan tawaran tertakluk kepada kata putus Kerajaan Persekutuan.
Minggu lepas, kerajaan negeri berkata, permohonan semakan kehakiman akan dibuat sekiranya Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama dengan meluluskan pengambilalihan tersebut.
Khalid berkata, jika tawaran harga kepada empat syarikat konsensi ditolak, pihaknya akan membawa perkara itu ke badan timbang tara antarabangsa.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45415

No comments: