Calon KEADILAN untuk Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yakin Pakatan Rakyat berpeluang cerah menang kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) atas beberapa faktor.
“Peluang kita lebih cerah kali ini berbanding 2008, kerana masa itu kita kurang bersedia. Saya yakin tidak mudah untuk BN mengekalkan kedudukannya nanti,” kata Rafizi kepada Keadilan Daily.
Menurut Pengarah Strategi KEADILAN itu, sokongan positif penduduk Pandan dilihat melalui beberapa faktor, antaranya kesediaan belia setempat untuk tampil mendaftar sebagai sukarelawan bagi membantunya memantau ejen tempat mengundi (Paca).
“Kehadiran sukarelawan kira-kira 50 hingga 70 anak muda di Pandan untuk jadi Paca satu perkembangan baik kerana di tempat lain tidak mudah untuk mendapat sambutan begitu,” kata Rafizi.
“Sejak dibuka pendaftaran dua minggu lalu, sehingga kini sudah ada lebih kurang 170 Paca, dan saya yakin menjelang PRU 13, kita akan peroleh lebih 300 sukarelawan,” jelasnya.
KEADILAN Pandan turut membuka kaunter sekitar Parlimen itu untuk membolehkan orang ramai menyemak dan menyaman Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berhubung masalah bekalan air yang sering berlaku ekoran sabotaj BN.
“Setakat ini kita sudah kumpul kira-kira 1,300 saman dari penduduk Pandan terhadap Syabas. Dalam tempoh dua minggu ini juga, kita bertemu hampir 3,000 pengundi dari rumah ke rumah,” sambung Rafizi.
“Satu lagi faktor kekuatan Pakatan di Pandan adalah ketiga-tiga parti cukup kuat bekerjasama, semua program yang dijalankan secara bersama. Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Bukit Teratai, YB Janice (Lee) dari DAP juga bertungkus lumus membawa saya berjumpa pengundi,” kata Rafizi lagi.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan Pandan merupakan ‘kerusi panas’ kerana pengaruh Ong Tee Kiat yang sudah dikenali lama oleh penduduk.
“Orang muda memang cenderung dan lebih mengenali saya, tetapi kita tidak menolak undi orang lama yang mungkin masih berpihak kepada pengaruh Tee Kiat. Apapun, kita bersedia dan BN akan menghadapi kesukaran untuk bertahan di sini,” kata Rafizi.
Dalam perkembangan hari ini, MCA menggugurkan Tee Keat daripada bertanding di kerusi Pandan, dan mencalonkan muka baru Gary Lim, 39, seorang peguam.
Dipercayai ini strategi baru BN dengan memperkenalkan calon muda bagi menentang Rafizi, 36, yang kini didapati mendapat ramai sokongan muda di kawasan tersebut.
Tee Keat mewakili Pandan selama lima penggal dan adalah antara 15 Ahli Parlimen MCA yang terselamat dalam tsunami politik pada 2008 yang menyaksikan wakil rakyat MCA di Parlimen hanya tinggal separuh.
Beliau juga merupakan calon MCA tunggal yang memenangi kerusi Parlimen di Selangor.
Selepas PRU 2008, beliau dipilih sebagai Presiden MCA, tetapi tewas kepada Chua Soi Lek 16 bulan kemudiannya ekoran persengketaan sengit dalam parti itu.
Pada 2008, Syed Shahir Syed Mohamad mewakili KEADILAN tewas menentang Tee Keat dengan majoriti 2,961 undi.
Kini tsunami politik bakal berulang tidak lama lagi ketika Pakatan bersedia dengan calonnya di Pandan, sedangkan BN masih tercari-cari calon yang sesuai menandingi kehebatan Rafizi.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45623