PKR hari ini mendakwa tanah hutan simpan Jeram Padang Selatan di Jempol, Negeri Sembilan seluas 48.73 hektar diteroka secara haram untuk aktiviti pembalakan.
Pengarah strateginya Rafizi Ramli mendakwa, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dilanggar apabila kawasan itu diteroka untuk "manfaat syarikat yang ada kaitan dengan pemimpin BN Negeri Sembilan" pada tahun 2004.
"Cukuplah kita katakan tanah itu dipindah milik kepada beberapa syarikat dan individu..dan kita akan dedahkan perkara ini.
"Sesetengah (ahli politik) bijak apabila menggunakan orang tengah tetapi ada juga yang mempunyai pemilikan terus dalam syarikat ini," kata Rafizi kepada wartawan.
Bercakap pada sidang media hari ini, yang disifatkannya sebagai pendedahan pertama daripada siri pendedahan akan datang, Rafizi mendakwa tindakan itu bukan sahaja merugikan kerajaan negeri malah menyebabkan banjir besar di kawasan Pekan Jelai pada tahun 2010.
Dakwanya, pembalakan di hutan simpan tersebut bermula pada tahun 2009.
Dakwanya, penerokaan hutan simpan Jeram Padang Selatan yang digazetkan pada tahun 1918, melanggar Seksyen 18(1) akta itu yang menetapkan tiada tanah boleh digunakan jika penggunaanya bertentangan dengan pelan tempatan.
Menurut Rancangan Tempatan Daerah Jempol 2002-2015, hutan simpan Jeram Padang Selatan ditandakan sebagai Zon Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 yang tidak membenarkan sebarang bentuk pembangunan dilakukan.
Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2001 - 2020 pula menyatakan agar kawasan ditanda sebagai KSAS "dipelihara supaya tidak membawa bencana alam seperti tanah runtuh yang akan mengancam nyawa dan harta benda masyarakat".
Rafiziz mendakwa, kerjasama di antara ahli politik dan ahli perniagaan yang korup untuk memindahkan hak milik tanah itu adalah satu kitaran yang berterusan.
"Mereka kemudian dapat manfaat dari proses membalak yang meluas, kemudian mengkomersilkan kawasan itu untuk kelapa sawit dan selepas itu ia menjadi kawasan perumahan.
"Ini meninggalkan kesan mendalam kerana kawasan ini adalah kawasan tadahan air," katanya.
Beliau mendakwa, ramai tidak mengetahui bahawa kawasan hutan simpan di Negeri Sembilan adalah yang paling banyak diteroka untuk pembalakan.
Dakwanya sebanyak 8,616 hektar atau 5.3 peratus hutan simpan diteroka di negeri itu dari tahun 2005 sehingga 2011.
"Semua ini berlaku di bawah kepimpinan MB (Datuk Seri) Mohamad Hassan," katanya.
Turut hadir pada sidang media tadi adalah setiausaha PKR Negeri Sembilan Sabaruddin Mohd Yassin dan ADUN Ampangan Rashid Latiff.
No comments:
Post a Comment