KUALA LUMPUR 30 Oktober: KEADILAN akan membuat laporan polis Khamis ini mendesak siasatan terhadap pengambilan hutan simpan untuk aktiviti pembalakan haram yang dilakukan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohammad Hassan.
“Sehingga kini Mohammad masih belum memberi sebarang jawapan mengenai perkara ini dan hanya mendiamkan diri. Oleh itu, saya dan pimpinan Pakatan Rakyat serta aktivis NGO akan membuat laporan polis di Seremban pada 1 November ini jam 3 petang agar siatan dapat dimulakan segera,” kata Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata, Mohammad perlu mendedahkan segera semua maklumat skandal konsesi pembalakan di negeri itu melibatkan kuota 4,800 hektar.
“Rakyat berhak tahu siapa yang mendapat konsesi balak ini, berapa hasilnya kepada kerajaan negeri dan status hak milik tanah-tanah ini setelah diterokai.
“Sebaliknya jika keadaan ini tidak berlaku, KEADILAN akan terus mendedahkan individu-individu yang mendapat ‘durian runtuh’ dari kegiatan pembalakan di atas tanah hutan simpan ini dan kaitan mereka dengan pimpinan Umno BN,” kata Rafizi.
8,616 hektar hutan simpan dibatalkan status
Menurut Rafizi, pendedahan tersebut berdasarkan Laporan Audit 2010 yang menegur kerajaan negeri berhubung penggantian kawasan hutan simpan.
“KEADILAN menyemak dokumen-dokumen rasmi secara jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Sembilan, mempunyai rekod paling buruk dari segi kegagalan menggantikan hutan simpan yang diambil untuk kegunaan lain.
“Walaupun ada sedikit penggantian sebanyak 2,400 hektar seperti yang disebut oleh Mohammad, jumlah keluasan hutan simpan di Hutan Simpan Jeram Padang Selatan yang dibatalkan statusnya bagi tujuan pembalakan adalah jauh lebih besar, yang mencatat 8,616 hektar tanah hutan hilang,” katanya.
Rafizi berkata, jika kegiatan pembalakan dan penerokaan hutan di negeri itu berterusan dan di luar kawalan akibat tidak dapat menggantikan hutan simpan yang dibatalkan, Negeri Sembilan bakal kepupusan tanah hutan.
“Pada kadar kehilangan hutan simpan lima peratus setiap lima tahun, KEADILAN menjangkakan kawasan hutan dan tadahan hujan di Negeri Sembilan boleh pupus sepenuhnya dalam tempoh 50 tahun, terutamanya apabila semakin tahun hutan simpan makin berkurangan,” katanya.
No comments:
Post a Comment