Thursday, June 14, 2012

KEADILAN NS tetap bersedia andainya PRU 13 berlangsung Mac 2013

Tarikh pilihanraya umum di negara ini umpama 'suatu misteri politik' yang hanya diketahui oleh Perdana Menteri.

Kepastian jelas tentang misteri tersebut adalah ia antara strategi politik pemerintah BN untuk mencetuskan tanda tanya dan usaha 'melemahkan' daya juang pembangkang tanpa pihak pembangkang mengetahui tempoh sebenar PRU yang bakal berlaku.

Tanpa pengumuman awal tarikh pilihanraya sebagaimana yang dilakukan di Amerika Syarikat,   Eropah dan beberapa negara Asia lain, pemerintah BN dilihat memanipulasi tempoh masa yang 'menjadi misteri dan rahsia' itu untuk memperkukuhkan pengaruh politik dikalangan rakyat tanpa melibatkan pembangkang dalam situasi berkenaan.

Walau apa sekali terjadi, Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN Negeri Sembilan akan tetap bersedia  menghadapi gelora PRU-13 seandainya ia berlaku pada Mac 2013. Semangat juang bagi menghadapi pilihanraya tersebut bukan suatu cakap-cakap kosong politik tetapi ia adalah kehendak mengambilalih teraju pemerintah negara dan Negeri Sembilan ke arah membina kembali kesejahteraan hidup rakyat.

Pergolakan Dalaman Umno NS

Pertentangan dalaman yang berlaku dalam Umno Negeri Sembilan bukan lagi suatu rahsia politik, malah rakyat kebanyakan menyedarinya. Malahan orang-orang dalam organisasi tersebut juga sendiri yang menghebahkan kepincangan politik dalaman mereka. Tsunami 2008 menggoncang benar segala isi dalam pertubuhan kebangsaan Melayu itu dan memecahkan 'perpaduan politik' sesama mereka.

Kedudukan MB sendiri sebagai Pengerusi pertubuhan tersebut mulai dicabar dan telah ada pimpinan Umno lain-lain bahagian telah membayangkan untuk menduduki kerusi Menteri Besar NS selepas PRU-13 ini. Perebutan dan hebahan wajah-wajah yang dikatakan bakal menggantikan Mohammad Hasan sebagai MB NS telah mula bertebaran di seluruh negeri. Pelbagai spekulasi politik didengari namun masih belum ada perkhabaran mutlak tentangnya.

Ke Arah Menawan NS

Keadaan politik dalaman Umno NS yang bergelora itu, harus digunakan sebaik mungkin oleh jentera PR khususnya KEADILAN NS dalam memperbaiki dan memperkemaskan strategi dan gerak kerja. Ia suatu cabaran besar dan bukan suatu kerja mudah untuk memecah benteng tradisi Umno di kawasan-kawasan pedalam dan luar bandar.

Harapan mempertahankan kemenangan lalu tetap besar dan kemungkinan untuk PR menawan Negeri Sembilan cukup tinggi. Adalah penting bagi KEADILAN NS memperkasakan jentera dan memperkemaskan strategi terutama dalam penyampaian dan sebaran maklumat kepada rakyat. Kegagalan penyampaian maklumat tepat kepada rakyat khususnya di luar bandar memungkin kegagalan mencapai kemenangan.


No comments: