Wednesday, June 20, 2012

Daftar sebelum akhir Jun layak mengundi jika PRU selepas Ogos

dipetik dari Malaysiakini.com


Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini, andai pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan selepas Ogos.
    
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.
    
"Bulan ini adalah bulan terakhir suku tahun 2/2012 dan selepas itu nama-nama tersebut akan dipamerkan pada bulan berikutnya iaitu Julai selama dua minggu. Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih berkenaan boleh
diwartakan," katanya kepada Bernama.

Dalam setahun ada empat suku tahun iaitu suku tahun pertama (Januari-Mac), suku kedua (April-Jun), suku ketiga (Julai-September) dan suku keempat (Oktober-Disember), kini SPR dalam proses menerima permohonan pendaftaran pemilih bagi suku tahun kedua.
    
Sehingga suku 1/2012, seramai 12.9 juta yang sudah mendaftar, daripada jumlah itu pengundi Melayu (6,782,990), Cina (3,871,277), India (938,946), bumiputera Sabah (618,277), bumiputera Sarawak (519,563), Orang Asli (69,510) dan lain-lain (11,2027).

Abdul Aziz berkata selain pendaftaran baru, bulan Jun juga penting kepada mereka yang telah mendaftar membuat semakan.

"Ia bagi membolehkan pemilih mengetahui sekiranya terdapat perubahan lokaliti, tempat mengundi atau sebarang kesilapan dan ketidaktepatan maklumat, jika semakan dibuat selepas Jun mungkin sudah terlewat," katanya.
    
Beliau berkata hanya pemilih sahaja boleh memohon menukar butir-butir mengenai diri masing-masing dalam Daftar Pemilih, SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan yang berlaku tanpa pemilih itu sendiri memaklumkan kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan.
    
"Tidak boleh beranggapan disebabkan telah mengundi di tempat sama sebanyak tiga kali sebelum ini, maka kita pun ambil mudah tidak mahu membuat semakan,  tidak boleh begitu adalah lebih baik buat semakan bukannya susah pun," katanya.

Bagi menggalakkan pemilih membuat semakan, kempen  bulan semakan  diadakan sejak 1 Jun lepas selama sebulan dan sehingga 11 Jun, hanya satu peratus sahaja iaitu kira-kira 138,216 pemilih telah berbuat demikian.
    
"Jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah pemilih berdaftar adalah terlalu kecil kerana jumlah pemilih berdaftar sehingga suku tahun 1/2012 adalah seramai 12.9 juta orang," katanya.
    
Abdul Aziz berkata diharapkan selepas ini lebih ramai yang akan mendaftar dan membuat semakan kerana pelbagai kaedah disediakan SPR untuk kemudahan orang ramai.
    
Semakan boleh dibuat melalui Call Centre di ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6565 ataupun menelefon ke pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Ahad tujuh (7) hari seminggu sepanjang bulan berkenaan.
    
Boleh juga dibuat menerusi Laman Sesawang SPR di  www.spr.gov.my dengan cara memasukkan nombor kad pengenalan dalam ruang semakan yang disediakan dan maklumat pendaftaran pemilih akan dipaparkan; Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.
    
Semakan di kaunter SPR boleh dibuat di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang bulan berkenaan.
    
- Bernama

No comments: