Wednesday, June 20, 2012

Fitnah RM3 bilion: Ahli Parlimen BN menikus dicabar Anwar

dipetik dari Keadilan Daily


KUALA LUMPUR 20 Jun: Wakil-wakil rakyat Umno hanya berani membuat fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui media dan ‘serang hendap’ tetapi menikus apabila dicabar secara berhadapan oleh Ketua Pembangkang itu di Parlimen.
Ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan sebentar tadi, beliau diganggu oleh suara-suara dari beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional dengan jeritan “RM3 bilion, RM3 bilion!”
Anwar lantas memaklumkan Speaker untuk memberi laluan dan mencabar Ahli Parlimen BN itu membangkitkan isu RM3 bilion itu supaya beliau dapat menjawab di Parlimen.
“Sila-sila…Sila bangun Yang Berhormat. Bangkitkan isu ini. Saya cabar kepada Yang Berhormat semua,” cabar Anwar.
Tetapi setelah dua kali diulang, tiada seorang pun berani bangun atau menyahut cabaran tersebut.
Anwar selanjutnya menjelaskan bahawa SPRM sendiri pada tahun 2009 (ketika itu BPR) menyatakan tuduhan itu tidak berasas berdasarkan pengakuan bersumpah bekas pengarah siasatan badan itu, Abdul Razak Idrus.
Akuan bersumpah itu dibuat setelah sepasukan pengawai BPR ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bising mencabar Anwar mendedahkan akaun mengenai isu RM3 bilion tetapi membisu apabila Anwar mencabar Timbalan Perdana Menteri itu supaya sama-sama mendedah akaun.
Parlimen sekarang sedang membahas peruntukan tambahan RM13 bilion yang dipinta oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dari jumlah itu RM360 juta diperuntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terpalit dengan penipuan daftar pemilih.
Anwar juga mengkritik pentadbiran Najib yang tidak cekap merancang dan mengendali ekonomi apabila unjuran defisit fiskal meningkat kepada 6.2 peratus berbanding 4.7 peratus semasa pembentangan belanjawan Oktober lepas.

No comments: