Thursday, June 28, 2012

Azan ditawar RM5 juta untuk lompat ke BN

dipetik daripada Keadilan Daily


KUALA LUMPUR 28 Jun: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dari KEADILAN mendedahkan, beliau pernah ditawar RM5 juta untuk lompat ke parti BN.
Menurutnya, tawaran itu dibuat pada tengahari 27 Januari 2010 di sebuah hotel bertaraf lima bintang di Kuala Lumpur.

Kata Azan, lebih 12 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat diberi tawaran sama, dan diatur dengan kemas dan licik.
“Sebagai contoh, Ahli Parlimen tidak akan ‘lompat’ pada masa yang sama. Tawaran juga tidak dibuat oleh perancang, tetapi diwakili seorang tokoh yang dihormati dan pernah ada kedudukan tinggi dalam kerajaan.
“Jumlah tawaran juga bergantung pada rundingan. Ada yang melebihi RM5 juta seperti yang disebut dalam rakaman video,” jelasnya pada sidang media di Parlimen semalam.
Beliau menambah, beberapa bukti lain seperti video dan tokoh yang terlibat akan didedahkan, selepas segala maklumat disusun dengan teratur.
Pada 21 Jun lalu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menayangkan klip video berdurasi 30 saat yang dirakam di sebuah restoran di Lembah Klang.
Klip video tersebut menunjukkan rundingan di antara Ahli Parlimen KEADILAN dan agen Umno, didakwa bekas Ketua parti (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim.
Kegagalan Zamil menafikan dakwaan tersebut menguatkan lagi kebenaran ini dan peranan beliau sebagai agen Umno.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berkata, siri-siri pendedahan akan terus dibuat supaya gambaran sebenar akan menjadi lebih jelas.
Katanya, penampilan Azan sebagai saksi utama untuk menunjukkan memang ada rundingan rahsia untuk memujuk Ahli Parlimen Pakatan Rakyat lompat parti.
“Kita juga mahu rakyat tahu setakat mana kerajaan Umno BN ambil berat soal demokrasi.
“Tindakan ini juga membuktikan mereka tidak menghormati pilihan rakyat, hanya ingin menang pilihan raya dengan apa-apa cara,” kata Khalid.

Fitnah RM3 bilion: Murad ke Jerman mohon maaf pada Anwar – Saifuddin


PKR mendakwa bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Murad Khalid secara peribadi menemui Datuk Seri Anwar Ibrahim di Munich, Jerman untuk memohon maaf berhubung isu akuan bersumpahnya terhadap ketua umum parti itu.

NONE"Apabila beliau tahu Datuk Seri Anwar Ibrahim ada di Alpha Clinic, pada hujung 2004, beliau terbang dari Kuala Lumpur ke Munich, Jerman untuk memohon maaf bahawa keluarganya diugut (supaya dia) menandatangani akuan bersumpah," dakwa Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Dalam akuan bersumpah itu, Murad mendakwa Anwar mempunyai banyak akaun saham dan hartanah sehingga bernilai RM3 bilion.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Saifuddin berkata sebenarnya Murad "bukan sasaran" memandangkan perkara tersebut telah lama berlaku.

Sebaliknya, beliau mendakwa Umno lebih berminat kepada skandal dan ancaman terhadap kedudukan parti itu.

"Jangan memandang rendah kedudukan PKR... Kita tidak akan berpeluk tubuh bahawa kita memiliki seluruh dokumen, cukup untuk mendedahkan setakat mana (penglibatan) individu tertentu.

"Kita tampil baru sekelumit," tegasnya yang juga ahli parlimen Machang. 

Turut hadir dalam sidang media itu Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli.

Akaun bersumpah 'innuendo' 

Sementara itu, Rafizi turut mendakwa, akuan bersumpah itu bersifatinnuendo - "tidak memberi fakta dan senarai semua harta" yang didakwa dimiliki Anwar.

Sebaliknya, kata Rafizi, akuan itu hanya dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan ketua pembangkang itu.

Sehubungan itu, katanya, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk mengesahkan dakwaan Abdul Murad sama ada benar atau tidak dengan menyelidiki latar belakangnya.

NONEHasil siasatan beliau, Rafizi mendakwa rekod Abdul Murad "tercalar dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa" sewaktu berkhidmat di Bank Negara.

Perkara itu antaranya berkaitan dakwaan menerima habuan dalam pembayaran keahlian kelab Golf dan insurans kediaman dibayar pihak ketiga dengan jumlah tertentu.

Rafizi mendakwa pihaknya mempunyai bukti berhubung dakwaan yang dibuatnya hari ini.

"Saya mengajukan pendapat bahawa dakwaan Datuk Murad Khalid mengenai kewujudan master account yang memegang hartanah dan saham sebenarnya merujuk kepada pegangan beliau sendiri," kata Rafizi.

Beliau berkata berdasarkan siasatannya juga, Abdul Murad didakwa mempunyai hubungan dengan banyak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Bank Negara dan industri perbankan negara ini.

"Ini menimbulkan tanda tanya sama ada beliau terlibat dengan pelbagai salah laku dan penyelewengan serta menggunakan kedudukan beliau untuk mengumpul harta, sehinggakan kelemahan ini dimanipulasikan oleh musuh-musuh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuat perakuan bersumpah palsu terhadap beliau (Anwar)," kata Rafizi.

Rafizi: Umno jangan galak sangat
Sehubungan itu, Rafizi menasihatkan kepada Abdul Murad supaya kembali ke pangkal jalan, memperbetulkan keadaan dengan berterus terang.

"Beliau perlu tampil ke hadapan memohon maaf secara umum kepada Anwar dan seluruh rakyat Malaysia," katanya sambil menambah PKR tidak mahu memperbesarkan isu ini.

azlanRafizi turut mendakwa pihaknya juga mempunyai salinan surat asal beliau kepada mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad yang didakwanya "membawa implikasi buruk kepada beliau dan beberapa pimpinan tertinggi Umno".

"Jadi, saya beri amaran kepada pemimpin Umno, jangan galak sangat... (Ada yang) mengaibkan lebih daripada dakwaan (Abdul Murad)... Kita tidak berminat nak meneruskan (pendedahan ini). Mari kita cakap soal polisi," kata Rafizi.

Ditanya sama ada pendedahan dakwaan itu sebagai "ugutan" kepada Abdul Murad, Rafizi berkata beliau tidak fikir ia sebagai ugutan kerana sebahagiannya termasuk dalam dokumen kes mahkamah.

"Kalau dia rasa ia ugutan, terserah kepadanya. Kita tengok apa reaksinya terlebih dahulu," katanya.

Wednesday, June 27, 2012

Siasatan skandal Scorpene buat Najib tertekan


KUALA LUMPUR 27 Jun: Kerajaan Malaysia gagal menjawab persoalan berkaitan pembelian dua kapal selam Scorpene sebagai maklum balas terhadap skandal tersebut termasuk penjualan dokumen rahsia negara kepada syarikat pembuat kapal selam Perancis, DCNS.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berjanji untuk menjawab mengenai penjualan dokumen sulit oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Dewan Rakyat semalam bagaimanapun menafikannya dengan berkata, kerajaan tiada maklumat berhubung penjualan dokumen pertahanan negara kepada negara asing.
Beliau turut menafikan bahawa kementerian itu juga tidak pernah membayar komisen secara langsung, mahupun tidak langsung kepada mana-mana syarikat dalam perolehan kapal selam Scorpene.
Memetik laporan Reuters, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang pada masa itu merupakan Menteri Pertahanan, juga telah menafikannya.
Agensi berita itu juga mengatakan, kerajaan pimpinan Najib sedang berhadapan tekanan untuk memberikan penjelasan selepas dokumen itu didedahkan di Mahkamah Perancis oleh kumpulan hak asasi manusia Malaysia (Suaram) dan disebarkan secara meluas di media online.
Dokumen yang turut mengandungi rekod rampasan pihak berkuasa Perancis dalam serbuan di pejabat DCNS menunjukkan bukti pembayaran yang dibuat dua syarikat yang dimiliki oleh bekas penganalisis politik, Razak Baginda, yang juga merupakan bekas pembantu Najib yang bertanggungjawab menguruskan pembelian tersebut.
Dokumen berkenaan yang turut dipaparkan di laman media online, Asia Sentinel turut memaparkan laporan yang disediakan DCNS yang menyatakan kontrak pertahanan yang besar memerlukan “pemindahan wang yang besar kepada individu dan/atau organisasi”.
“Di Malaysia, biasanya … kerajaan pemerintah adalah pihak yang lebih banyak memperolehi manfaat,” kata dokumen terbabit, merujuk kepada pemerintahan Umno, yang kini diketuai oleh Najib.
Dokumen lain pula menyebut, bekas Ketua Eksekutif DCNS berkata, Perimekar, salah satu daripada syarikat Razak Baginda berperanan sebagai tidak lebih daripada “agensi pelancongan” yang diwujudkan bagi mencetuskan “pengkayaan yang tidak adil kepada pemegang sahamnya.”
Pembunuhan Altantuya
Joseph Braham, peguam yang mewakili Suaram di Mahkamah Perancis memberitahu Reuters bahawa dokumen berkenaan adalah asli dan itu adalah salinan asalnya.
“Kami tidak boleh membuktikan wang itu disalurkan kepada Umno. Namun kami boleh membuktikan wang itu wang rasuah. Jika tidak kerana rasuah, untuk apa mereka dibayar,” kata Breham.
Pegawai-pegawai di DCNS, yang dimiliki oleh sebahagian syarikat pertahanan elektronik kumpulan Thales, bagaimanapun tidak dapat dihubungi. Pegawai kerajaan Malaysia juga tidak akan bertindak balas terhadap permintaan untuk memberikan komen berhubung perkara itu.
Satu sumber yang rapat kepada kerajaan Malaysia berkata bahawa Suaram telah banyak dikaitkan kepada pembangkang, yang mana bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya, yang mana Najib mesti lakukan Mac depan.
Penyokong kerajaan mengatakan bahawa pendakwaan sivil, seperti yang dibawa oleh Suaram, adalah perkara biasa di Perancis dan tiada tanda-tanda bahawa jenayah telah dilakukan.
Breham berkata kepada pemberita pada sidang akhbar di Bangkok bulan lepas bahawa dokumen sulit tentera laut Malaysia telah dijual kepada DCNS oleh satu firma Razak Baginda, Terasasi, pada harga €36 juta. Ahli-ahli politik pembangkang telah mengatakan bahawa jika dakwaan itu benar, ia menunjukkan pengkhianatan kepada negara.
Kerajaan Malaysia telah mengakui bahawa Perimekar menerima €114 juta bagi perkhidmatan sokongannya, tetapi masih belum memberikan kenyataan berhubung peranan Terasasi yang berpangkalan di Hong Kong.
Dokumen berkenaan juga menyebut hubungan Razak Baginda dengan Altantuya Shaariibuu, jurubahasa dan model Mongolia yang dibunuh menggunakan bahan letupan gred tentera di Kuala Lumpur pada tahun 2006.
Razak Baginda telah dibebaskan daripada tuduhan tersebut, namun dua pengawal peribadi Najib telah disabitkan kesalahan dan dipenjarakan atas kesalahan membunuh wanita itu. Razak Baginda dipercayai telah berpindah ke Eropah dan tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.
Dakwaan-dakwaan yang muncul daripada mahkamah Perancis telah membantu pembangkang merangsang Malaysia. Gabungan itu dijangka untuk memenangi pilihan raya tetapi kemenangan adalah jauh dari yang dijangkakan selepas pembangkang telah memperolehi kemenangan mengejut pada tahun 2008 yang menggemparkan cengkaman kuasa BN yang telah memerintah lebih separuh abad.
“Mana-mana implikasi bahawa perjanjian Scorpene adalah satu tindakan rasuah cukup untuk menggagalkan beliau (Najib),” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua kepada Reuters dalam satu majlis makan malam baru-baru ini untuk mengumpul dana untuk perbelanjaan guaman Suaram. Berita asal di sini.
(Disunting dan diterjemah The Malaysian Insider)

Projek NFC: Pengerusi PAC akui SOP Kementerian Kewangan, Pertanian lemah

dipetik daripada Keadilan Daily


KUALA LUMPUR 27 Jun: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati wujud kelemahan dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung penganugerahan kontrak projek Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid dipetik sebuah portal berkata, ini termasuk kelemahan dalam aspek memberi arahan dan kawalan dalaman Kementerian Kewangan kepada agensi-agensi yang tidak mantap.
“Didapati pegawai yang mewakili kementerian (Kewangan dan Pertanian) dalam NFC tidak begitu mahir dalam tanggungjawab sebagai ahli lembaga pengarah.
“Mungkin tahu (tanggungjawab) tapi tindakan-tindakan untuk pastikan sesuatu urusan berjalan dengan sepatutnya tidak dibuat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa tersebut di Parlimen semalam.
Hadir sama, pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua kementerian berkenaan serta wakil Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Azmi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, PAC dimaklumkan bahawa Kementerian Kewangan telah mengeluarkan SOP baru untuk dipatuhi pegawainya yang dilantik sebagai ahli lembaga pengarah mana-mana syarikat atau projek.
“Saya tidak tahu setakat mana ia akan ditingkatkan tapi kami berharap ia akan dipertingkatkan,” katanya dipetik.
Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang juga anggota PAC berkata, antara SOP yang diberi perhatian dalam penilaian mesyuarat itu adalah cara perjanjian projek ladang lembu itu dirunding dan dimeterai.
Selain itu, katanya, pengeluaran wang, pengawalseliaan laporan kemajuan, tugas pengarah syarikat yang kerajaan mempunyai kepentingan serta pengendalian akaun syarikat juga diteliti.
Dalam pada itu, Azmi berkata, PAC juga meminta kerjasama Jabatan Audit Negara untuk meneliti beberapa dokumen tertentu yang memerlukan penjelasan lanjut.

Tuesday, June 26, 2012

'Nak berdebat ke tak nak?' tanya Anwar pada PM


dipetik daripada Malaysiakini

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi dengan sinis mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin berdebat dengannya atau tidak. 

NONEAnwar berkata, kenyataan Najib sebelum ini yang mengatakan debat bukan satu budaya, juga merupakan helah untuk mengelak berdebat dengan beliau. 

"Dia nak debat ke tak nak? Dia anjurkan debat di seluruh sekolah. Hadiah (yang diperolehi ialah piala) perdana menteri. Di sekolah minta anak-anak untuk berdebat. Hadiahnya (piala) perdana menteri. Tapi perdana menteri kata bukan budaya. Habis yang diajar di sekolah itu apa? 

"Itu cuma helah nak elak untuk berdebat," kata Anwar ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan pidato aspresiasi di majlis pelancaran dan diskusi buku Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat malam tadi. 

Majlis pelancaran dan diskusi buku hasil tulisan Datuk Dr Siddiq Fadzil itu juga turut dihadiri Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. 

Jumaat lalu, Najib terus mengelak apabila ditanya mengenai cabaran yang dikemukakan Anwar untuk mengadakan debat.

Katanya, debat tidak semestinya dilihat sebagai satu budaya tetapi mesti dilihat mengikut kepada keadaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang mengatakan perbahasan di Parlimen ada unsur perdebatan, Anwar menafikan perkara tersebut. 

"Debat... bila Datuk Najib datang? nak debat atau tidak. Bagi alasan Parlimen ada debat. Tak ada. 

"Kedua ini bukan budaya Melayu. Maki orang, pukul orang, bunuh, hina itu budaya Melayu ke? Guna media untuk aibkan orang itu budaya Melayu?" soal Anwar. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan pemimpin baru Mesir, Mohamed Morsi, Anwar berkata, perkara tersebut membuktikan bahawa suara rakyat harus dihormati. 

Menurut Anwar, presiden Mesir yang baru itu telah menghadapi pelbagai tuduhan tetapi masih ada kekuatan dan sambutan dari rakyat negara itu. 

"Rakyat Mesir dah buat keputusan. Ini tunjukkan bahawa suara rakyat harus dihormati. Beliau telah dipenjara dan dihina dengan pelbagai tuduhan tetapi masih lagi ada kekuatan dan mendapat sambutan rakyat," kata Anwar. 

Ketika mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini, Anwar berkata, mantan perdana menteri itu masih mewakili zaman lampau. 

Sambil menyifatkan bapa pemodenan itu mewakili pandangan bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak, Anwar berkata, Mahathir masih lagi merasai kehilangan Hosni. 

"Mahathir mewakili zaman lampau dan mewakili pandangan Husni Mubarak. Jadi kawan kita Tun Mahathir masih rasa kehilangan Hosni sedangkan rakyat Mesir bergembira," kata Anwar.

Foto tunjuk Altantuya pernah ke Perancis

dipetik dari Malaysiakini



Manakala penyiasatan polis Perancis menunjukkan Altantuya Shaariibuu tidak pernah memasuki Perancis dari tahun 1999 hingga 2006, terdapat gambar-gambarnya yang diambil di Paris yang disiarkan beberapa tahun lepas, yang menunjukkan sebaliknya.

Laporan mengenai siasatan polis Perancis telah disiarkan oleh portal berita Free Malaysia Today (FMT) dalam artikel bertajuk'French probe: Altantuya never entered France' (Siasatan Perancis: Altantuya tidak pernah masuk Perancis').

Laporan yang disiarkan semalam itu berdasarkan dokumen sulit siasatan yang dikemukakan kepada inkuiri kehakiman Perancis yang sedang menyiasat dakwaan pemberian sogokan dalam perjanjian pembelian kapal selam Scorpene pada 2002 antara firma Perancis, DCNS dan kerajaan Malaysia.

NONE
Bagaimanapun, pada tahun 2007, satu siri foto diberikan kepada Asia 
Sentinel oleh Syed Abdul Rahman Al-Habshi - bekas konsul kehormat Mongolia di Malaysia - yang menunjukkan Altantuya "sedang makan angin ke Eropah".

Menurut portal berita yang berpejabat di Hong Kong itu, Syed Abdul Rahman ketika itu enggan menyatakan dari mana datangnya gambar tersebut.

Ianya dipercayai telah ditemui bersama barangan milik Altantuya selepas dia dibunuh, demikian menurut laporan Asia Sentinel dalam sebuah artikel yang bertajuk 'Who was Altantuya Shaariibuu?'('Siapakah Altantuya Shaariibuu?') tulisan John Berthelsen pada 5 Disember tahun tersebut.

NONE
"Jika anda ke lamanAsia Sentinel, anda akan melihat gambar-
gambarnya berdiri di depan Louis Vuitton, Buddha Bar, Notre Dame Catheral dan lokasi-lokasi lain di Paris," kata Berthelsen kepadaMalaysiakini.

Berthelsen, bekas wartawan Asia Wall Street Journal di Malaysia, juga berkata, keluarga Altantuya enggan mengulas lanjut mengenai gambar-gambar tersebut.

Bagaimanapun, pada bulan April tahun ini, bapa Altantuya - Setev Shaariibuu - memberitahu satu sidang akhbar yang dianjurkan oleh Suaram di Kuala Lumpur bahawa visa anak perempuannya itu ke Perancis, dikeluarkan di Kuala Lumpur di bawah nama itu "Amina Abdullah" dan anaknya itu sepatutnya memasuki Paris selepas terbang ke Jerman.

Program Minggu Ini


Wednesday, June 20, 2012

Akaun RM3 bilion: Anwar dedah akuan bersumpah bekas Pengarah Siasatan BPR


dipetik dari Keadilan Daily
KUALA LUMPUR 19 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan surat akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idris.
Surat akuan bertarikh 10 November 2009 yang dimuat naik dalam laman blog beliau semalam memaparkan bukti bahawa siasatan terhadapnya berhubung pertuduhan menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan barat telah pun ditutup kerana tiada sebarang kes.

“Siasatan telah dijalankan oleh satu Cawangan di bawah penyeliaan saya di Ibu Pejabat BPR Malaysia.
“Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan teliti termasuk ke luar negara seperti Singapura dan United Kingdom.
“Siasatan itu menghasilkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa berhubung dengan Akuan Bersumpah tersebut dan saya mengarahkan siasatan itu ditutup,” kata Abdul Razak dalam akuan tersebut.
Menurut akuan itu lagi, selaku Pengarah Siasatan BPR pada tahun 1999, Abdul Razak telah mengarahkan siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 ke atas akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan.
Bekas Pegawai Kanan BPR itu memberi keterangan akuan bersumpah itu dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.
Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.
Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002.
Abdul Razak membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup.
Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 – kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada awal September tahun berkenaan.
Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah.
Dalam perkembangan sama, Abdul Murad semalam dilapor menegaskan sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan.

Fitnah RM3 bilion: Ahli Parlimen BN menikus dicabar Anwar

dipetik dari Keadilan Daily


KUALA LUMPUR 20 Jun: Wakil-wakil rakyat Umno hanya berani membuat fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui media dan ‘serang hendap’ tetapi menikus apabila dicabar secara berhadapan oleh Ketua Pembangkang itu di Parlimen.
Ketika membahas Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan sebentar tadi, beliau diganggu oleh suara-suara dari beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional dengan jeritan “RM3 bilion, RM3 bilion!”
Anwar lantas memaklumkan Speaker untuk memberi laluan dan mencabar Ahli Parlimen BN itu membangkitkan isu RM3 bilion itu supaya beliau dapat menjawab di Parlimen.
“Sila-sila…Sila bangun Yang Berhormat. Bangkitkan isu ini. Saya cabar kepada Yang Berhormat semua,” cabar Anwar.
Tetapi setelah dua kali diulang, tiada seorang pun berani bangun atau menyahut cabaran tersebut.
Anwar selanjutnya menjelaskan bahawa SPRM sendiri pada tahun 2009 (ketika itu BPR) menyatakan tuduhan itu tidak berasas berdasarkan pengakuan bersumpah bekas pengarah siasatan badan itu, Abdul Razak Idrus.
Akuan bersumpah itu dibuat setelah sepasukan pengawai BPR ke Singapura dan United Kingdom untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Sebelum itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bising mencabar Anwar mendedahkan akaun mengenai isu RM3 bilion tetapi membisu apabila Anwar mencabar Timbalan Perdana Menteri itu supaya sama-sama mendedah akaun.
Parlimen sekarang sedang membahas peruntukan tambahan RM13 bilion yang dipinta oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dari jumlah itu RM360 juta diperuntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang terpalit dengan penipuan daftar pemilih.
Anwar juga mengkritik pentadbiran Najib yang tidak cekap merancang dan mengendali ekonomi apabila unjuran defisit fiskal meningkat kepada 6.2 peratus berbanding 4.7 peratus semasa pembentangan belanjawan Oktober lepas.

Daftar sebelum akhir Jun layak mengundi jika PRU selepas Ogos

dipetik dari Malaysiakini.com


Kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih, masih berpeluang mengundi sekiranya mendaftar sebelum 30 Jun ini, andai pilihan raya umum (PRU) ke-13 diadakan selepas Ogos.
    
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata Jun adalah detik paling sesuai untuk mereka mendaftar sebelum senarai pemilih diwartakan pada Ogos depan.
    
"Bulan ini adalah bulan terakhir suku tahun 2/2012 dan selepas itu nama-nama tersebut akan dipamerkan pada bulan berikutnya iaitu Julai selama dua minggu. Jika tiada sebarang bantahan, senarai daftar pemilih berkenaan boleh
diwartakan," katanya kepada Bernama.

Dalam setahun ada empat suku tahun iaitu suku tahun pertama (Januari-Mac), suku kedua (April-Jun), suku ketiga (Julai-September) dan suku keempat (Oktober-Disember), kini SPR dalam proses menerima permohonan pendaftaran pemilih bagi suku tahun kedua.
    
Sehingga suku 1/2012, seramai 12.9 juta yang sudah mendaftar, daripada jumlah itu pengundi Melayu (6,782,990), Cina (3,871,277), India (938,946), bumiputera Sabah (618,277), bumiputera Sarawak (519,563), Orang Asli (69,510) dan lain-lain (11,2027).

Abdul Aziz berkata selain pendaftaran baru, bulan Jun juga penting kepada mereka yang telah mendaftar membuat semakan.

"Ia bagi membolehkan pemilih mengetahui sekiranya terdapat perubahan lokaliti, tempat mengundi atau sebarang kesilapan dan ketidaktepatan maklumat, jika semakan dibuat selepas Jun mungkin sudah terlewat," katanya.
    
Beliau berkata hanya pemilih sahaja boleh memohon menukar butir-butir mengenai diri masing-masing dalam Daftar Pemilih, SPR tidak dapat membetulkan apa-apa kesilapan yang berlaku tanpa pemilih itu sendiri memaklumkan kepada SPR mengikut peraturan dan prosedur ditetapkan.
    
"Tidak boleh beranggapan disebabkan telah mengundi di tempat sama sebanyak tiga kali sebelum ini, maka kita pun ambil mudah tidak mahu membuat semakan,  tidak boleh begitu adalah lebih baik buat semakan bukannya susah pun," katanya.

Bagi menggalakkan pemilih membuat semakan, kempen  bulan semakan  diadakan sejak 1 Jun lepas selama sebulan dan sehingga 11 Jun, hanya satu peratus sahaja iaitu kira-kira 138,216 pemilih telah berbuat demikian.
    
"Jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah pemilih berdaftar adalah terlalu kecil kerana jumlah pemilih berdaftar sehingga suku tahun 1/2012 adalah seramai 12.9 juta orang," katanya.
    
Abdul Aziz berkata diharapkan selepas ini lebih ramai yang akan mendaftar dan membuat semakan kerana pelbagai kaedah disediakan SPR untuk kemudahan orang ramai.
    
Semakan boleh dibuat melalui Call Centre di ibu pejabat SPR di Putrajaya di talian 03-8885 6565 ataupun menelefon ke pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri mulai 8.00 pagi hingga 5.00 petang, Isnin hingga Ahad tujuh (7) hari seminggu sepanjang bulan berkenaan.
    
Boleh juga dibuat menerusi Laman Sesawang SPR di  www.spr.gov.my dengan cara memasukkan nombor kad pengenalan dalam ruang semakan yang disediakan dan maklumat pendaftaran pemilih akan dipaparkan; Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888.
    
Semakan di kaunter SPR boleh dibuat di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, ataupun di pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri dan dibuka pada hari Sabtu dan Ahad dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang sepanjang bulan berkenaan.
    
- Bernama

Tuesday, June 19, 2012

Peneroka cabar pelantikan Isa Samad

dipetik dari Malaysiakini



Satu semakan kehakiman difailkan ke atas keputusan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membenarkan pelantikan pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad sebagai ahli lembaga dan pengerusi Koperasi Permodalan Felda (KPF).

Semakan kehakima yang difailkan empat peneroka Felda - Abdul Talib Ali, Abdul Mubin Abdul Rahman, Abdul Razak Mohammad dan Muhamad Nor Atan - menamakan KPF, SKM dan satu jawatankuasa suruhanjaya sebagai responden dalam permohonan berkenaan.

Permohonan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu bagi menyemak semula keputusan SKM yang membenarkan Isa dilantik ke dalam KPF, walaupun mengetahui bahawa pelantikan tersebut tidak sah.

Permohonan yang difailkan melalui firma Mohamad Hanipa & Associates itu juga menuntut supaya pelantikan dan keahlian Isa dalam KPF ditangguhkan sementara sehingga keputusan semakan kehakiman itu diperolehi.

Empat peneroka berkenaan turut menuntut perintah untuk membatalkan keputusan SKM bagi membatalkan pelantikan Isa.

Peneroka itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan atas tindakan tersebut.

Pada 23 Mei lalu, SKM dan jawatankuasa berkenaan mendapati KPF melanggar satu undang-undang kecil dengan membenarkan keanggotaan Isa, namun memutuskan bahawa keahlian itu tidak boleh dibatalkan kerana tiada undang-undang yang memperuntukkan perkara itu.

Naik had umur persaraan mudahkan BN seleweng KWSP?


dipetik dari Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 18 Jun: Cadangan menaikkan had umur persaraan pekerja swasta kepada 60 tahun bertujuan melengah-lengahkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, langkah itu memudahkan Umno BN
menggunakan sewenang-wenangnya caruman KWSP untuk survival politik mereka.

“Pada masa ini, had umur mengeluarkan KWSP adalah 55 tahun. Apabila dinaikkan persaraan kepada 60 tahun, had umur
pengeluaran KWSP juga akan dilanjutkan.

“Apabila lebih banyak wang terkumpul, maka wang itu akan disalah guna untuk dilabur dalam syarikat kroni mereka,”
katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Langat itu lagi, penyalahgunaan wang KWSP terbukti apabila Perdana Menteri sewenang-
wenang menggunakan RM75.3 bilion dana awam itu untuk melabur di luar negara pada tahun lalu.

Katanya, wang tersebut sekiranya dilaburkan di dalam negara boleh membina rumah kos sederhana atau mampu milik yang memberi manfaat kepada pencarum.
“Hutang negara pada masa ini dianggarkan berjumlah RM456 bilion. Kalau RM75.3 bilion itu dilaburkan dalam negara ia
membantu mengembangkan ekonomi,” ujarnya yang juga Ketua Kaukus Pekerja Parlimen Malaysia.

Abdulah juga mempersoal sama ada golongan pekerja masih dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) jika had umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun.
Mengulas isu sama, bekas Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud membidas
istilah ‘persaraan’ yang digunakan oleh kerajaan kepada pekerja sawsta.

“Kalau sektor swasta, mereka mendapat wang KWSP bukan wang pencen. Istilah ini suruh dia (Najib Razak) perbetulkan
dahulu. Istilah yang betul adalah ‘tamat tempoh usia perkhidmatan’,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak tempoh perkhidmatan swasta dinaikkan kepada 60 tahun asalkan ia dilaksanakan
secara adil dan tidak menjejaskan kebajikan pekerja bawahan.

Program Minggu Ini


Thursday, June 14, 2012

KEADILAN NS tetap bersedia andainya PRU 13 berlangsung Mac 2013

Tarikh pilihanraya umum di negara ini umpama 'suatu misteri politik' yang hanya diketahui oleh Perdana Menteri.

Kepastian jelas tentang misteri tersebut adalah ia antara strategi politik pemerintah BN untuk mencetuskan tanda tanya dan usaha 'melemahkan' daya juang pembangkang tanpa pihak pembangkang mengetahui tempoh sebenar PRU yang bakal berlaku.

Tanpa pengumuman awal tarikh pilihanraya sebagaimana yang dilakukan di Amerika Syarikat,   Eropah dan beberapa negara Asia lain, pemerintah BN dilihat memanipulasi tempoh masa yang 'menjadi misteri dan rahsia' itu untuk memperkukuhkan pengaruh politik dikalangan rakyat tanpa melibatkan pembangkang dalam situasi berkenaan.

Walau apa sekali terjadi, Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN Negeri Sembilan akan tetap bersedia  menghadapi gelora PRU-13 seandainya ia berlaku pada Mac 2013. Semangat juang bagi menghadapi pilihanraya tersebut bukan suatu cakap-cakap kosong politik tetapi ia adalah kehendak mengambilalih teraju pemerintah negara dan Negeri Sembilan ke arah membina kembali kesejahteraan hidup rakyat.

Pergolakan Dalaman Umno NS

Pertentangan dalaman yang berlaku dalam Umno Negeri Sembilan bukan lagi suatu rahsia politik, malah rakyat kebanyakan menyedarinya. Malahan orang-orang dalam organisasi tersebut juga sendiri yang menghebahkan kepincangan politik dalaman mereka. Tsunami 2008 menggoncang benar segala isi dalam pertubuhan kebangsaan Melayu itu dan memecahkan 'perpaduan politik' sesama mereka.

Kedudukan MB sendiri sebagai Pengerusi pertubuhan tersebut mulai dicabar dan telah ada pimpinan Umno lain-lain bahagian telah membayangkan untuk menduduki kerusi Menteri Besar NS selepas PRU-13 ini. Perebutan dan hebahan wajah-wajah yang dikatakan bakal menggantikan Mohammad Hasan sebagai MB NS telah mula bertebaran di seluruh negeri. Pelbagai spekulasi politik didengari namun masih belum ada perkhabaran mutlak tentangnya.

Ke Arah Menawan NS

Keadaan politik dalaman Umno NS yang bergelora itu, harus digunakan sebaik mungkin oleh jentera PR khususnya KEADILAN NS dalam memperbaiki dan memperkemaskan strategi dan gerak kerja. Ia suatu cabaran besar dan bukan suatu kerja mudah untuk memecah benteng tradisi Umno di kawasan-kawasan pedalam dan luar bandar.

Harapan mempertahankan kemenangan lalu tetap besar dan kemungkinan untuk PR menawan Negeri Sembilan cukup tinggi. Adalah penting bagi KEADILAN NS memperkasakan jentera dan memperkemaskan strategi terutama dalam penyampaian dan sebaran maklumat kepada rakyat. Kegagalan penyampaian maklumat tepat kepada rakyat khususnya di luar bandar memungkin kegagalan mencapai kemenangan.


Bekas Pengerusi Kita Kedah ejen BN untuk beli 2 MP Pakatan


dipetik daripada Keadilan Daily
(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 14 Jun: Bekas Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) Kedah, Zamil Ibrahim antara lima individu yang terdapat dalam rakaman video cubaan membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (Pakatan).
Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad di Parlimen hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, Zamil bertindak sebagai salah seorang ejen kepada Umno BN untuk memujuk dua Ahli Parlimen Pakatan lompat parti dengan tawaran RM2 juta.

Bekas ADUN Umno: Rakyat NS tidak mahu Mohamad

dipetik daripada FreeMalaysiaToday

Sekumpulan ahli veteran Umno Negeri Sembilan telah mengetengahkan perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

REMBAU: Negeri Sembilan dalam bahaya jika BN masih mengekalkan Datuk Seri Mohamad Hasan bertanding dalam pilihan raya umum 13.

“Rakyat Negeri Sembilan mengatakan mereka tidak mahu Menteri Besar sekarang bertanding sekali lagi.
“Mereka kata,jika Mohamad bertanding, mereka tdak akan undi BN,” kata bekas ADUN BN Chembong, Datuk Mohamd Rais Zainuddin.
Menurutnya, sekumpulan ahli veteran Umno Negeri Sembilan telah mengetengahkan perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Tazak.
Katanya, rakyat tidak gembira dengan Mohamad dan meminta beliau tidak bertanding mana-mana kerusi DUN di Negeri Sembilan.
“Mereka kata, mereka tidak gembira dengan keluarga Mohamad. Ini pandangan rakyat, saya cuma memberitahu.
“Jika Najib mengutamakan rakyat, beliau harus melihat dan mempertimbangkan perkara ini dengan serius, ” kata Mohamad Rais yang juga bekas AJK Umno Rembau.
Katanya, rakyat yang sayangkan BN dan Umno bimbang Negeri Sembilan akan jatuh ke tangan pembangkang jika Mohamad terus bertanding dalam PRU 13.
Sementara itu, seorang AJK Umno Rembau memberitahu,  penyokong bekas Menteri Besar Tan Sri Isa Samad yang tidak gembira dengan Mohamad.
“Mereka tidak mahu Menteri Besar sekarang bertanding lagi di DUN Rantau,” kata  Mohd Fauzi Othman.
‘Orang Isa tidak suka Mohamad’
Mohamad bekas tokoh korporat menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selepas PRU 12. Beliau juga merupakan Ketua Umno Rembau.
Kata Mohd Fauzi, orang Isa masih belum puas dengan Pengerusi Felda itu yang telah menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan selama 21 tahun itu.
“Orang Isa tidak suka kepada Mohamad, mungkin mereka sudah tidak dapat apa yang mereka dapat semasa Isa menjadi Menteri Besar.
“Tapi apa yang Isa buat selama menjadi Menteri Besar? Sepatutnya Negeri Sembilan sudah jadi seperti Melaka jika ditadbir secara korporat.
“Ini yang mahu dibuat oleh Mohamad iaitu membangunkan Negeri Sembilan secara korporat.
“Cara ini (korporat)  mungkin menyebabkan orang tidak suka kepada Mohamad tetapi ia sesuai untuk pembangunan Negeri Sembilan,” katanya lagi.
Menurut Mohd Fauzi, bagaimanapun beliau tidak mendengar bahawa  Mohamad akan bertanding di Parlimen atau DUN lain dalam PRU 13.
Katanya, Mohamad akan kekal di DUN Rantau dan pengundi serta boleh menerima pemerintahannya secara korporat yang sesuai dengan perkembangan semasa Negeri Sembilan yang berkembang pesat.
“Tanya rakyat Negeri Sembilan, apa beza Menteri Besar Negeri Sembilan sekarang dengan Menteri Besar sebelum-sebelum ini?” katanya lagi.
Mohd Fauzi yakin Mohamad akan kekal bertanding di DUN Rantau kerana beliau merupakan anak jadi kawasan tersebut.
Mohamad disebut-sebut akan bertanding di DUN Paroi yang kini diwakili Pesuruhjaya PAS negeri, Mohamad Taufek Abdul Ghani dalam PRU 13.

Peneroka menang di Kuantan, lebih banyak saman menyusul

dipetik daripada FreeMalaysiaToday


Dua bank berkenaan ialah CIMB Bank dan Amislamic Bank sebagaimana diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya hari ini.


PETALING JAYA: Lebih ramai peneroka akan memfailkan saman terhadap Felda berikutan kemenangan 147 peneroka menghalang dua bank memproses pinjaman yang ditanda tangani mereka.

Dua bank berkenaan ialah CIMB Bank dan Amislamic Bank sebagaimana diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Datuk Mariana Yahya hari ini.
Peneroka dari Pahang dan Negeri Sembilan itu memohon injunksi mahkamah dengan ‘inter parte’ bagi melarang CIMB dan AmIslamic Bank untuk memproses dokumen pinjaman yang ditandatangani mereka pada 21 Mac lalu.
Alasan peneroka ialah mereka tidak memahami isi kandungan dan menandatangi dalam keadaan dan tergesa-gesa.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman yang dihubungi hari ini ,berkata sekurang-kurangnya 100 peneroka dari Johor dan Terengganu akan mengemukakan saman sama kepada Felda pada minggu depa.
Halang FGV
Selepas itu menyusul peneroka-peneroka Felda dari Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang akan mengambil tindakan sama.
“ANAK sedang mengumpul maklumat mengenai peneroka di Johor dan Terengganu yang mahu berbuat demikian tetapi menjangkakan paling kurang 100 orang,” tambah beliau.
“ANAK juga menggesa peneroka yang telah menyerahkan boran pinjaman supaya mengemukan saman untuk kebaikan merka juga.
“Kira-kira 80, 000 peneroka dari 112, 635 peneroka telah menyerahkan borang pinjaman untuk membeli saham Felda Global Ventures FGV) Holding Berhad.
“ANAK akan melakukan apa sahaja untuk menghalang penyenaraian FGV yang dijadualkan 30 Jun ini,” katanya.

Wednesday, June 13, 2012

PRU 13 diramal Mac depan – Anwar


KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum ke-13 diramal berlangsung sekitar Mac 2011 berikutan Umno bimbang berlaku perbalahan pada pemilihan parti itu, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jangkaan itu dibuat Ketua Umum Parti KEADILAN Nasional berikutan pengumuman Najib yang menyatakan pemilihan Umno ditangguh selama 18 bulan untuk proses ‘pemantapan’ serta ‘pemulihan parti pemerintah itu.
Sebaliknya, pemerhati politik percaya penangguhan itu dibuat kerana Umno takut timbul perbalahan yang tidak dapat dibendung hingga menyukarkan mereka menghadapi pilihan raya umum ke-13.
“Umno tidak berani mengadakan pemilihan (mengikut jadual) kerana mereka tidak cukup kuat dan takut menghadapi perwakilan mereka’, kata Anwar.
Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution pula percaya penangguhan pemilihan Umno itu berlaku kerana Umno dalam keadaan lemah dan tidak yakin ahlinya cukup bijak untuk melalui proses pemilihan.
Beliau mengambil contoh terdapat mesyuarat tahunan Bahagian Umno di Kelantan yang tercetus pergaduhan dan hanya dapat diselesaikan apaila polis melepas tembakan amaran.
Desas-desus pilihan raya umum diadakan dalam jangka masa terdekat mula kedengaran apabila Najib diuar-uar mahu melakukan rombakan Kabinet pada hujung tahun ini.

Cemas hadap PRU, Najib tambah RM1.5 juta untuk beli pengundi

dipetik dari Keadilan Daily


(Oleh Mohd Martin Kahar)
KUALA LUMPUR 12 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Perdana Menteri kerana meluluskan wang berjumlah RM1.5 juta sebagai tambahan kepada setiap Ahli Parlimen BN untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13).
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, perkara tersebut menyalahi peraturan kewangan sekaligus menunjukkan Umno BN cemas dan terdesak dalam menghadapi pilihan raya.
“…Apa yang memeranjatkan (apabila) Najib beritahu Dewan Rakyat, Ahli Parlimen (BN) boleh beri wang tunai RM1,000 hingga RM5,000 kepada pengundi.
“Najib merupakan Perdana Menteri pertama yang tidak mempedulikan peraturan kewangan kerana terlalu cemas menghadapi PRU13,” katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di bagunan Parlimen hari ini.
Turut serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Dalam pertemuan pre-coucil dengan Ahli-ahli Parlimen BN semalam, difahamkan Datuk Seri Najib Razak juga membenarkan mereka membelanjakan RM1,000 hingga RM5,000 secara tunai kepada pengundi.
Difahamkan juga, sejumlah RM300,000 akan diberikan pada peringkat awal kepada setiap Parlimen BN pada Khamis ini.
Dakwaan ini mungkin benar sebagaimana pendedahan bekas Menteri Kabinet yang isytihar keluar Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir bahawa BN sedang menggunakan ‘taktik bom’ iaitu menabur wang untuk membeli undi di kampung-kampung.
“Dia (Najib) beritahu minta disegerakan dan tumpu kepada pemuda dan wanita dan kerajaan akan pertahankan tindakan itu.
“Langkah paling baik adalah bantahan rakyat dan pilihan raya,” kata Ketua Umum KEADILAN itu lagi.

Bakal menantu Najib tipu RM62 juta





dipetik dari Keadilan Daily


KUALA LUMPUR 12 Jun: Bakal menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak – Daniyar Nazarbayev, warganegara
Kazakhstan didakwa terlibat dalam penipuan.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan Amerika Syarikat, tunangan anak perempuan Najib itu didakwa menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 (RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu.
Menurut The New York Post hari ini, dokumen mahkamah itu menyebut, Daniyar memalsukan dokumen untuk memberikan gambaran bahawa dia berkelulusan daripada sekolah tinggi di Kazakhstan.
Bagaimanapun, sumber akhbar itu dipetik berkata, Daniyar sebenarnya bersekolah di Switzerland dan gagal menamatkan pelajaran.
Sementara rekod Columbia masih menunjukkan Daniyar masih dalam senarai bekas pelajar dan bergraduasi pada 2010.
The New York Post turut melaporkan, jurucakap Columbia sudah dihubungi tetapi enggan mengulasnya.
Keadilan Daily sebelum ini melaporkan Najib telah menghabiskan sebanyak RM1 juta dalam lawatannya ke Kazakhstan.
Perbelanjaan untuk lawatan dua hari Perdana Menteri ke negara itu didedahkan Kementerian Luar Negara di Dewan Rakyat pada Oktober tahun lalu.
Jumlah keseluruhan kos lawatan singkat tersebut berjumlah RM1,072,213.22 yang dibelanjakan Najib dan rombongannya ketika menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam, Jun tahun lalu.
Lawatan itu kononnya berjaya memeterai lima perjanjian antara Malaysia dan Kazakhstan tetapi menimbulkan kritikan apabila ia digunakan bagi merisik bakal menantunya, Daniyar.
Sehingga kini, pasangan Nooryana Najwa Najib dan Daniyar masih belum mendirikan mahligai perkahwinan.
Rakyat bagaimanapun menanti reaksi Perdana Menteri berhubung penipuan oleh bakal menantunya itu.
Berita asal di sini

Friday, June 8, 2012

Ceramah Perdana PR Dun Jeram Padang-menjelma harapan kemenangan



Ceramah Perdana PR NS-Dun Jeram Padang
Tarikh: 1 Jun 2012 / Jumaat / 8:00 malam
Lokasi: Taman Desa Puteri, Bahau, Jempol.
Kehadiran: lebih tiga ribu orang.


Suasana pada malam ceramah tersebut agak luarbiasa berbanding sebelum PRU 2008, kehadiran orang ramai yang menggalakkan telah menjelma suatu harapan bahawa Pakatan Rakyat Negeri Sembilan mampu memenangi Jeram Padang. 

Sebagaimana jangkaan awal, kedatangan Ketua Umum, Dato Seri Anwar Ibrahim telah mencetuskan semangat kepada semua jentera PR khususnya di Parlimen Jempol dan kehadiran ramai masyarakat umum sekitar Bahau, Palong, Pasir Besar, Rompin, Serting dan Juasseh ke program ini memberikan suatu isyarat bahawa rakyat umum telah bersedia untuk memilih PR sebagai pemerintah baru di Negeri Sembilan.

Segalanya berjalan lancar pada malam itu tanpa berlaku sebarang ancaman dan provokasi daripada pihak Umno-BN, malah pihak polis memberi kerjasama yang baik dalam menjaga keselamatan serta kelancaran program malam itu. Jutaan pujian kepada pihak polis Jempol yang sudi bersama menjamin keselamatan perjalanan ceramah ini. Mungkin pihak keselamatan di daerah ini turut bersetuju dan selesa  untuk PR mentadbir negeri ini selepas PRU-13 akan datang.



Lebih menarik, ini adalah program ceramah perdana kedua yang melibatkan kehadiran pimpinan utama KEADILAN ke Jeram Padang. 

Sebelum ini, Naib Presiden merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai-Nurul Izzah Anwar telah hadir ke ceramah perdana yang berlangsung beberapa bulan lepas. Kehadiran pada ceramah itu juga sangat memberangsangkan dengan lebih dua ribu orang yang datang.

Ini adalah julung kalinya Dato Seri Anwar Ibrahim hadir ke Jeram Padang. Sebelum ini, beliau kerap ke Palong. Malah sejak awal Januari 2012, ini adalah kehadiran beliau kali ketiga di Jempol. Sebelum itu, Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah turut membuat lawatan kerja dan ceramah di Palong. Terbukti ini adalah kesungguhan KEADILAN NS melalui Majlis Pimpinan Negeri untuk menggerakkan matlamat menawan seluruh Jempol dalam menzahirkan kemenangan berganda seluruh negeri ini.

Ribuan yang hadir pada malam itu terdiri daripada pelbagai kaum yang majoritinya dihadiri oleh kaum India. Ini petanda positif bahawa sokongan kaum India di Jempol masih padu kepada PR. 

Pimpinan utama PR NS yang turut hadir bersama menjayakan program adalah ADUN Bahau-YB Teo Kok Seong, Timbalan Pengerusi DAP NS-YB P.Gunasekaran, Pengerusi KEADILAN NS-YB Dato Kamarul Baharin Abbas, Ketua Cabang Jempol-saudara Karip Salleh, Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Pusat-saudara T.Kumar, Naib Pengerusi KEADILAN NS-YB Chai Tong Chai & Aridass Velu. Pimpinan PAS tidak dapat hadir kerana memberi komitmen penuh kepada program Himpunan Hijau di Alor Setar, Kedah.

Berdasarkan maklumat tak rasmi, dijangka BN akan mengekalkan Adun Jeram Padang-V.S Mogan sebagai calon PRU-13. Namun begitu, telah dikatakan berlaku perebutan antara beberapa pimpinan MIC negeri dan Pemuda MIC NS untuk meletakkan calon di kawasan ini. Perselisihan politik dalaman antara V.S Mogan dengan Pemuda MIC NS dikatakan agak meruncing sehingga muncul gerakan anti VS Mogan di laman maya.

Walaupun kehadiran ceramah bukanlah suatu ukuran tepat kepada terjemahan undi, namun KEADILAN NS menyakini kehadiran ceramah pada malam tersebut adalah bukti jelas sokongan rakyat ke arah perubahan.