Monday, October 24, 2011

Pakatan hapus GST jika tadbir negara- Anwar

PULAU PINANG: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pentadbiran negara, Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST) akan dihapuskan.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis ramah mesra ‘Sepetang Bersama Masyarakat’ di Dewan Orang Ramai Batu 5, Permatang Janggus, Permatang Pauh.

“Pakatan Rakyat berjanji, Insya Allah kalau kita memerintah negara, cadangan cukai GST ini akan kita tolak sama sekali,” tegas Anwar.

Anwar dalam ucapannya berkata, jika GST dilaksanakan, rakyat akan lebih terbeban dengan kenaikan kos sara hidup ekoran harga barang yang melambung tinggi.

“Sekiranya cukai ini dikenakan kepada rakyat, ia bukan saja membebankan mereka, tetapi menjadikan rakyat terpaksa tunduk kepada hasrat kerajaan untuk menekan dan menzalimi secara hormat.

“Oleh itu, seandainya PR berjaya memenangi kerusi pilihan raya umum yang akan datang, kita berjanji akan membatalkan GST yang tidak memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan yang berpendapatan rendah,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau juga menyentuh Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pemberian sagu hati bersifat ‘One Off’ yang tidak meringankan beban rakyat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Anwar turut membidas Umno kerana melemparkan tuduhan bahawa beliau pengkhianat Melayu dengan merujuk pembelian kilang arak San Miguel oleh anak bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir di Filipina.

Begitu juga dengan pendedahan di Parlimen berhubung pemberian Tabung Pertanian untuk nelayan, penternak dan petani berjumlah RM 250 juta kepada anak seorang Menteri Kabinet.

“Apa petani dapat? Apa pasal tak tolong orang kampung. Inikah maruah pemimpin Melayu Islam?, soal Anwar.

“Sebab itu kita kena ada pendedahan. Baca Suara Keadilan, Harakah untuk tahu apa yang berlaku dan tak mudah ditipu,” kata Anwar sambil mengingatkan jentera KEADILAN perlu bersiap sedia kerana pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa.

Ketua Umum KEADILAN itu kini dalam rangka lawatan kerjanya selama sehari ke Pulau Pinang dan akan menyampaikan ceramah Perdana Demi Rakyat bersama-sama Ketua Menteri Lim Guan Eng dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman di Dataran PASTI Sg Acheh, malam ini.

No comments: