KUALA LUMPUR: Identiti dan watak sebenar Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes fitnah membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus dibongkar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, apabila peguam memanggil saksi terbaru mereka.
Saksi misteri yang ditampilkan peguam itu adalah bekas rakan sekolej Saiful sendiri, yang pernah bersama belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Mohd Najwan Halimi dipanggil pada jam 11.22 pagi ketika mahkamah bersambung selepas mendengar keterangan Pengarah Jabatan Forensik, Jabatan Kimia, Lim Kong Boon.
Beliau kini merupakan pembantu Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor.
Dalam keterangannya di mahkamah, Najwan memberitahu beliau mengenali Saiful sejak 2003 dan tinggal berdekatan biliknya di Uniten.
“Saiful mahasiswa yang aktif dan mempunyai kualiti kepimpinan. Saya dan Saiful terlibat dalam program Baktisiswa.
“Dia ada kepimpinan tetapi suka publisiti,” katanya.
Menurut Najwan, program itu dilancarkan bekas menteri dalam negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan Saiful ketika itu timbalan presiden program dan Setiausaha Majlis Pimpinan Pelajar.
Najwan berkata, beliau melihat laman sosial Friendster milik Saiful dan melihat banyak gambarnya dengan pemimpin BN, termasuk Syed Hamid Albar, Mustapa Mohamed dan Azalina Said Othman.
“Pada 2008, Saiful meletakkan dirinya sebagai penyokong BN dan menyisytiharkan bahawa Anwar munafik,” katanya di mahkamah.
Menurut Najwan, Saiful juga pernah membantu kempen pilihan raya untuk Barisan Nasional (BN) pada 2008. Beliau menafikan Saiful mengagumi ketokohan Anwar, sebaliknya sangat membenci Ketua Umum KEADILAN itu, seperti diakui Saiful sendiri.
“Dia benci Anwar,” kata Najwan.
Ketika disoal balas oleh Peguam Cara Negara II Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Najwan menjelaskan beliau pernah berkhidmat dengan ADUN Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad, Kementerian Pengangkutan dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum itu.
No comments:
Post a Comment