Friday, April 30, 2010

Kenyataan Akhbar : Maklumbalas terhadap Kenyataan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berhubung Kematian Aminulrasyid Amzah


Saya terpanggil untuk memberi maklumbalas kepada kenyataan Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil berkenaan dengan kepentingan ibu bapa mengawasi anak mereka
sepanjang hari sebagai langkah mengatasi kejadian tragik yang menimpa adik
Aminulrasyid Amzah tempoh hari.

Pada pandangan saya, saranan Datuk Shahrizat tersasar jauh dari isu pokok peristiwa tersebut. Tidak kiralah siapa yang terpaksa berhadapan dengan polis pada malam kejadian, tindakan menembak si mati yang disyaki penjenayah itu tetap merupakan satu pencabulan nyawa yang tidak dapat dimaafkan. Kejadian tembak sampai mati oleh pihak polis ini telah berlaku beberapa kali sebelum ini namun begitu, rakyat masih belum melihat sebarang tindakan yang proaktif dari polis dalam menangani masalah ini, apatah lagi menjadikan prosedur operasi (SOP) pihak polis satu dokumen umum agar pihak berkepentingan dan orang ramai dapat memantau mutu khidmat polis yang melaksanakan tugas.

Justeru, isu pokok di sini adalah sejauh mana polis di Malaysia berupaya membuat pertimbangan yang sewajarnya apabila berhadapan dengan penjenayah dalam keadaan cemas
dan adakah garis panduan untuk pelaksanaan tugas oleh polis bertepatan dengan peruntukan Kebebasan Asasi rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan,
Kanun Acara Jenayah, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Memandangkan adik Aminulrashid hanyalah seorang budak belasan tahun dan tidak
bersenjata, maka tidak ada alasan untuk polis menembak terus kepala beliau dalam
kejadian tersebut. Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak
yang mengikat Kerajaan Malaysia, seseorang individu kanak-kanak yang berkonflik
dengan undang-undang harus diberikan perlindungan, pemulihan dan integrasi sosial
yang bersesuaian dengan umur dan keperluannya sebagai seorang kanak-kanak. Faktor
ini seharusnya menjadi pertimbangan pihak polis dalam berhadapan dengan golongan
kanak-kanak dan remaja yang disyaki melakukan jenayah.

Bagi isu mengapa kanak-kanak atau remaja boleh berada di luar rumah pada waktu-
waktu sebegini, janganlah kesalahan sepenuhnya diletakkan ke atas bahu ahli keluarga.
Fenomena ibu bapa yang terpaksa bekerja lebih masa demi memenuhi tuntutan hidup, kesesakan dan ketidakselesaan rumah atau tekanan dan desakan ekonomi merupakan
antara realiti hidup di bandar yang perlu dikaji agar tindakan serta saranan yang lebih konstruktif dapat diberikan kepada rakyat dalam mengatasi masalah ini.

Saya berharap agar sebarang jawatankuasa untuk menyiasat kes ini haruslah bebas serta melibatkan badan-badan yang mampu menilai kes ini dari sudut kepentingan terbaik kanak-kanak (best interest of a child), perundangan dan hak asasi manusia seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mahupun Majlis Peguam.

Bahkan, demi menjamin kebebasan dan ketelusan siasatan yang akan dilakukan, siasatan terperinci kes ini seharusnya dilakukan oleh badan-badan yang sayanyatakan di atas dan bukannya pihak Polis sendiri. Remaja bermasalah atau berkonflik dengan undang-undang haruslah dibimbing dan dipulih menerusi hukuman yang mendidik bukannya dengan menggunakan kekerasan sehingga menyebabkan kematian.

Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen
Lembah Pantai

Wednesday, April 21, 2010

Dari Meja SU MPN NS

Felda Soeharto,Hulu Bernam
20 April 2010/Selasa




Sesi penerangan & dialog dengan penduduk-penduduk tempatan telah diadakan jam 5.00 petang tadi. Antara pimpinan parti yang hadir adalah Timbalan Pengerusi PKR Selangor Syed Shahir, Ketua Penerangan PKR pusat-Latifah Koya, Pengerusi Biro Felda PKR Pusat-Hj. Suhaimi Said, Ketua AMK Negeri Sembilan-Rebin Birham dan saudara T.Kumar.

Dalam sesi penerangan tersebut, Haji Suhaimi Said telah menyampaikan secara terperinci sejarah awal penubuhan Felda dan urutan fakta-fakta berlakunya penindasan Felda terhadap peneroka di seluruh negara. Beliau turut melontarkan permasalahan-permasalahan yang timbul angkara tindakan zalim Felda yang jelas menafikan hak peneroka khususnya dari segi pemilikan geran tanah dan wang hasil.

Risalah penerangan mengenai penipuan Felda yang diterbitkan oleh Warga Felda Perihatin turut diedarkan kepada para peneroka yang hadir.

Snap secara rasmi sertai Pakatan Rakyat


Parti Nasional Sarawak (Snap) secara rasmi menjadi anggota keempat Pakatan Rakyat, - menjelang pilihan raya kecil parlimen Sibu pada 16 Mei ini.

Mengumumkan kemasukan Snap hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugas pertama parti itu ialah menyokong calon DAP yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Pengumuman calon Pakatan itu akan dibuat pada 27 April.

Snap adalah antara parti tertua di Sarawak dan pernah menjadi anggota parti pemerintah Barisan Nasional sebelum menjadi parti pembangkang.

Mereka tidak mempunyai sebarang kerusi di dewan undangan negeri Sarawak.

Ahad lalu, Anwar dan beberapa pemimpin Pakatan berjumpa di Sibu bagi memeteraikan kerjasama berkenaan.

Pada pilihan raya umum 2008, kekurangan penyelarasan menyaksikan pertandingan lebih dua penjuru di antara Snap, DAP dan PKR - satu tindakan yang memberi kelebihan kepada BN.

Tuesday, April 20, 2010

Hulu Selangor: BN lawan PKR, Calon Bebas tarik diri

Pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor Ahad ini akan menyaksikan perebutan satu lawan satu antara calon BN dan PKR selepas dua calon Bebas menarik diri hari ini.

Siang tadi, V S Chandran mengumumkan diri, diikuti oleh seorang lagi calon Bebas, Johan Mohd Diah.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar mengesahkan Johan Mohd Diah telah menarik diri.

Berikutan itu, calon BN, P Kamalanathan akan berdepan dengan calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim Ahad ini.

Kerusi tersebut kosong ekoran kematian penyandangnya dari PKR, Datuk Zainal Abidin Ahmad bulan lalu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Johan menandatangani borang menarik diri di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru, kira-kira pukul jam 9.05 malam ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut. Lewat petang tadi Johan, yang juga AJK Pemuda Umno Bahagian Shah Alam, mengadakan sidang media di Felda Sungai Tengi, Hulu Bernam, antara lain mengenai persediaannya menghadapi pilihan raya.

Wan Ahmad Wan Omar berkata calon yang berhasrat menarik diri daripada bertanding perlu berbuat demikian selewat-lewatnya 12 tengah malam ini.

Monday, April 19, 2010

Satu lagi Provokasi Murahan Umno!



Sekali lagi gerombolan BN-Umno telah menggunakan provokasi murahan lagi jahat terhadap Dato' Zaid Ibrahim.

Satu lagi kebodohan IT gerombolan Umno-BN yang jelas cuai dan tidak bijak untuk menipu secara grafik.

Anda sendiri fikir dan nilaikan, inikah caranya parti yang kononnya mendukung perjuangan Islam dan Melayu???

BN mulakan provokasi murahan & jahat!


(gambar dipetik daripada msomelayu.blogspot.com)

Gerombolan Umno telah memulakan langkah jahat dengan menaikkan poster-poster gergasi berbentuk cercaan & penghinaan kepada Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Sebagaimana yang pernah berlaku di PRK Permatang Pauh pada bulan Ogos 2008 lalu, gerombolan Umno sekali lagi mengulangi modus operandi yang serupa. Persoalannya, apakah gerombolan BN-Umno telah merasai bahang kekalahan yang bakal berlaku? Jika tindakan ini berterusan sepanjang tempoh berkempen sebelum hari pemilihan, ia pasti suatu petanda yang buruk buat gerombolan BN.

Sudah pastinya, gerombolan Umno-BN telah mempersiapkan pelbagai versi poster gergasi, risalah-risalah yang berbaur penghinaan dan cercaan kepada DSAI dan mungkin juga kepada calon iaitu Dato' Zaid Ibrahim.

Hakikatnya, sebarang tindakan provokatif jahat gerombolan Umno-BN akan terus dilawan oleh Pakatan Rakyat dengan sokongan seluruh rakyat.

LAWAN TETAP LAWAN!

Friday, April 16, 2010

Sibu: 16 Mei undi, 8 Mei penamaan calon


Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.

Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu, katanya pada sidang media hari ini.

Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.

Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.

"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.

Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.

Thursday, April 15, 2010

Dari Meja Setiausaha MPN NS

Salam Reformasi,

PRK HULU SELANGOR
Semua sudah maklum pada malam Selasa 13hb April lepas, Pakatan Rakyat telah memaklumkan calon bagi Pilihanraya Kecil P094 Hulu Selangor iaitu Dato' Zaid Ibrahim dari PKR. Dalam majlis pengumuman calon PRK Hulu Selangor tersebut, kehadiran begitu ramai rakyat telah memenuhi Dewan Komuniti Serendah sebagai tanda sokongan padu kepada PR. Jelasnya di sini, isyarat sokongan para pemilih akan memungkinkan PKR berjaya mempertahankan Parlimen Hulu Selangor.

Kontingen Jentera Pilihanraya PKR Negeri Sembilan akan turut sama terlibat dalam menjayakan misi mengekalkan kemenangan disamping meningkatkan sokongan para pemilih di Hulu Selangor. Jentera Pilihanraya PKR Negeri Sembilan telah ditugaskan di Dun Hulu Bernam dan Dun Batang Kali. Cabang Jelebu, Jempol, Tampin dan Rembau telah ditugaskan di Dun Hulu Bernam yang menumpukan gerak-kerja di kawasan-kawasan Felda. Manakala Cabang Seremban, Rasah, Telok Kemang dan Kuala Pilah telah ditempatkan di Dun Batang Kali.

MATC 2009
PKR Pusat telah menetapkan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang bagi tahun 2009 dijalankan sepanjang bulan Mac 2010.

Semua MATC 2009 yang dijadualkan di seluruh cabang di Negeri Sembilan telah berjaya dijalankan dengan sempurna mengikut lunas-lunas perlembagaan parti. Kehadiran yang memberangsangkan bagi MATC kali ini membuktikan 'mood',semangat dan kesetiaan anggota parti untuk melaksanakan tanggungjawab kepada parti berada dalam keadaan yang baik.

Akhir nukilan ini, selamat bertugas kepada semua jentera pilihanraya PKR Negeri Sembilan di PRK Hulu Selangor. Lawan tetap lawan...lawan sampai menang!!!

_SMY

Saturday, April 10, 2010

Tiga ADUN BN dalam Parlimen Hulu Selangor Abai Rakyat


HULU SELANGOR 9 APR: Pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor memberi ruang kepada penduduk kawasan itu menilai perkhidmatan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional.

Tinjauan TV Selangor mendapati penduduk tidak berpuas hati dengan prestasi Adun BN dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara masalah utama yang dibangialah penyelenggaran persekitaran yang mengecewakan dan isu hak pemilikan tanah.

Di Kampung Asam Kumbang, rumput-rumput di sekitar kiri dan kanan jalan atau berhampiran kawasan penempatan tidak dipotong.

Pihak bertanggungjawab dikatakan bekerja sambil lewa. Penduduk bimbang semak-samun ini menjadi tempat pembiakan aedes.

Isu sebegini sewajarnya diberi perhatian serius bukan sahaja oleh PBT, bahkan Adun-Adun BN.

Bagi penduduk di Jalan Padang Golf, Kuala Kubu Bahru pula, dua penduduk yang ditemui meminta supaya pihak berkenaan untuk menyelesaikan masalah mereka.

Mereka meminta supaya kawasan tersebut dijadikan lebih indah dan menarik untuk tatapan penduduk juga orang luar.

Sebaliknya, sikap sambil lewa Adun berkenaan menyebabkan Ahli Parlimen PKR dipersalahkan.

“Yang pertama sekali, kebersihan di kawasan ini yang mustahak sekali sebab rumput pun panjang," katanya.

Dikatakan, lebih kurang lima bulan rumput tidak dipotong tetapi Adun BN dan PBT bertanggungjawab dikatakan tidak mempeduli rungutan penduduk.

“Tangani jalan-jalan raya ini, daripada besar jadi kecik. Tanah sudah dibawa hujan, naik atas jalan tumbuh rumput kecik. Lagi satu , jalan berlopak paip pecah," katanya.

Berlainan pula tinjauan di Taman Damai Utama, Ampang Pecah. Penduduk di situ menghadapi masalah serius berikutan beberapa rumah dinaiki air ketika hujan lebat.

“Longkang tak mampu tampung air hujan, rumah banjir, beberapa sudah panggil orang ambil gambar tapi tidak keluar berita. Kalau hujan lebat, tidak sampai satu jam, rumah banjir dan semua perabot rosak," katanya.

Beliau mengakui bantuan memang diberi apabila berlaku banjir tetapi itu tidak mencukupi untuk hidup dengan selesa dan meminta pihak tertentu membuka mata demi menyelesaikan masalah.

Berlainan pula masalah tanah Felda di Hulu Selangor, mereka tiada tempat meluahkan isi hati yang terpendam, anak-anak Felda bersedia bangkit dari perubahan untuk hak yang sepatutnya dimiliki.

Masalah yang menghantui sekian lama iaitu dinafikan hak tanah yang dimiliki keluarga tercinta untuk diwarisi.

Persatuan Anak Peneroka dan Generasi ke-2 Felda atau ANAK, bersama-sama penduduk Felda Gadangsa, Felda Soeharto dan Felda Sungai Tengi bangkit memastikan mangsa pelan pertanian mega kerajaan pusat ini mendapat pembelaan sewajarnya.

Penduduk masih mengharapkan janji Kerajaan Pusat pada pilihan raya lalu.

MP Sibu meninggal dunia


Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau yang juga anggota parlimen bandar Sibu meninggal dunia di Hospital Selayang, hari ini akibat barah.

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan.

Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.

Kematiannya akan membawa kepada satu lagi pilihan raya kecil - yang kesebelas selepas pilihan raya umum 2008.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil kedua di Sarawak selepas DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil tersebut perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh berlaku kekosongan.

Pada pilihan raya umum 2008, Lau mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).

Wednesday, April 7, 2010

PKR calon Hulu Selangor 13 April

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengumumkan calon pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor 13 April ini, dua hari lebih awal berbanding Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, tarikh itu dipilih dengan mengambil kira beberapa pertimbangan.

Pengumuman akan dibuat di Serendah oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Abdullah menyifatkan pengumuman dua hari awal itu tidak memberi kesan kepada cabaran PKR pada pilihan raya kecil itu kerana persiapan sudah dijalankan sejak awal.

Abdullah, bagaimanapun berkata, calon belum diputuskan lagi.

Monday, April 5, 2010

PKR senarai pendek 5 calon Hulu Selangor

PKR menyenarai pendek lima nama sebelum memutuskan calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata setakat ini, jawatankuasa pilihan raya Pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan oleh peringkat akar umbi.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, Fuziah yang juga anggota Parlimen Kuantan, berkata PKR tidak menetapkan faktor kaum sebagai antara kriteria sebaliknya memastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan.

Katanya pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon minggu hadapan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April untuk penamaan calon.

- Bernama

MP Indera Mahkota saman Utusan RM29 juta


Ahli parlimen Indera Mahkota Azan Ismail hari ini memfailkan saman fitnah berjumlah RM29 juta terhadap seorang editor dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.

Azan yang hadir bersama peguam yang mewakilinya, A. Vasudevan memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi tetuan Vasudevan A & Co.

Beliau menamakan editor akhbar Utusan Zulkiflee Bakar sebagai defendan pertama dan syarikat akhbar itu, defendan kedua.

Dalam penyata tuntutannya, Azan dari PKR mendakwa Zulkiflee telah menulis satu artikel dalam akhbar Utusan pada 6 Mac lalu yang berunsur fitnah terhadap beliau.

Azan mendakwa dalam artikel yang berserta dengan gambar itu mengatakan bahawa beliau telah keluar dari PKR dan telah meletakkan gambarnya bersama dengan ahli-ahli politik lain yang telah keluar dari PKR sebelum itu.

Tambahnya, defendan kedua pula telah mencetak dan menerbitkan satu laporan susulan pada ruang ralat dalam suratkhabar Utusan Malaysia pada 8 Mac lalu yang menyatakan Azan tidak keluar dari PKR tetapi telah meletak semua jawatan dalam PKR termasuk timbalan pengerusi perhubungan negeri dan pengerusi biro keahlian negeri.

Dakwanya lagi, kedua-dua cetakan dalam akhbar pada 6 Mac dan 8 Mac itu boleh menjatuhkan air muka serta maruahnya.

Beliau menuntut ganti rugi RM29 juta terhadap kedua-dua defendan, satu injunksi terhadap defendan pertama daripada membuat apa-apa laporan dan/atau penulisan lain yang berunsur fitnah terhadapnya dan injunksi terhadap defendan kedua daripada mencetak apa-apa laporan berunsur fitnah.

Azan juga menuntut faedah 8 peratus setahun ke atas jumlah ganti rugi RM29 juta dari tarikh saman itu difailkan.

- Bernama

Saturday, April 3, 2010

145 Ahli Parlimen Seluruh Dunia Tuntut Kes Anwar Digugurkan!


BANGKOK 2 Apr - Mesyuarat ke-122 Himpunan Ahli-ahli Parlimen Sedunia (IPU) di Bangkok hari ini sebulat suara mendedak kerajaan Malaysia menggugurkan pertuduhan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan kepada dua laporan perubatan yang menolak kemungkinan perbuatan tersebut berlaku.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Bangkok, IPU berkata badan tersebut amat bimbang terhadap pertuduhan dan prosiding terhadap Anwar yang dianggap tercalar dan hampir sama dengan perbicaraan kes yang serupa pada 1998.

Mesyuarat IPU semalam yang menghimpun Ahli-ahli Parlimen dari 145 negara diseluruh dunia menyatakan bahawa Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen akan melaporkan keputusan sebulat suara berhubung perbiacraan Anwar kepada Lembaga Pengelola IPU.

Resolusi tersebut dibentangkan kepada Lembaga Pengelola IPU oleh pengerusi jawatankuasa tersebut, Senator Aquilino Q Pimentel Jr untuk diterimapakai.

"Adalah amat membimbangkan anggota pasukan pendakwaan yang terlibat dalam perbicaraan kes liwat yang pertama, yang mana Ketua Pendakwa ketika itu kini dilantik sebagai Peguam Negara. Beliau dituduh merekacipta bukti terhadap Anwar dan kini terlibat sekali lagi dalam perbicaran terkini. Pasukan pembelaan Anwar telah dinafikan dokumen dan bukti dan dihalang daripada menyediakan pembelaan yang tuntas.

"IPU berpendirian bahawa pembelaan adalah sebahagian daripada elemen keadilan dalan sesuatu perbicaraan dan kegagalan memberi hak kepada pasukan pembelaan dan sebarang keputusan mahkamah hasil daripada tindakan itu dianggap pada dasarnya ditolak," tegas IPU.

Badan itu juga meminbta Setiausaha Agung IPU supaya memastikan wakil IPU akan berada sebagai pemerhati dalam perbicaraan akan datang.

IPU juga meminta Jawatankuasa Hak Asasi Ahli Parlimen agar terus meneliti kes yang sabitkan kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dan menyediakan laporan pada mesyuarat IPU ke-123 pada Oktober 2010.

Tiga wakil Pakatan Rakyat yang hadir termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan Senator Mumtaz Md Nawi.


IPU adalah sebuah organisasi yang dianggotai oleh Ahli Parlimen dari seluruh dunia dan ditubuhkan pada 1889.

Ia berfungsi sebagai wadah dialog antarabangsa yang berjuang untuk keamanan dan kerjasama serta mengukuhkan sistem demokrasi.

Hulu Selangor: 25 April undi, 17 April penamaan calon


Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.