Monday, October 19, 2009

UMNO – PERUBAHAN BESAR TIDAK AKAN BERLAKU

Slogan “perubahan” berulang kali dijeritkan dalam perhimpunan Umno baru lalu – oleh ramai pemimpin dan pengikut. Kesan jangka panjangnya mungkin tidak akan ada. Meminjam kata-kata Shakespeare segalanya “penuh dengan jeritan dan kemarahan, tetapi tidak mempunyai apa-apa erti” (full of sound and fury but signifying nothing).

Perubahan yang banyak dilaungkan ialah berkaitan pindaan perlembagaan. Ada pemimpin Umno yang mendakwa ia merupakan pindaan yang tidak pernah dilakukan oleh pihak-pihak lain. Jelas mereka hendak menyembunyikan suatu hakikat yang memalukan jikalau terdedah dalam Perhimpunan itu,

Hakikatnya ialah bahawa KEADILAN telah membuat pindaan perlembagaan yang lebih menyeluruh dan demokratik dalam Kongres Khas yang diadakan sehari suntuk pada 13 Jun 2009. Pindaan perlembagaan itu dibincang dengan teliti dan telus oleh para perwakilan selama kira-kira lima jam. Salah satu perkara penting yang diluluskan ialah pindaan yang memberi setiap anggota Parti hak mengundi untuk memilih pimpinan.

Ini berbeza dengan keputusan yang dicapai oleh Umno. Pindaan perlembagaan mereka diterima dalam masa kurang sejam tanpa perbincangan mendalam oleh perwakilan. Ini membuktikan tradisi Pak Turut dalam Umno masih kuat. Presiden Umno mengisytiharkan bahawa pindaan perlembagaan yang mereka lakukan akan menjadikan Umno lebih demokratik.

Sebenarnya, seperti ditegaskan oleh Tengku Razaleigh, pindaan perlembagaan Umno itu tidak cukup demokratik. Ia membataskan bilangan yang boleh mengundi untuk memilih pucuk pimpinan hanya kepada 146,500 orang wakil saja. Kenapakah hak mengundi dibataskan kepada cuma kira-kira 5% dari jumlah ahli Umno yang didakwa berjumlah 3.4 juta? Kenapakah tidak demokrarik sepenuhnya dan berikan hak mengundi kepada seluruh ahli? Bilangan besar tidak harus menjadi alasan.

Seterusnya Presiden Umno juga mendakwa pindaan yang mereka luluskan boleh menghapuskan “politik wang”. Dr Mahathir secara terus terang dan tepat menyatakan beliau tidak percaya ini akan berlaku. Apa yang disebut sebagai “politik wang” adalah sebenarnya rasuah atau korusi politik. Ia merupakan sebahagian dari amalan korupsi yang meluas berlaku di kalangan terutama sekali para pemimpin Umno, termasuk Presidennya.

Korupsi terdapat dalam pelbagai bentuk yang melibatkan: wang (harta), moral (wanita) dan politik (kuasa/takhta). Penumpuan ketiga-tiga bentuk korupsi ini terdapat di kalangan ramai pucuk pimpinan Umno dan juga mereka di peringkat negeri dan bahagian. Bagaimanakah pemimpin yang korup arau rasuah berupaya untuk menghapuskan korupsi, termasuk apa yang dikatakan “politik wang itu”? Bapak perompak manakah yang mahu dan bersedia menghapuskan kerja merompak yang memberikan kekayaan dan kedudukan tinggi kepada mereka?

Korupsi hanya boleh dihapuskan atau setidak-tidak dikurangkan jikalau mereka yang berkuasa bersih dan dituduh korup bersedia untuk disiasat oleh badan bebas dan sanggup dihukum jika didapati berasalah. Mereka juga harus bertindak untuk menghukum semua yang korup tanpa memilih bulu. Jikalau ini tidak dilakukan maka segala ucapan, seruan dan janji menghapuskan korupsi akan tinggal sebagai retorik berdegar yang kosong saja.

Apabila pemimpin-pemimpin besar Umno tidak sanggup mengambil tindakan yang betul-betul demokratik dan tidak mampu bertindak tegas terhadap korupsi dalam parti, masyarakat dan negara, sudah pasti perubahan tidak akan berlaku. Seruan seperti yang dibuat oleh Timbalan Presiden Umno Muhyiddin supaya ahli-ahli Umno “buang perangai lama demi perubahan” tidak akan bererti.

DR SYED HUSIN ALI
Timbalan Presiden KEADILAN

No comments: