Permohonan cuti mantan Menteri Undang-Undang Zaid Ibrahim disensasikan media arus perdana, walhal ia bukan sesuatu yang luar biasa.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali berkata desas-desus pergeseran antara Zaid dan pihak tertentu dalam PKR tidaklah separah yang dikhabarkan.
Syed Husin berkata demikian merujuk kepada liputan media hari ini yang melaporkan Zaid menghadapi kesukaran susulan pergeserannya dengan Naib Presiden Azmin Ali.
Pengumuman cuti Zaid ini dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR.
“ Sememangnya adalah satu perkara biasa pihak BN mengambil peluang secara opotunis, sekiranya kalau ada perkembangan dalam Pakatan terutamanya dalam keadilan. Saya nampak berita tentang Zaid ini sudah terlalu dibesar-besarkan dan diselewengkan untuk kepentingan BN dan untuk menunjukkan seolah-olahnya ada krisis besar” ujarnya.
Zaid dibawa masuk ke PKR oleh Ketua Umum Anwar Ibrahim pada Jun lalu dengan tanggungjawab untuk menyatukan Pakatan Rakyat menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.
Zaid ketika disoal media menafikan keseriusan pergeseran seperti yang dilaporkan media.
Beliau berkata permohonan cuti ini perlu bagi menumpukan perhatian merumus platform asas Pakatan Rakyat.
Syed Husin menyatakan kekesalan dengan liputan sensasi yang diberikan dan berharap semua pihak supaya bertenang sehingga kertas kerja platform Pakatan Rakyat yang diusahakan Zaid di bentang pada Persidangan Pakatan Rakyat Disember depan.
“ Saya rasa ambil cuti bukan masalah, ramai yang kadang-kadang ambil cuti. Hendak cuti naik haji, hendak cuti sabbatical dan sebagainya. Jadi tidak ada sebab untuk diperbesar-besarkan. Tetapi ia telah dibesar-besarkan. Dan oleh kerana zaid telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung untuk minta cuti, saya rasa dalam mesyuarat akan datang, surat dia akan dibentangkan dan kita akan berbincang jika perlu dan buat keputusan sama ada hendak terima atau tidak”.
“ Yang saya lihat perkaranya kecil. Seperti yang telah diterangkan oleh saudara Zaid sendiri, beliau mengambil cuti enam bulan dan waktu itu tidak akan menghadiri biro pilitik dan mesyuarat MPP, tetapi tugas-tugas lain sebagai ahli PKR, sebagai anggota PKR akan diteruskannya. Bahkan beliau akan memperkukuh dan memperkasakan Pakatan Rakyat sebagai parti yang lebih kuat dan bersatu”ujarnya mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment