Wednesday, October 28, 2009

MB: Biar penduduk Memali ambil tindakan pada Kosmo!

Menteri besar Kedah menyerahkan isu tuduhan ajaran sesat dalam Kosmo! kepada penduduk Kampung Memali untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada akhbar tersebut.

"Mungkin mereka akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyamakan kes Memali dengan ajaran sesat. Ia merupakan satu perkara yang tidak betul dan perkara itu sudah selesai," kata Datuk Seri Azizan Abdul Razak

"Biarlah orang Memali mengambil tindakan yang wajar kepada mereka," katanya, sambil menambah beliau sendiri mengetahui kontroversi ini selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung terbabit.

"Kalau (di) Memali itu ajaran sesat, bagaimana (Sultan Kedah) Sultan Abdul Halim sendiri menziarahi pusara Ibrahim Mahmud dan kawannya di Parit Panjang (di Baling)?"

Beliau mengadakan sidang media di Kuala Lumpur petang ini selepas mempengerusikan mesyuarat kerajaan Kedah di pejabat Kedah Business Centre di ibu negara.

Azizan, yang juga pesuruhjaya PAS Kedah, berkata isu Memali selesai sejak 24 tahun lalu dan mempersoalkan kewajaran tragedi berdarah yang mengorbankan 14 orang itu ditimbulkan semula.

Ditanya tindakan PAS Kedah berhubung itu tersebut, Azizan berkata: "Memali jangan dikaitkan dengan PAS. Kebetulan mereka (ini) ahli PAS, tapi perjuangan mereka bukan perjuangan PAS."

"Perjuangan (yang menyebabkan) peristiwa Memali bukan perjuangan PAS tetapi mereka adalah sebahagian daripada ahli PAS," katanya.

Sementara itu, PAS Baling mendesak akhbar terbitan kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd itu menarik balik artikel yang bertajuk 'Jangan Pandang Rendah Ajaran Sesat' yang mengaitkan tragedi itu dengan ajaran sesat.

Ketua penerangannya Mat Juki Ahamad juga mendesak harian itu memohon maaf berhubung penyiaran artikel kelmarin.

"Mereka menulis dengan mengaitkan (allahyarham) Ustaz Ibrahim (Mahmud) dengan ajaran sesat dalam peristiwa Memali.

"Perkara ini sudah lama selesai, kerajaan sudah bayar pampasan, tiba-tiba mereka mengingatkan semula," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Selain PAS kawasan itu, aduan polis turut dibuat oleh balu Ibrahim, penceramah PAS yang lantang dan juga bekas seorang pegawai agama di Jabatan Perdana Menteri.

Aduan polis tersebut dibuat di balai polis Baling, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Mat Juki, yang juga pengetua sekolah yang diasaskan oleh allahyarham, turut menggesa akhbar tersebut mendapatkan maklumat perinci mengenai tragedi itu yang mengorbankan 14 orang pada penghujung 1985.

"Kalau ajaran sesat takkan (Sultan Kedah) Sultan Abdul Halim, sebagai ketua agama Islam di Kedah mahu mencemar duli datang menyiram air mawar (di kuburan Ibrahim dan pengikutnya).

"Ini bermakna allahyarham (Ibrahim) tak sesat," katanya.

No comments: